B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, di Majlis Perasmian Seminar Kesukarelawan anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 13 Safar 1425/3 April 2004. Budaya tolong-menolong masih diamalkan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita hadir beramai-ramai di Majlis Perasmian Seminar Mengenai Kesukarelawan yang dianjurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Antara ciri-ciri yang unggul dalam cara hidup dan budaya masyarakat Brunei ialah amalan tolong-menolong sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sesama anggota masyarakat. Budaya tolong-menolong di kalangan masyarakat Brunei memang telah lama wujud. Orang Brunei juga terkenal dengan sifat tidak camah mata iaitu satu sifat terpuji di mana semua anggota masyarakat bertolong-tolongan sesama mereka, menangani pelbagai masalah dalam kehidupan mereka tanpa mengharapkan imbalan atau bayaran. Walaupun terdapat perubahan tertentu berikutan perubahan suasana dan keadaan, namun kita merasa bersyukur dan berbangga kerana masih terdapat pihak-pihak yang prihatin dan masih terus mengamalkan budaya tolong-menolong ini. Pihak yang saya maksudkan itu termasuklah agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang-orang perseorangan. Kita juga menyedari, terdapatnya segelintir anggota masyarakat yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Mereka itu benar-benar daif dan susah seperti anak-anak yatim, orang-orang cacat anggota, anak-anak dari keluarga miskin serta mereka yang terabai dan tercicir. Akhir-akhir ini penderitaan mereka telah dipaparkan melalui media massa. Setiap kali berita mengenainya tersiar banyaklah pihak-pihak yang tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelbagai pihak yang telah berterusan menghulurkan bantuan kepada golongan yang daif dan susah ini. Sesungguhnya penglibatan mereka itu mengukuhkan lagi semangat dan budaya pemedulian di kalangan bangsa kita. Ianya sangat mustahak untuk mengusahakan aplikasi semangat dan budaya pemedulian itu secara sistematik, supaya dapat lebih mendatangkan kesan dan kemanfaatan. Dalam hubungan inilah, saya mengalu-alukan langkah menganjurkan seminar ini iaitu mengenai kerja-kerja sukarela yang lebih sistematik. Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah memanglah tepat mengambil inisiatif di dalam peranannya sebagai badan amal bukan kerajaan yang terbesar di negara kita. Saya berharap langkah-langkah susulan akan diadakan selepas ini yang bertujuan menyelaraskan kegiatan-kegiatan kebajikan khasnya pada menyalurkan bantuan yang berpatutan kepada mereka yang layak dan patut dibantu. Saya juga percaya bahawa seminar ini akan membantu merealisasikan titah paduka ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa perjumpaan baginda sempena Hari Raya Aidilfitri dengan profesional-profesional muda beberapa bulan yang lalu. Titah baginda antara lainnya telah menyentuh kepada keperluan profesional-profesional muda untuk menyumbangkan kepakaran dan kebolehan mereka secara sukarelawan dengan berganding bahu bersama yayasan baginda. Penglibatan para profesional muda dalam kerja-kerja berkebajikan, tidak semestinya mengambil bentuk mata benda tetapi mungkin secara nasihat atau tunjuk ajar bagi meningkatkan kemahiran atau menambahkan pendapatan masyarakat yang berhajat. Sukarelawan tidak seharusnya terdiri dari mereka yang sedang berkhidmat sahaja, malah termasuk juga mereka yang sudah bersara yang mungkin mempunyai masa yang terluang untuk membuat kerja-kerja secara sukarela yang berkebajikan. Saya berharap agar peserta seminar ini akan dapat memanfaatkan maklumat dan pengetahuan mengenai semangat bersukarela atau volunteerism yang akan disampaikan oleh penceramah-penceramah dari Yayasan Mendaki Singapura yang mana saya difahamkan telah berpengalaman membantu masyarakat Melayu Singapura dalam pelbagai bidang. Dalam kesempatan ini, saya juga ingin berseru kepada para peserta seminar dan pihak-pihak yang lain supaya tampil ke hadapan untuk menawarkan diri mereka sebagai sukarelawan bagi memberikan khidmat bakti mereka untuk turut sama-sama memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara kita yang tercinta ini. Saya yakin bahawa Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan mengalu-alukan dan menghendaki bantuan mereka dalam melaksanakan projek-projek dan rancangan-rancangannya. Akhirnya dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Mengenai Kesukarelawan anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada pagi ini. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.