B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz
Majlis Perasmian Kongres Agung Perwakilan Majlis Belia Brunei (MBB) pada hari Ahad, 16 Januari 2005 di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SESUNGGUHNYA saya bersyukur dan bergembira dapat bertemu dan bersemuka dengan Ahli-ahli Majlis Belia Brunei yakni MBB yang pernah saya sertai dan berkecimpung secara aktif empat dekad yang lalu, menaikkan semula semangat saya bila mengingatkan pengalaman, perjuangan dan liku-liku yang dilalui oleh MBB sewaktu penubuhan awalnya. Hanya usia yang menjadikan saya lebih tua dan tanggungjawab yang lain menghalang saya untuk terus bergiat secara aktif dalam MBB. Apa yang saya mungkin dapat mampu hulurkan hanyalah sekadar sokongan moral dan doa kepada usaha-usaha dan aktiviti-aktiviti yang berkebajikan yang dijalankan oleh MBB dan turut sama bergembira atas kejayaan-kejayaan yang dicapai olehnya.

Sebagaimana yang saya pernah nyatakan kepada MBB sebelum ini iaitu dalam konteks pengolahan pembangunan bangsa dan Negara Brunei Darussalam adalah wajar dan penting untuk ditentukan pertapakannya masa kini dan haluan masa depan setelah kita mengetahui sejarahnya. Kita tidak akan membangun dengan jayanya apabila kita lupa atau sengaja melupakan sejarah awal seperti mana amalan seorang doktor yang mementingkan sejarah pesakitnya sebelum menentukan ubat dan cara rawatan yang akan diberikan.

Apabila menyingkap sejarah penubuhan awal persatuan-persatuan di negara ini di sekitar tahun 60-an telah menampakkan perkembangan yang sungguh membanggakan dalam mana pada tahun 60-an merupakan era kegemilangan bagi persatuan-persatuan dan pertubuhan belia di negara ini. Dari seawal-awal tahun 60-an, persatuan belia sudah bergabung (affiliated) dengan persatuan luar negara yakni WAY. Pergerakan belia dan persatuan-persatuan ternampak lebih menonjol pada pertengahan tahun 60-an melalui dua fakta utama yang berkaitan yang membantu perkembangan tersebut.

Pertama ialah sokongan kerajaan sehingga kini terdapat pergerakan belia dan kedua ialah pucuk pimpinan dan semangat dan keghairahan belia di zaman itu. Di awal penubuhannya dalam pertengahan tahun 60-an, MBB telah dapat memberikan keyakinan kepada kerajaan dan masyarakat betapa badan ini memiliki potensi yang besar untuk memajukan bidang sosioekonomi, budaya bangsa dan negara.

Keyakinan ini saya ingat dan percaya adalah bersandarkan kepada pucuk pimpinan MBB yang mantap yang diterajui oleh belia muda lepasan pengajian tinggi luar negeri seperti antaranya Md. Zain Haji Serudin, Yahya Yusof, Ahmad Kadi, Musa Eden, Suni Idris dan diikuti kemudiannya akhir-akhir ini oleh Junaidi Orang Kaya Safar dan Haji Md. Zain bin Tengah dan banyak lagi antara yang bertanggungjawab dalam merangka fungsi pergerakan MBB yang berdasarkan kepada perlembagaan dan objektif utamanya iaitu untuk meningkatkan kemajuan dalam bidang ekonomi belia di samping pergerakan-pergerakan yang sihat di bidang sosial dan kebudayaan.

Maka, dengan fakta-fakta ini ditambah lagi dengan suasana yang kondusif dan menggalakkan, tidak hairanlah pertumbuhan persatuan-persatuan begitu pesat ibarat cendawan tumbuh di musim hujan, bergiat dalam pelbagai macam bidang terutama bidang ekonomi, sosial dan sukan. Dalam bidang ekonomi, banyak yang menjalankan perusahaan seperti perkhidmatan-perkhidmatan bas sekolah, stesen-stesen minyak, kedai-kedai koperatif, ladang-ladang pertanian dan seumpamanya.

Ada persatuan yang menjalankan aktiviti-aktiviti dalam kebudayaan seperti puisi, bahas, perkampungan, sastera dan tidak kurang pula yang bergiat aktif dalam bidang sukan. Pada misalnya, Persatuan Kampong Sumbiling yang dipimpin oleh Awang Haji Hussain bin POKDG Haji Md. Yusof terkenal dengan pasukan bola sepaknya, di mana lebih dari separuh pemain bola sepaknya diserapkan dalam Pasukan Kebangsaan Brunei di tahun 60-an. Pada hakikatnya semangat waja yang berkobar-kobar dan keghairahan ahli-ahli persatuan di bawah bimbingan MBB sebagai indungnya memberikan nafas dan kekuatan kepada pergerakan persatuan-persatuan di negara ini. Pada waktu itu, MBB berslogankan 'Belia Sedar Mewakili Zamannya'. Kreadibiliti MBB begitu cemerlang sehingga Majlis Kongres MBB dibuka rasmi sendiri oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, membayangkan betapa tingginya penghormatan yang pernah dikurniakan kepada MBB.

Mungkin sudah tersurat ... yang aktif menjadi lemah dan yang bermula menemui kesudahan dan seterusnya ... hanya perwira waja sahaja yang terus berjuang.

Era kegemilangan persatuan belia yang dikecapi pada tahun 60-an seolah-olah berakhir dan mula menurun setelah melalui dekad berikutnya, sebagaimana juga dengan penubuhan awalnya yang begitu banyak, begitu jua kemerosotan dan kemalapannya. Potensi yang cerah seolah-olah menjadi malap. Satu demi satu persatuan-persatuan di negara ini terhenti dan hilang begitu saja, yang tinggal hanya beberapa buah persatuan saja yang berupaya meneruskan kegiatannya terutamanya yang berkecimpung dalam bidang ekonomi. Mengapa perkara sebegini boleh berlaku? Banyak punca dan alasan yang dapat disenaraikan dan dibahaskan dan boleh diambil sebagai satu pengajaran dan iktibar.

Dalam hubungan ini saya berpendapat bahawa MBB sebagai indung kepada pertubuhan belia di negara ini harus mengumpul data-data dengan jujur dan saksama terhadap kemajuan yang telah dicapai dan dalam masa yang sama meninjau kembali kegagalan yang berlaku dan seterusnya mencari jalan atau petua yang benar-benar pragmatik untuk menghidupkan zaman kegemilangannya dengan memperluaskan peranannya dalam perspektif dan bentuk baru yang memfokus kepada perkembangan sosioekonomi dan teknologi masa kini dan akan datang selaras dengan aspirasi negara dalam menghadapi cabaran globalisasi dan alaf 21 ini.

Peranan tersebut sudah setentunya meluas mencakupi antara lain keperluan pendidikan dan peningkatan kemahiran para belia, dalam sama-sama membantu lepasan sekolah dan para belia untuk mendapatkan pekerjaan dan berkecimpung dalam bidang perniagaan dan dengan demikian dapat mengurangkan masalah pengangguran di kalangan para belia.

Kita sedia maklum masyarakat masa kini melalui kehidupan moden yang terbuka yang dibawa oleh arus perkembangan ICT dan globalisasi yang mempengaruhi semua corak kehidupan kita malah menukar pemikiran dan ekspektasi ke tahap yang berlainan. Sungguhpun perkembangan ini banyak membawa kebaikan, namun di sudut lain ia juga boleh membawa keburukan yang memerlukan kita sentiasa berhati-hati dan berwaspada.

Kehadiran gelombang globalisasi tidak akan dapat dihalang namun pengaruh dan hala tujunya boleh dikawal dan dibentuk mengikut cara kita, calak Brunei agar tidak menjejaskan pegangan hidup orang Brunei yang turun-temurun berlandaskan kepada agama Islam dan budaya bangsa yang kita warisi dari nenek moyang kita.

Maka di sinilah peranan pendidik dan persatuan belia untuk mendidik dan menanamkan dalam diri pelajar-pelajar dan para belia bukan saja keperluan memiliki pendidikan dan kemahiran yang tinggi tetapi juga mempunyai keimanan dan pegangan yang kukuh bagi menghadapi sebarang cabaran dengan lebih yakin.

Tidak syak lagi pegangan yang terbaik itu ialah pegangan yang berlandaskan kepada Islam yang pastinya akan menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Telah terbukti bahawa pegangan utama yakni Isma' yang diamalkan oleh sebilangan besar manusia di dunia ini seperti sosialisme dan komunisme tidak dapat berfungsi sebagai penyelesai masalah dunia dan telah mengalami keruntuhan. Sehingga pegangan yang universal seperti kapitalisme dan demokrasi mengandungi banyak kelemahan dan tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah sosioekonomi dan politik sesuatu masyarakat dan negara. Maka itu, tidakkkah yang lebih baik dari pegangan yang datangnya dari Allah Subhanahu Wataala yang menentukan apa yang baik untuk manusia dan apa yang tidak baik untuk manusia yang dicipta-Nya?

Semua isi alam ini adalah ciptaan Allah Subhanahu Wataala. Masing-masing dengan kelemahan dan kekurangannya, sudah tentu tidak akan dapat menandingi kekuasaan Allah Subhanahu Wataala, apatah lagi dijadikan sebagai pegangan hidup yang hakiki. Samalah seperti kata orang, kalau kita berpegang kepada kayu, kayu pandai mumut, kalau kita berpegang kepada besi, besi pandai bertagar, kalau kita berpegang kepada manusia, manusia pandai berubah. Maka, sebaik-baiknyalah kita 'Berpegang kepada Allah'. Allah Subhanahu Wataala ada berfirman yang tafsirnya: "Barang siapa yang berpegang selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya dan di akhirat nanti termasuk di kalangan orang-orang yang rugi." (Surah Ali-'Imran).

Saya amat menghargai projek-projek dan usaha MBB selama ini akan tetapi akan bertambah-tambah manfaatnya kiranya MBB dapat memfokus peranannya ke arah pembentukan yang berlandaskan kepada kekukuhan iman bagi menghidupkan semula semangat asalnya yang berkobar-kobar dengan perspektif baru. Melalui kekuatan iman inilah kita harus meneruskan usaha-usaha ekonomi, sosial dan seumpamanya. Insya-Allah, belia-belia akan tentu melimpasi kejayaan-kejayaan yang sudah-sudah.

Menggerakkan persatuan belia pada era globalisasi ini merupakan suatu cabaran besar yang memerlukan kerjasama semua pihak dan agensi serta seluruh lapisan masyarakat lebih-lebih lagi daripada para Penghulu, Ketua Kampung dan juga para ibu bapa.

Dalam bidang pendidikan, sejauh ini pelbagai usaha telah dibuat dengan memberikan didikan dan kemahiran serta pengalaman yang menyeluruh kepada para belia melalui pendidikan formal dan kegiatan-kegiatan kokurikulum. Setiap pelajar juga diwajibkan dalam sekurang-kurangnya satu kegiatan dalam ECA termasuk menganggotai persatuan beruniform.

Pendidikan dalam konteks matlamat falsafah pendidikan negara bukan semata-mata menumpukan kepada bidang akademik malah ke arah melahirkan insan yang sempurna dari semua aspek termasuklah kemahiran-kemahiran kepimpinan.

Dibandingkan dengan para belia yang terdahulu, belia-belia sekarang mempunyai lebih keistimewaan dari segi tahap pendidikan dan kemudahan-kemudahan moden. Sebagai misalnya, kadar literasi belia pada tahun 2001 di negara ini bagi yang berumur di antara 15 hingga 24 tahun adalah 99.4 peratus. Di kalangan negara-negara Islam, Negara Brunei Darussalam mempunyai kadar literasi belia yang tertinggi sekali, manakala di kalangan negara-negara ASEAN pula, kadar literasi belia negara ini, di kedudukan kedua selepas Republik Singapura yang mempunyai kadar literasi belia pada tahap 99.8 peratus.

Sungguhpun kita mempunyai kelebihan-kelebihan tersebut dalam konteks belia, kita sekarang seolah-olah ketandusan pemimpin belia yang benar-benar komited untuk menggerakkan persatuan-persatuan belia. Apakah belia kita sudah kurang sedar? Atau tidak lagi mewakili zamannya?

Inilah persoalan yang perlu ditangani dengan bijaksana dengan mencari punca sebenarnya yang boleh memperkasa semula para belia dengan kegemilangan yang pernah kita alami suatu ketika dulu. Antara langkah-langkah yang dapat dibuat misalnya di peringkat kampung boleh mewujudkan program-program dengan melibatkan tenaga belia dengan mengadakan kegiatan-kegiatan yang digemari oleh golongan ini seperti dalam kesukanan, majlis-majlis keagamaan dan kebudayaan dan riadah, melibatkan setiap belia dalam apa jua kegiatan kampung dengan diberikan mereka tanggungjawab dan tugas-tugas tertentu.

Para pemimpin belia yang berpengalaman hendaklah 'menggiring' dan memberikan bimbingan kepada belia-belia baru di kampung masing-masing terutama dalam pergerakan-pergerakan ekonomi. Dalam pada itu para ibu bapa dan keluarga memberikan sokongan padu kepada anak-anak muda belia mereka untuk bergiat dalam perkara-perkara berkebajikan dalam masyarakat.

Saya penuh yakin MBB dengan pucuk pimpinan yang akan dipilih akan dapat memberikan nafas baru kepada pertubuhan belia di negara ini, berupaya menarik keahliannya di kalangan mereka yang mempunyai pendidikan kemahiran tinggi dalam pelbagai bidang yang sekarang lebih ramai dibandingkan dengan di zaman tahun 60-an, yang akan membantu perkembangan pergerakan belia di negara kita, hala tuju yang lebih terarah dan teratur sesuailah dengan slogannya 'Belia sedar mewakili zamannya'. Berpandukan kepada pengalaman saya yang pernah berkecimpung dalam MBB, satu hal yang harus tidak akan terabai ialah kualiti dan pengorbanan pucuk pimpinan dengan semangat dan kegigihan serta tanggungjawab pada mengesankan falsafah dan objektif MBB itu sendiri.

Maka, wajarlah Kongres Agung Perwakilan Belia hari ini tidak setakat bagi kepentingan bersidang kerana tuntutan perlembagaannya tetapi yang lebih penting ialah menilai apa yang telah dibuat dan apa pula yang akan dilakukan seterusnya bagi kepentingan dan kesejahteraan belia dan beliawanis di Negara Brunei Darussalam.

Saya mengucapkan selamat bersidang dan dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya rasmikan Kongres Agung Perwakilan Majlis Belia Brunei pada hari ini dengan doa semoga diberkati oleh Allah Subhanahu Wataala.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Pehin Aziz