B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
Majlis Doa Selamat dan Penghargaan kepada para sukarelawan dan dermawan bagi bantuan kemanusiaan inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada hari Isnin, 28 Februari 2005.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita hadir bersama-sama di majlis ini dengan sukarelawan dan dermawan yang telah menjayakan Inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bagi membantu mangsa gempa bumi dan badai Tsunami di Aceh, Republik Indonesia.

Kejadian gempa bumi dan badai Tsunami pada 26 Disember itu sangat menggemparkan. Ia melanda banyak kawasan di negara-negara persisiran lautan Hindi mengakibatkan kemusnahan yang sangat besar dan ramai mangsa terlibat.

Aceh, wilayah Republik Indonesia di utara Kepulauan Sumatera adalah yang paling teruk terjejas dengan jumlah kematian ratusan ribu jiwaa dan puluhan ribu lagi dihitung hilang. Sesetengah bandar dan desa telah musnah menyebabkan penduduk-penduduknya yang terselamat telah melarikan diri dan berlindung di khemah-khemah pusat penempatan sementara. Di antaranya ialah kanak-kanak yang kehilangan kesemua ahli keluarga mereka.

Kita di Brunei merasa amat bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh semua mangsa bencana tersebut. Sambil bersimpati kita juga insaf bahawa Allah Subhanahu Wataala mengizinkan kita hidup sejahtera, dilindungi dari malapetaka.

Kita bersyukur dan sentiasa akan memohon kepada Allah dan berusaha supaya nikmat serta rahmat-Nya itu akan berkekalan. Antara usaha mengekalkan nikmat dan rahmat Allah itu ialah dengan sentiasa berbuat taat dan beramal salih termasuklah menolong dan bersimpati kepada sesama hamba Allah yang malang seperti mangsa-mangsa gempa bumi dan badai Tsunami itu.

Alhamdulillah, sambutan terhadap usaha-usaha mengumpulkan bantuan dan derma kewangan sangatlah menggembirakan. Banyak pihak telah menganjurkan kegiatan-kegiatan yang bersesuaian dengan ramai orang bersedia melibatkan diri membantu. Semuanya ini adalah tanda sifat mulia masyarakat dan bangsa yang layak kita pelihara serta kembangkan.

Dalam hubungan inilah saya turut mengalu-alukan inisiatif Yayasan menghantar bantuan kemanusiaan ke Aceh. Ianya menterjemahkan perhatian berat serta simpati kita yang mendalam.

Inilah misi sulung bantuan kemanusiaan ke luar negara yang mana buat pertama kalinya sukarelawan Brunei yang terdiri dari doktor dan paramedik Kementerian Kesihatan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei memberikan khidmat di kawasan bencana.

Dan juga buat pertama kalinya, sepasukan anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta orang awam menjalankan operasi mengagihkan bantuan kepada mangsa sampai ke kawasan-kawasan terpencil selain di Banda Aceh dan sekitarnya.

Keberangkatan paduka ayahanda ke wilayah Aceh bagi meninjau sendiri kemusnahan dan seterusnya aktiviti pasukan bantuan adalah merupakan wadah keprihatinan baginda terhadap mangsa-mangsa bencana dan kejayaan misi bantuan berkenaan.

Objektif inisiatif Yayasan itu telah mencapai sasarannya. Ianya juga memberikan pengalaman yang berharga di peringkat pembentukan idea, perancangan, penyelarasan dan seterusnya perlaksanaan. Ianya bukan sahaja melibatkan sokongan logistik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bahkan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei. Kepada semua yang berkenaan itu layak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih.

Saya berharap pengalaman daripada inisiatif ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya oleh Yayasan dalam mengembangkan semangat kesukarelawanan. Terdapat cabaran bagi Yayasan untuk meneruskan inisiatifnya bagi faedah-faedah seterusnya di dalam negeri.

Saya percaya untuk tujuan tersebut, Yayasan akan berusaha mengadakan kerjasama strategik dengan orang ramai serta agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Saya telah difahamkan inisiatif Yayasan di Aceh sedang memasuki fasa kedua iaitu bantuan dalam pembangunan semula sekadar yang kita terdaya. Banyak pihak telah menyatakan kesediaan untuk mendorongnya. Ada yang dengan niat menyumbang untuk membangun masjid, sekolah dan bahkan rumah. Maka hajat serta niat baik sedemikian itu patutlah ditampungi untuk disampaikan menjadi kenyataan.

Akhirnya, sekali lagi saya ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada sekalian sukarelawan dan dermawan yang telah menyokong inisiatif Yayasan setakat ini. Semoga Allah Subhanahu Wataala membalas khidmat bakti dan sumbangan mereka itu dengan balasan yang setimpal.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) The Crown Prince