B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
di Majlis Pelancaran Hari Kesihatan Sedunia 2004 p
ada hari Rabu 7 April 2004
di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita beramai-ramai hadir di majlis yang berkebajikan ini.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya dengan tulus ikhlas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Pelancaran Hari Kesihatan Sedunia Tahun 2004 kerana menjemput saya hadir bagi melancarkan majlis pada hari ini.

Saya telah difahamkan bahawa Hari Kesihatan Sedunia tahun ini mengutarakan tema mengenai Kesalamatan Jalan Raya. Tema ini adalah bertepatan dengan keadaan masa ini di mana bilangan kenderaan bermotor telah semakin bertambah dan jumlah kemalangan dan kecederaan juga turut meningkat.

Perkara ini adalah sangat membimbangkan. Meningkatnya kemalangan jalan raya dan kes kecederaan mungkin disebabkan kebanyakan orang beranggapan kemalangan tidak dapat dihindarkan. Akan tetapi, banyak risiko yang berhubung kait dengan kemalangan jalan raya dapat dikawal dan kebanyakan kemalangan dan kecederaan dapat dicegah. Sebilangan besar masyarakat juga tidak menyedari setakat mana kesan dan impak bahaya dari kemalangan jalan raya itu.

Mangsa kemalangan bukan sahaja melibatkan kehilangan jiwa atau menerima kecacatan dan kecederaan, tetapi juga akan melibatkan kesan fizikal, psikologikal, sosial dan kesihatan kepada keluarga, sahabat handai, pejabat, tempat bekerja atau tempat belajar. Selain dari itu ianya juga memberi bebanan kos kepada masyarakat dan negara dari segi perbelanjaan rawatan, pemulihan, bantuan kecacatan, kos insurans serta mahkamah dan sebagainya.

Tema Hari Kesihatan Sedunia ini memberi peluang bagi kita untuk meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah kemalangan dan kecederaan. Alhamdulillah, di negara ini saya difahamkan Majlis Keselamatan Jalan Raya telah merancang dan melaksanakan pelbagai strategi dan langkah ke arah keselesaan pengguna dan keselamatan di jalan raya. Walau bagaimanapun, kita sebagai pengguna jalan raya sepatutnya mempertingkatkan lagi usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan, kematian, kecacatan dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di masa depan.

Pada hemat saya, pencegahan kemalangan jalan raya adalah amat penting dan mempunyai impak terhadap kesihatan awam yang mana perlu diberi keutamaan oleh semua pihak berkenaan. Usaha hendaklah dipergiatkan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengambil perhatian berat terhadap keselamatan jalan raya terutamanya kesannya kepada kesihatan dan bebanan yang akan dihadapi.

Dalam memastikan keselamatan jalan raya, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan yang sedia ada hendaklah dipertingkatkan seperti keperluan penggunaan tali pinggang atau topi keledar, kerusi keselamatan kanak-kanak, tegahan penggunaan telefon bimbit seperti yang disarankan, pengawalan had laju dan sebagainya. Di samping itu, mana-mana undang-undang dan peraturan yang telah lama sepatutnya diteliti semua untuk dikemaskinikan.

Selain dari itu, reka bentuk dan infrastruktur jalan raya hendaklah dipastikan mempunyai piawaian keselamatan yang tinggi. Semua kenderaan bermotor juga perlu memenuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan, sama ada yang baru dan yang lama, termasuk pemasangan tali pinggang keledar dan peralatan keselamatan asas yang lain.

Dalam kesempatan ini, saya ingin berseru kepada semua pengguna jalan raya supaya berkongsi tanggungjawab dan berhati-hati serta bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam memastikan keselamatan.

Dalam memastikan keselamatan kanak-kanak, para ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mereka dipasangkan tali pinggang keledar dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, walaupun bagi perjalanan yang dekat. Sekolah-sekolah juga mempunyai peranan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di persekitaran sekolah supaya mereka itu tidak bermain atau berkeliaran di jalan raya yang sibuk dan supaya mereka senantiasa dinasihatkan untuk menyeberangi jalan raya dengan cara yang selamat.

Dengan langkah-langkah yang disebutkan tadi, insya-Allah kita akan dapat sama-sama mengurangkan kemalangan dan kecederaan jalan raya di negara kita ini dan dengan adanya kerjasama semua pihak.

Saya berharap dan berdoa semoga Hari Kesihatan Sedunia tahun ini akan mencapai matlamat yang dihasratkan bagi meningkatkan kesedaran dan langkah-langkah keselamatan jalan raya ke arah pengurangan kemalangan dan kecederaan.

Dengan mendahului kalimat 'Bismillahir Rahmanir Rahim', saya dengan amat sukacita merasmikan pelancaran Hari Kesihatan Sedunia Tahun 2004 bagi Negara Brunei Darussalam.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Foreign Affairs