Ucapan
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah,
Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri,
Seminar Innovation and Creativity in the Civil Service,
Institut Perkhidmatan Awam, 5 Mac 2005

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang mana dengan hidayat dan izin-Nya jua maka kita dapat bersama-sama pada pagi ini bagi menyempurnakan pelancaran seminar 'Innovation and Learning Organisation' pada hari ini dan seterusnya berpeluang untuk mendengar ceramah-ceramah yang akan disampaikan pada pagi dan petang ini.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

To our guest speakers, it gives me great pleasure to welcome the three speakers from the Civil Service College, Singapore and the Singapore Police Force to Brunei Darussalam. I believe that there are 'good practices' to be learned from the experience of Singapore in the theme of this seminar. I hope the seminar participants will take advantage of their presence here to exchange ideas in this very important theme 'Innovation and Creativity in the Civil Service.' Please allow me to continue my address in the Malay Language.

Ada baiknya kita mengimbas kembali dan mengambil iktibar akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-21 baru-baru ini yang mana antara lain Baginda menitahkan:

"... Menyentuh mengenai pembangunan negara yang mantap, ia adalah bergantung kepada jentera Perkhidmatan Awam yang dapat memenuhi keperluan dan harapan masyarakat. Lalu untuk itu Kerajaan Beta telah mewujudkan satu Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21. Setiap agensi kerajaan hendaklah memastikan diri masing-masing dapat mencapai wawsan tersebut. Semua Kementerian dan Jabatan Kerajaan dikehendaki mengenalpasti isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional bagi dibincang dan seterusnya diselaraskan bersama-sama ..."

demikian titah Baginda.

Kepada kita sekalian, sebagai tenaga penggerak jentera Perkhidmatan Awam, sama ada dalam kapasiti sebagai Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Eksekutif Pengarah, Ketua Jabatan, Pengurus, Pegawai Kanan, Pegawan dan tenaga pembantu kepada pengurusan, titah baginda itu adalah jelas memberikan arahan, harapan dan tanggungjawab kepada Perkhidmatan Awam negara ini bagi mendukung pembangunan negara yang mantap dan mempunyai daya saing serta memberikan kepuasan kepada pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada orang ramai dan sektor swasta.

Manakala Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 yang ingin kita capai menggariskan hala tuju Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam dalam menghadapi cabaran-cabaran, persaingan dan ekspektasi era globalisasi dan infotelekomunikasi serta meningkatkan kemajuan dan pembangunan negara, disamping memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang kepada pelanggan.

Menyedari akan hakikat ini, cabaran yang kita perlu hadapi dan tangani bersama di dalam Perkhidmatan Awam ialah bagaimana kita merubah tanggapan, keluhan, ketidakpuasan dan kekecewaan pelanggan-pelanggan ke atas terdapatnya 'red tapes' dalam birokrasi kerajaan yang menyebabkan kelambatan, kurang peka ke atas permintaan dan ekspektasi dan melemahkan semangat usaha niaga, kepada 'red carpet' atau hamparan permaidani merah yang memberikan layanan baik dan kepuasan serta memudahkan segara urusan peribadi dan niaga kepada pelanggan.

Kerana perlu kita ingat, suatu hari kita sendiri juga akan menjadi pelanggan kepada Perkhidmatan Awam apabila kita sudah menamatkan perkhidmatan. Dalam mana kita sendiri juga yang akan datang berurusan dengan agensi-agensi berkenaan di dalam Perkhidmatan Awam.

Justeru itu, siapakah yang akan kita salahkan jika masih terdapat kelambatan, kurang efisien, kurang pemedulian dan masih tidak 'up-to-date' di dalam Perkhidmatan Awam sedangkan kita sendiri pernah menjadi warga Perkhidmatan Awam dan diberikan peluang, kesempatan dan tanggungjawab untuk merubah, memartabatkan dan memperbaikinya.

Kita perlu berbuat sesuatu dan mengambil tindakan yang selayaknya baik secara individu mahupun kolektif bagi mencapai matlamat Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 dengan seberapa segeranya. Lebih-lebih lagi apabila kita menyedari dan melihat di dalam organisasi kita terdapat unsur-unsur berikut:

  1. Tenaga kerja kita kurang motivasi dan minat dalam melaksanakan kerja dan tugasan mereka
  2. Tenaga kerja kita kurang kemahiran dan pengetahuan bagi menyesuaikan dengan tugas dan kerja baru yang diberikan
  3. Ketua jabatan sahaja yang memberikan arahan, manakala pegawai dan kakitangan yang lain hanya menunggu dan menerima arahan
  4. Kakitangan sering bertelagah dan kurang produktiviti kerja
  5. Kurang komunikasi di antara pegawai dan kakitangan
  6. Kompelin pelanggan didiamkan dan tidak sampai kepada pihak atasan dalam pengurusan; dan
  7. Kompelin dan masalah yang sama sering berulang

Jika senario demikian yang terdapat di dalam sesebuah organisasi, ianya memerlukan pengurusan perubahan yakni 'change management' dan inovasi melalui proses organisasi pembelajaran yakni 'Learning Organisation' yang melibatkan semua anggota di dalam organisasi berkenaan.

Perkhidmatan Awam bukan sahaja diperlukan untuk menjadi lebih efisien, efektif dan produktif dalam urusan-urusan perlaksanaan pentadbiran kerajaan bagi membolehkan kita menghadapi cabaran-cabaran globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tetapi kita juga diperlukan mempunyai daya inovatif dan kreatif yang tinggi dalam menghasilkan produk-produk dan pemberian perkhidmatan-perkhidmatan kepada stakeholders atau pihak yang kepentingan yangmana juga termasuk orang ramai dan swasta.

Daya kreatif dan inovatif yang tinggi akan menjadikan Perkhidmatan Awam lebih berkeupayaan untuk memainkan peranannya sebagai fasilitator atau pemudah cara pembangunan yang boleh menjadikan negara kita lebih kompetitif dalam persaingan dengan negara-negara lain dan di pasaran global.

Kita sendiri melihat dalam mana yang terdapat negara-negara yang kecil seperti Sweden, Finland dan Republik Singapura dengan sumber yang terhad berhasil mencapai kemajuan dan pembangunan yang pesat melalui persaingan yang cemerlang di pasaran dunia.

Kejayaan negara-negara tersebut adalah disebabkan oleh sumber tenaga manusia yang terbangun dan kemampuan mereka menggunakan ilmu pengetahuan dan informasi secara strategik dalam meningkatkan produktiviti dan mengekalkan (sustain) hasil pendapatan negaranya di tahap yang tinggi.

Dalam waktu yang sama negara-negara berkenaan melalui proses organisasi pembelajaran telah dapat membuat perubahan dan inovasi yang pantas selaras dengan perubahan iklim dan persekitaran dan bagi memenuhi permintaan, ekspektasi dan cabaran semasa.

Disamping itu, dengan menggunakan pengetahuan dan informasi, mereka juga akan berani mengambil risiko di dalam membuat keputusan strategik yang memberikan pulangan yang menguntungkan kepada mereka.

Dalam hubungan ini, negara kita sudah lama mengiktiraf dan menghayati tentang perlunya pembangunan sumber manusia sebagai aset negara yang terpenting. Mempercepatkan pembangunan sumber manusia adalah menjadi objektif dalam beberapa perancangan kemajuan negara lima tahun yang sudah dilaksanakan dan objektif ini juga akan dikekalkan dan diberikan keutamaan dalam perancangan-perancangan lima tahun yang akan datang.

Persoalannya sekarang, adakah organisasi-organisasi kita atau jabatan-jabatan kita sudah bertindak secara proaktif meningkatkan kebolehan atau keupayaan pegawai-pegawai kita untuk memperoleh, menerima dan menggunakan pengetahuan bagi meningkatkan 'intellectual capacity' mereka?

Adakah struktur organisasi kita terlalu ketat yang menyebabkan tersekatnya kelicinan pembangunan negara?

Perkara ini perlu diteliti dan dikaji supaya kita dapat membuat beberapa perubahan dalam menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan pembelajaran berterusan, mengambil risiko, kerja berpasukan, kreativiti, inovasi dan perkongsian pengetahuan.

Adalah penting bagi kita untuk membuat beberapa perubahan yang membolehkan pegawai-pegawai kita untuk memperoleh, menerima dan menggunakan pengetahuan lebih efektif dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah dan metodologi melalui pemberian latihan dan perkembangan berterusan bagi membolehkan mereka menjadi pekerja-pekerja yang berpengetahuan yang efektif. Pekerja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan sikap yang positif akan lebih dapat menyesuaikan diri mengikut perubahan teknologi dan tempat bekerja untuk menjadikan mereka sentiasa produktif.

Kita menaruh keyakinan bahawa dalam era ekonomi berteraskan pengetahuan ini disamping 'faktor modal' dan buruh, keupayaan intelek adalah menjadi faktor pengeluaran utama yang boleh menjadikan sesebuah negara itu berjaya.

Satu konsep pengurusan yang perlu diketengahkan dalam hubungan ini ialah 'Learning Organisation' atau Organisasi Pembelajaran. Ada terdapat banyak definasi mengenai konsep ini. Misalannya, Peter Senge (1990) mentakrifkan bahawa Learning Organisation ialah sebuah organisasi

'... that is continually expanding its capacity to create its future ... and where people are continually learning how to learn together ...'

Manakala Richard Kasarah mendefinasikan

'... A Learning Organisation is one in which people at all levels, individually and collectively are continually increasing their capacity to produce results they really care about ...'

Terdapat beberapa dimensi atau ciri-ciri yang melayakkan sesebuah organisasi itu boleh dipanggil 'Learning Organisation'. Satu daripadanya ialah bahawa organisasi tersebut mewujudkan kesempatan untuk belajar bagi ahli-ahli organisasi secara berterusan. Ciri-ciri yang lain termasuklah mempromosikan amalan berdialog dan mengemukakan pertanyaan dimana seseorang itu bebas memberikan cadangan dan maklum balas, mengalakkan kerjasama dan belajar secara kumpulan dimana satu-satu kesalahan itu dibincangkan secara terbuka dan menganggap kesalahan-kesalahan tersebut sebagai kesempatan untuk memperbaiki keadaan; mewujudkan sistem untuk mendapatkan dan mengongsikan pembelajaran; memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai dan kakitangan ke arah wawasan yang dipunyai sama (empowering people towards a collective vision) dan menghubungkan antara organisasi dan persekitarannya (connecting the organisation to its environment) dimana pegawai-pegawai dan kakitangan organisasi tersebut dapat mengesan perubahan-perubahan di persekitarannya dan seterusnya mengambil tindakan yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan organisasi tersebut.

Kita tidak ada pilihan lain tetapi menjadikan jabatan-jabatan kita sebagai Organisasi Pembelajaran. Kita perlu menuju ke arah pencapaian status Organisasi Pembelajaran ini jika kita ingin negara kita untuk mencapai pembangunan yang mantap dan bagi kita terus 'survive' di dalam arus persaingan global.

Organisasi dalam era globalisasi ini diperlukan untuk menerima ilmu pengetahuan dengan cepat dan efektif supaya kita akan responsif mengikut perubahan-perubahan yang berlaku di dalam pekerjaan. Seorang pengasas Organisasi Pembelajaran, Reginald Revans, berkata

'Learning inside must be equal to or greater than change outside the organisation or the organisation is in decline, and may not survive'

Satu komponen yang patut kita tidak lupakan ialah peranan pemimpin dalam menuju ke arah pencapaian Organisasi Pembelajaran. Selain dari merangka hala tuju organisasi secara menyeluruh mereka perlu memberikan peluang kepada orang perseorang dalam organisasi untuk sentiasa mendapat ilmu pengetahuan, untuk befikir dan membuat pembaharuan.

Disamping itu mereka sendiri perlu sentiasa mendapat ilmu pengetahuan dan memainkan peranan sebagai kaunselor, jurulatih, mentor, model untuk diikuti, sebagai wira dan pendukung kepada kegiatan pendidikan dan pembelajaran.

Mereka perlu mengembangkan sikap kreatif dan inovatif di kalangan ahli organisasi dengan memberikan mereka peluang untuk menilai proses kerja masing-masing dan merekabentuk pekerjaan (job design) bagi menangani cabaran-cabaran globalisasi. Sikap yang mengambil risiko 'calculative' perlu digalakkan oleh pemimpin dan usaha inovatif dan kreatif perlu diberikan insentif supaya budaya yang sedemikian akan dapat diperkukuhkan.

Peranan pemimpin di dalam sesebuah organisasi bagi membawa perubahan ditegaskan oleh Peter F. Drucker di dalam bukunya 'Management Challenges for the 21st Century' yang mana beliau menegaskan

'... to thrive in the new millennium, managers must do more than adapt to change, they have to lead it ...'

Masih banyak lagi usaha-usaha perlu diperkenalkan dalam Perkhidmatan Awam untuk menjadikan jabatan-jabatan kerajaan sebagai Organisasi Pembelajaran dimana di dalamnya terdapat orang perseorangan serta kumpulan-kumpulan menjalani proses pembelajaran dari masa ke semasa. Dalam hubungan ini, Institut Perkhidmatan Awam telah diberikan mandat untuk menjalankan kursus-kursus dan bengkel-bengkel bagi berkongsi sama pengetahuan dan 'good practices' untuk menjadikan 'Learning Organisation' sebagai satu matlamat untuk dicapai dalam perkhidmatan awam.

Peramba/kaola/saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas usaha Institut Perkhidmatan Awam yang telah dapat menganjurkan seminar sehari ini yang mana tiga kertas kerja akan dapat dibentangkan masing-masing bertemakan Leadership, Change Management dan Learning Organisation.

I would like to take this opportunity to thank the speakers from Singapore for sharing their experiences on the subjects which we consider very relevant and appropriate for the survival and success of organisations in the environment of knowledge-based economy.

Sebelum mengakhiri ucapan ini marilah kita renungkan bersama sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Salam yang mengalakkan kita umat Islam untuk belajar dan menimba ilmu pengetahuan hingga sampai ke Negeri Cina dan Baginda yang menegaskan mereka yang menuntut ilmu pengetahuan akan memperolehi Syurga.

Dan sukacita juga saya mengungkapkan kata-kata Ahli Falsafah Cina, 'Confucius' yang menyatakan:

'Without learning the wise becomes foolish, by learning the foolish becomes wise.'

Akhir kata dengan mengucapkan kalimah Bismillahi Rahmanir Rahim dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala, peramba/kaola/saya sukacita merasmikan perlancaran seminar yang bertemakan 'Innovation and Creativity in the Civil Service' bagi pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sekian, wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Pehin Hazair