B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Junjung Ziarah Penuntut-penuntut Brunei Darussalam di United Kingdom dan Eire
pada 11 Zulkaedah 1424/4 januari 2004.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat pula bersama-sama dengan pegawai-pegawai, khasnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian di sini.

Secara kebetulan, kita baru saja meninggalkan tahun 2003 beberapa hari yang lalu, dan kini sedang berada pula dalam tahun 2004. Tahun 2003 amat banyak meninggalkan kesan tragik, akibat daripada kekacauan-kekacauan yang menimpa dunia. Kita berharap, tahun baru 2004 ini akan membuka lembaran yang lebih cerah yang mampu untuk melegakan semua pihak.

Setiap kejadian atau peristiwa itu ada dengan rahsia-rahsianya yang tersendiri. Kita tidaklah tahu apakah hikmah atau rahsia-rahsia tersebut. Allah jualah Yang Maha Mengetahuinya. Namun yang penting bagi kita khasnya para pelajar, ialah melihat perkara itu sebagai proses dan ciri pendidikan untuk mempertajamkan lagi minda dan kesedaran kita.

Apa saja kejadian adalah merupakan perkembangan. Sementara jenis dan bentuk perkembangan itu pula, itulah yang memerlukan penilaian. Kadang-kadang ia berbentuk khusus dan terhad seperti perkembangan di dalam negara sendiri, sementara kadang-kadang pula ia mencakup seluruh alam jagat ini.

Di sinilah seseorang itu akan diuji, sama ada ia insan yang dinamik atau seorang yang beku yang tidak peka dengan perkembangan. Jika dia seorang yang dinamik, maka dia akan mengikuti semua ini dengan mata hati dan fikiran yang luas, sementara jika dia seorang yang beku, dia tidak akan sampai ke mana-mana kecuali kekal dalam kepompong yang sempit dan gelap.

Beta ingin melihat pelajar-pelajar Brunei di sini menjadi generasi yang dinamik yang melihat setiap perkembangan itu dengan kesedaran yang tinggi, sehingga mereka pada suatu masa kelak mampu mencetuskan wawasan dan idea-idea besar untuk negara.

Mereka perlu tahu, bahawa Negara Brunei Darussalam, akan mencapai 20 tahun kemerdekaannya. Di sepanjang masa tersebut, alhamdulillah, ia telah dapat berkembang dengan pesatnya dalam pelbagai bidang dan mampu berinteraksi serta bekerjasama bahkan bersaing dengan negara-negara luar di arena serantau dan antarabangsa.

Kita menikmati kemajuan, di samping juga mengambil berat tentang pelbagai perubahan dan cabaran. Kita tidak pernah memandang ringan cabaran-cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi. Kerana bukanlah semua yang dibawa itu baik dan sesuai dengan aspirasi kita.

Pelajar-pelajar kita sangat perlu memahami semua ini, agar tidak terperangkap oleh gejala-gejala globalisasi yang negatif.

Ilmu pengetahuan adalah satu perkara, sementara kebijaksanaan pula adalah satu perkara lain lagi.

Barang siapa di antara mereka itu yang dapat membezakan antara intan dan permata, maka itulah yang terbaik.

Di dalam pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara, sumber tenaga manusia seperti inilah yang amat dipentingkan. Kerana itu, kerajaan beta tidak ragu-ragu berbelanja untuk semata-mata menyediakan infrastruktur dan apa saja kemudahan bagi mendapatkan tenaga pekerja yang berpendidikan tinggi lagi berkemahiran tanpa mengabaikan faktor-faktor moral dan kebijaksanaan.

Beta percaya, pelajar-pelajar yang ada ini, akan dapat diharap untuk memenuhi aspirasi tersebut.

Insya-Allah, negara akan tetap makmur, aman dan sejahtera serta giat membangun dengan kehadiran para lepasan pelajar-pelajar kita - dari mana saja mereka itu - ke dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Mereka adalah merupakan lampu zaman yang akan terus menyala menyinarkan cahayanya.

Beta berharap, jadilah lampu yang benar-benar unggul, bukan seperti 'lampu minyak tanah', sudahlah kurang terang 'babidu' pula.

Sekianlah, untuk akhirnya, beta dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2004, sambil berharap supaya pelajar-pelajar akan terus tekun dan gigih untuk kejayaan masing-masing.

Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman