B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong
di Majlis Pelancaran Hari Kesihatan Sedunia
pada hari Isnin, 12 Safar 1424/14 April 2003
bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

TEMA Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini 'Bentuk Kehidupan Masa Depan - Persekitaran Sihat Untuk Kanak-Kanak' - 'Shape The Future Of Life - Healthy Environments For Children' telah dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan tujuan menekankan perlunya komitmen bagi memelihara tiga dari aset kehidupan yang tinggi nilainya iaitu kesihatan, persekitaran dan kanak-kanak iaitu nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Aset-aset ini adalah berhubung kait dan mempunyai kaitan yang rapat antara satu dengan lain. Memastikan persekitaran yang sihat adalah penting dalam usaha kita membentuk masa hadapan yang kita cita-citakan iaitu kehidupan yang bahagia dengan persekitaran yang sihat dan bersih.

Dalam konteks negara kita, persekitaran itu adalah dimaksudkan juga memastikan wujudnya persekitaran menurut ajaran agama Islam yang diamalkan sebagai cara hidup kita. Kita tidak sahaja menekankan kepada persekitaran fizikal yang sememangnya salah satu dari suruhan agama Islam tetapi yang paling mustahak lagi ialah mewujudkan perkembangan rohani yang sihat dengan pendidikan agama yang menjadi asas kepada perkembangan menyeluruh yang sihat. Kesihatan fizikal dan persekitaran sahaja tidak memadai jika tidak disertai dengan kesihatan rohani, khusus dalam menghadapi perubahan-perubahan yang tidak diduga dan cabaran-cabaran yang dibawa oleh arus kemajuan dan perubahan dunia pada masa ini dan akan datang.

Persekitaran yang tidak selamat di rumah, sekolah, tempat-tempat permainan dan jalan raya boleh mengancam dan menjejaskan kesejahteraan hidup kanak-kanak. Ini termasuklah pencemaran air minum dan makanan, persekitaran yang tidak bersih umpamanya udara dan tempat tinggal yang tidak selamat. Di samping itu ancaman lain yang juga dikenal pasti adalah dari penggunaan kimia yang berbahaya, pembuangan sisa-sia toksik yang tidak selamat, pencemaran industri dan pencemaran bunyi. Dalam kehidupan kita seharian, kanak-kanak juga mungkin terdedah kepada bahaya secara tidak disenghaja umpamanya penggunaan bahan kimia di dalam alat-alat permainan dan barang-barang kegunaan rumah tangga.

Pendedahan kepada bahaya seperti yang telah disebutkan tadi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak serta mengakibatkan mereka jatuh sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah. Kesan dari ini akan dirasakan di mana perkembangan intelektual dan sosial kanak-kanak akan terjejas dan seterusnya mereka ini tidak akan menjadi warga yang sihat dan produktif. Dalam jangka masa yang panjang, ianya akan membebankan negara dari segi sosial dan ekonomi oleh kerana kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik akan memerlukan penjagaan kesihatan yang berterusan.

Di seluruh dunia setiap tahun, lima juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dianggarkan meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang bersangkutan dengan persekitaran mereka. Dari anggaran ini, 20 peratus dari kematian adalah disebabkan oleh kecederaan yang tidak disenghaja. Pada tahun 2001, ianya melibatkan seramai 685,000 orang kanak-kanak. Penyebab utama kematian dari kemalangan tidak disenghaja ini ialah kemalangan jalan raya, iaitu sebanyak 21 peratus dan mati lemas sebanyak 19 peratus.

Di Negara Brunei Darussalam, sebab utama kecederaan yang tidak disenghaja adalah jatuh (falls). Ini diikuti oleh kemalangan jalan raya dan keracunan. Sehingga bulan Mac 2003, seramai 311 orang kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital-hospital di negara ini disebabkan oleh kecederaan yang tidak disenghaja. Dari jumlah ini seramai 12 orang kanak-kanak berkenaan telah meninggal dunia.

Pada tahun ini, juga seramai 75 orang kanak-kanak telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mana tiga darinya telah meninggal dunia.

Kemalangan, kecederaan serta kematian di kalangan kanak-kanak adalah merupakan kejadian yang amat tragik dan menyedihkan terutama sekali kepada ibu bapa dan keluarga. Dari itu, peranan ibu bapa, penjaga kanak-kanak khususnya dan juga orang dewasa amnya di dalam memastikan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak adalah merupakan satu tanggungjawab yang berterusan sehingga kanak-kanak mencapai dewasa. Suasana persekitaran yang optima dan selamat yang membolehkan kanak-kanak untuk terus hidup dan berkembang adalah menjadi hak mereka dan sangat penting bagi pembentukan masa depan yang cerah.

Oleh yang demikian, semua lapisan masyarakat bukan saja di pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan adalah diseru untuk berusaha sama ke arah mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat bagi kanak-kanak demi untuk masa depan Negara Brunei Darussalam. Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada kita khasnya kepada kedua ibu bapa mereka. Oleh itu adalah wajib bagi kita untuk menjaga dan memelihara amanah ini.

Dengan mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan rasminya melancarkan Hari Kesihatan Sedunia Tahun 2003.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Health