B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah selaku Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam
di Majlis Perjumpaan bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Jurulatih-jurulatih Sukan ke Sukan SEA Ke XXII 2003 Viet Nam
pada 12 Jun 2003
di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAH, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita berhimpun untuk bermesyuarat bagi kali ke- dua bagi membincangkan persediaan dan persiapan negara ke Sukan SEA Kali Ke XXII di Viet Nam di antara Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang dijangka akan terlibat.

Mesyuarat ini juga adalah sebagai susulan bagi mesyuarat pertama yang diadakan pda 9 Januari 2003, di mana dalam mesyuarat tersebut, saya telah menekankan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh persatuan-peratuan sukan kebangsaan, iaitu supaya berterus terang terhadap kemampuan para atlet dan sukan masing-masing, sama ada mampu atau sebaliknya untuk menyertai Sukan SEA pada bulan Disember ini nanti. Saya juga menekankan supaya pemilihan atlet/pasukan hendaklah dibuat seawal-awalnya, bagi membolehkan latihan dan persiapan secara berterusan akan dapat dilaksanakan. Saya juga mengharapkan supaya persatuan-persatuan sukan kebangsaan telah membuat perbandingan akan kemampuan atlet dan pasukan masing-masing dengan atlet/pasukan dari negara-negara peserta yang lain, bagi memastikan atlet dan pasukan yang dipilih benar-benar mampu memberikan daya saing yang tinggi dan seterusnya mampu mencapai kejayaan yang cemerlang.

Oleh hal yang demikian, saya berharap mesyuarat pada pagi ini, akan dapat lagi memberikan gambaran yang jelas kepada kita semua, terhadap persediaan-persediaan kontinjen setakat ini, sama ada dalam pemilihan atlet, penyediaan program latihan dan lain-lain persediaan yang diperlukan dalam memastikan persediaan kontinjen negara ke Sukan SEA benar-benar mencapai apa jua yang kita hasratkan.

Saya juga berharap, persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan jurulatih akan dapat memberikan maklum balas sejauh mana persediaan dan persiapan yang telah dilaksanakan, di samping itu, saya juga ingin mengetahui apa jua masalah-masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan jurulatih-jurulatih dalam melaksanakan perancangan yang telah disusun.

Sepertimana yang saya telah difahamkan, bahawa Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pemilihan Sukan, Atlet dan Pasukan Negara di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, telah pun dibentuk. Oleh itu, saya berharap, supaya jawatankuasa ini akan dapat memainkan peranannya dengan berkesan dalam memastikan atlet dan sukan yang disokong benar-benar memenuhi kriteria-kriteria dan kehendak-kehendak yang ditetapkan. Walaupun penyertaan kontinjen negara pada Sukan SEA kali ini mungkin kecil bilangannya, akan tetapi apa yang lebih penting ialah kemampuan dan kejayaan untuk menunjukkan prestasi cemerlang bagi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.

Akhirnya, saya berharap mesyuarat seperti ini akan dapat diadakan lagi dari semasa ke semasa bagi membolehkan kita sama-sama mengetahui perkembangan dan kemajuan pasukan negara dan seterusnya menyelesaikan apa jua masalah-masalah yang dihadapi dalam kita membuat persiapan kontijen negara.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.