B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-123 dan Rekrut Wanita Pengambilan Ke-45 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bertempat di Pusat Latihan ABDB, Penanjong Garison
pada hari Jumaat, 12 Safar 1425/2 April 2004.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Dengan mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya juga dapatlah kita sama-sama melihat kesegakan barisan rekrut-rekrut setelah menjalani latihan asas ketenteraan.

Perbarisan Tamat Latihan pada pagi ini merupakan hari yang dinantikan oleh para rekrut lelaki pengambilan ke-123 dan rekrut wanita pengambilan ke-45 yang setentunya akan menambah lagi keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang terlatih. Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada rekrut-rekrut yang terlibat.

Setiap anggota tentera sudah setentunya memahami akan peranan, tugas dan tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan kesucian ugama serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Anggota tentera perlu berusaha mengangkat maruah tersebut kepada tahap yang boleh mengukuhkan kedudukan kita sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan bertamadun.

Maruah bangsa dan negara bergantung kepada kemampuan kita mengekalkan nilai-nilai murni dan bertindak secara profesional ketika berhadapan dengan cabaran. Kemampuan, kecekalan, keberanian dan kebijaksanaan tidak akan mudah dimiliki tanpa ilmu pengetahuan yang relevan dan akal yang sihat serta jiwa yang murni. Ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu berlandaskan akhlak mulia, keikhlasan, pengorbanan dan kejujuran supaya tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan menjanjikan hasil yang bernilai tinggi seperti yang diharapkan oleh sesebuah negara.

Profesionalisme merupakan salah satu nilai yang patut menjadi matlamat setiap anggota tentera. Diharapkan profesionalisme yang dicapai akan memperkasa kedudukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sebagai benteng pertahanan yang setanding dengan angkatan-angkatan bersenjata yang ulung di rantau ini dengan semangat waja.

Petikan sejarah Islam perlu dijadikan iktibar seperti Perang Uhud yang memberikan pengajaran yang amat besar kepada umat Islam dari segi mental dan psikologi, khususnya daripada sikap sesetengah tentera Muslimin yang meninggalkan tempat bertahan, sekalipun sebenarnya telah diperintahkan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam supaya jangan berganjak daripada kedudukan yang telah ditentukan, walaupun dalam situasi yang bagaimana. Tetapi oleh kerana pesona dunia hendak mendapatkan harta rampasan, maka mereka telah melanggar perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini, sehingga akibatnya tentera kaum Muslimin mengalami kesulitan. Namun alhamdulillah, berkat kepimpinan Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, maka pada akhirnya, kekuatan tentera Muslimin dapat digembleng semula, sekalipun sekitar 70 orang pahlawannya telah terkorban.

Setiap anggota tentera perlu memiliki sifat-sifat tabah, sabar dan cekal dalam mempertahankan diri, masyarakat, ugama dan negara dari apa jua bentuk ancaman. Ianya memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta, masa dan juga nyawa.

Rahsia kekuatan dan ketabahan umat Islam adalah terletak pada aqidah dan kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wataala, di samping tidak mengabaikan faktor-faktor lahiriah yang berbentuk fizikal. Di samping itu, ilmu pengetahuan dan pendidikan merupakan asas penting bukan sahaja dalam bidang ugama atau kemasyarakatan termasuk juga ilmu ketenteraan.

Saya berharap kualiti pendidikan dan latihan di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ini akan terus diberi perhatian utama dan dipertingkatkan supaya sentiasa relevan dan sesuai dengan perkembangan semasa. Saya penuh yakin anggota tentera mampu untuk mengubah setengah persepsi masyarakat bahawa kerjaya tentera bukanlah pilihan kerjaya terakhir.

Dengan disiplin yang mantap dan tabah menghadapi cabaran akan menaikkan martabat anggota tentera kepada kedudukan yang selayaknya. Buktikan pada masyarakat bahawa anggota tentera merupakan nadi dalam mempertahankan maruah sesebuah negara, bangsa dan watan daripada anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan serta mampu menjadi perangsang kepada geneasi muda untuk menceburi kerjaya yang penuh cabaran dan sentiasa relevan setiap masa.

Ingatlah bahawa penglibatan anggota tentera dalam gejala sosial walaupun jumlahnya kecil, akan membawa mesej yang pahit untuk diterima oleh anggota tentera pada keseluruhannya yang sepatutnya penuh dengan disiplin.

Akhirnya, saya berharap semoga setiap anggota tentera khasnya dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei amnya akan terus maju dan tetap cekal menghadapi cabaran yang bakal dilalui.

Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman