B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah
di Majlis Pembukaan Rasmi Seminar Promosi Kesihatan, Konvensyen Kebangsaan Promosi Kesihatan 2004 dan Pelancaran Buku 'Rokok dan Merokok', terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri
di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa
pada hari Isnin, 6 Jamadilakhir 1425/26 Julai, 2004.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita hadir beramai-ramai di Majlis Pembukaan Rasmi Seminar Promosi Kesihatan, bersempena Konvensyen Kebangsaan Promosi Kesihatan 2004 dan Pelancaran Buku 'Rokok dan Merokok'.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Konvensyen Kebangsaan Promosi Kesihatan dengan tema Membentuk Masyarakat Sihat adalah tepat pada masanya di mana kes-kes penyakit kronik tidak berjangkit semakin meningkat dan menjadi penyebab utama kematian di negara-negara maju dan membangun termasuk Negara Brunei Darussalam. Fenomena ini berlaku disebabkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam cara hidup bermasyarakat kini.

Perkara ini amatlah membimbangkan yang mana patut diambil perhatian oleh kementerian yang berkenaan dan juga semua pihak di negara ini.

Penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung koronari, kencing manis, strok dan tekanan darah tinggi pada hakikatnya insya-Allah, boleh dicegah melalui amalan cara hidup sihat dengan mengamalkan kegiatan fizikal, di samping mengelakkan pemakanan yang tidak sihat, berlemak dan berkalori tinggi, termasuk tabiat tidak sihat seperti merokok dan sebagainya.

Salah satu persoalan yang menarik ialah tentang sikap sesetengah orang yang sanggup mengambil risiko dan tidak mengendahkan orang-orang sekelilingnya walaupun menyedari tentang bahaya tabiat merokok dan adanya tanda 'ditegah merokok' di tempat-tempat awam.

Pengeluaran fatwa mengenai rokok dan merokok adalah salah satu langkah ke arah mewujudkan sebuah negara yang bersih dan sihat daripada penyakit-penyakit berpunca dari tabiat merokok. Jika kita ingin melihat negara ini menjadi destinasi yang menarik dengan suasana dan persekitaran yang bersih, aman dan damai, maka kita hendaklah menjauhkan sifat mementingkan diri sendiri.

Masalah dan kesan dari rokok dan tabiat merokok itu bukan lagi dilihat sebagai masalah individu tetapi adalah masalah nasional dan negara. Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membelanjakan satu jumlah yang bukan sedikit semata-mata bagi menyediakan rawatan kepada pesakit-pesakit yang sebahagiannya disebabkan oleh kesan daripada tabiat merokok itu.

Buku yang bertajuk 'Rokok dan Merokok' diharapkan akan dapat memberikan penjelasan dan kefahaman tentang kenapa tabiat merokok itu sememangnya mesti dihentikan dan ditinggalkan.

Dengan menyedari kepentingan kesihatan pergigian pula, tabiat menjaga kebersihan gigi melalui amalan memberus gigi dan pemakanan yang sihat perlu dipupuk di peringkat kanak-kanak lagi. Kempen memberus gigi di sekolah perlu diteruskan dan dipertingkatkan lagi, di samping floridasi bekalan air diambil perhatian yang sewajarnya bagi mencegah kerosakan gigi dapat dicapai.

Satu program pendidikan dan promosi kesihatan perlu diadakan untuk meningkatkan pengetahuan kepada rakyat dan penduduk di negara ini mengenai aktiviti fizikal. Usaha yang bersepadu dan berterusan dalam jangka masa panjang perlu diambil seperti membentuk program pencegahan obesiti kebangsaan yang meliputi aspek kesihatan terutamanya dari aspek pemakanan dan kegiatan fizikal.

Kita juga mesti peka dengan alam sekitar yang bersih kerana setiap hidupan yang ada di muka bumi ini saling bergantung terhadap satu dengan lainnya. Kebersihan alam sekitar bukan saja mencerminkan keindahan sesebuah negara bahkan ianya mencerminkan tanggungjawab yang patut dilaksanakan dan sikap masyarakat itu sendiri terhadap kepentingan memelihara alam semula jadi untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.

Kemunculan penyakit-penyakit berjangkit seperti SARS dan Selesema Burung yang sebahagiannya adalah berpunca dari tahap kebersihan alam sekitar. Dari itu, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan persekitaran dan menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan pembiakan serangga-serangga pembawa penyakit seperti nyamuk yang boleh menyebabkan wabak penyakit seperti denggi dan malaria.

Dalam memastikan tema konvensyen ini dapat direalisasikan, maka semua pihak yang terlibat perlu bertindak secara bersepadu dengan penglibatan semua lapisan masyarakat, sektor kerajaan dan bukan kerajaan, swasta dan juga setiap individu yang dipercayai dapat menyokong dan mempertahankan usaha ke arah amalan cara hidup sihat sebagai budaya hidup rakyat dan penduduk negara ini.

Dengan mendahulukan kalimah 'Bismillahir Rahmahir Rahim' serta selawat dan salam ke atas junjung besar Nabi kita Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan rasa syukur sambil memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wataala, sukacita merasmikan Seminar Promosi Kesihatan, Konvensyen Kebangsaan Promosi Kesihatan 2004 dan melancarkan buku 'Rokok dan Merokok', terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman