B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Hari Raya Aidiladha
10 Zulhijah 1425/20 Januari 2005


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Dengan penuh insaf, kita merayakan pula Aidiladha yang mulia.

Peristiwa Adha telah mendidik umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan amat berkesan. Ia telah menjadikan umat ini teguh dan berani. Kerana itu, sejarah dapat menyaksikan betapa umat Islam dalam berperanan dengan cemerlang dalam mencorakkan kehidupan berakhlak dan berundang-undang, selaras dengan ajaran berkorban itu.

Hasil daripada didikan itu, umat Islam generasi pertama, telah berjaya membawa umat jahiliah keluar daripada kegelapan kepada cahaya, memindahkan mereka daripada kehidupan tidak bertamadun kepada yang bertamadun, semata-mata disebabkan adanya semangat rela berkorban itu.

Sekiranya semangat ini tidak ada, sudah barang tentu, tidak akan ada pula dakwah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak akan ada dukungan dan sokongan para sahabat terhadap Baginda dan tidak akan ada juga hijrah serta jihad fi sabilillah.

Inilah dia antara hikmah Aidiladha itu. Asasnya ialah pengorbanan dua beranak, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam. Kesetiaan serta jiwa raga mereka telah diuji melalui peristiwa ini.

Umat yang bijak tentu akan mengambil iktibar daripada kejadian ini. Mereka akan sentiasa menemukan cara bagaimana hendak merealisasikan pengorbanan itu dengan sebaik-baiknya.

Memang sangat banyak perkara yang menghendaki pembaikan, sama ada ia dalam kehidupan beragama, bermasyarakat atau lain-lain. Semuanya itu memerlukan sikap kita yang jelas ingin memperbaiki. Jika sikap ini masih samar atau tidak ada langsung, maka tidaklah akan dapat diharapkan apa-apa daripadanya.

Sikap yang jelas itu bersumber daripada semangat sanggup berkorban.

Ia terbina daripada kemahuan dan azam yang kuat. Seseorang yang mempunyai azam akan dapat melakukan kerja-kerja besar untuk diri dan bangsanya.

Inilah yang kita inginkan, supaya setiap individu itu mengambil bahagian dalam usaha membina ummah. Janganlah hanya tahu menonton kepincangan-kepincangan yang ada tanpa memberikan reaksi-reaksi positif ke arah penyelesaiannya. Kita mungkin sahaja ada masalah, tetapi - adalah jarang terdapat - masalah yang tidak boleh diselesaikan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Semua pihak perlu terbuka untuk kebaikan. Nasihat-nasihat yang baik janganlah sewenang-wenang ditolak. Lebih-lebih lagi jika nasihat-nasihat itu datangnya daripada sumber yang rasmi, seperti ucapan-ucapan para pemimpin, khutbah-khutbah ataupun ia dalam bentuk tulisan dan seumpamanya.

Ingatlah, kita membina bangsa dan negara bukanlah cukup setakat pembangunan fizikal semata-mata, tetapi memerlukan lebih kepada pendidikan dan nasihat. Tanpa kedua-dua nilai ini, pembangunan akan jadi kosong, ibarat rangka tanpa nyawa.

Begitulah peranan pendidikan dan nasihat dalam membina ummah. Sebab itu juga, jika pendidikan dan nasihat itu salah, maka ia boleh meruntuhkan ummah.

Tetapi alhamdulillah, bagi kita umat Islam tiada masalah. Di hadapan kita sudah ada panduan yang jelas bagaimana mengesan dan mengenali pendidikan serta nasihat yang baik itu, iaitu cukup melalui dua patah sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Addeenun Naseehah : "Agama itu adalah nasihat." Dalam makna, apa jua perkara yang tidak bercanggah dengan agama, maka itulah dia nasihat yang betul, tiada lagi keraguan padanya. Ikutlah ia.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Nasihat sungguhlah mudah disebut tetapi tidak ramai orang yang semudah itu menerima nasihat. Kerana itu ada kalanya Allah mengajar kita dengan cara yang lebih keras dengan mendatangkan sedikit kejutan berupa bencana-bencana supaya kita merasa insaf dan sedar serta mahu mengambil iktibar daripadanya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Peristiwa Tsunami adalah contoh paling tepat mengandungi iktibar-iktibar berguna. Ia mirip dengan contoh-contoh yang diceritakan oleh Al-Quran sendiri. Kerana itulah, kita mustahak mengambil peringatan dan pengajaran daripadanya.

Kita amatlah bersimpati dengan mangsa-mangsa Tsunami. Di samping itu kita juga tidak lupa bersyukur kerana terlepas daripadanya. Sebagai jiran dan rakan, kita turut mendoakan semoga mereka sentiasa dikurniakan perlindungan dan kesejahteraan. Beta telah pun memperkenankan penubuhan Tabung Mangsa Tsunami supaya rakyat dan penduduk negara ini dapat sama-sama menyumbang dan menderma. Di samping itu, usaha yang berbagai-bagai juga akan turut melengkapkan lagi bantuan kemanusiaan ini daripada pihak kerajaan mahupun orang ramai.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Bagi mengakhirinya, beta dan keluarga beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini, di mana juga mereka berada. Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan kerana memuliakannya.

Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman