B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pehubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Zakaria
di Majlis Pembukaan Rasmi Pejabat Pos Bunut
pada hari Rabu 11 Rabiulakhir 1424/11 Jun 2003.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana atas limpah rahmat-Nya jua kita dapat berkumpul di majlis yang bermanfaat dan berkebajikan ini. Segala puji bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kepada kaum keluarga, sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Pos Agung selaku Pengerusi Majlis dan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pembukaan Rasmi Pejabat Pos Bunut atas undangan kepada saya untuk menjadi tetamu kehormat dan seterusnya diberi peluang untuk memberikan sedikit ucapan di majlis yang penuh bermanfaat dan berkebajikan ini.

Saya sungguh-sungguh berasa gembira kerana pada pagi ini kita bergerak setapak lagi dalam mengembangkan perkhidmatan pos di negara ini. Di kesempatan ini saya sukacita mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Pos atas usaha yang dibuat yang menjadikan pembukaan Pejabat Pos Bunut ini satu kenyataan.

Dengan terbukanya Pejabat Pos Bunut ini, maka kemudahan-kemudahan, seperti pelbagai perkhidmatan pembayaran dan perkhidmatan tradisi pos seperti penjualan setem dan sebagainya dapat diberikan kepada penduduk di kawasan ini khususnya dan kepada orang ramai amnya. Ini adalah merupakan satu usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan yang berterusan melalui Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan untuk menyediakan Perkhidmatan Pos Sejagat atau 'Universal Postal Services' seperti yang disarankan oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU).

Pembukaan Pejabat Pos ini juga adalah merupakan daya usaha kita untuk merealisasikan visi dan misi Jabatan Perkhidmatan Pos, untuk menjadikan Perkhidmatan Pos sebagai Pusat Urusniaga dan Informasi yang dapat memberikan perkhidmatan yang cepat dan selamat kepada orang ramai. Ianya juga merupakan usaha yang berterusan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan selaras dengan Tekad Pemedulian Orang Ramai di jabatan ini.

Sememangnya, pembukaan Pejabat Pos Bunut ini adalah perkara yang dinanti-nantikan oleh orang ramai khususnya penduduk setempat kerana dengan adanya kemudahan-kemudahan yang diberikan, maka penduduk di mukim ini tidaklah perlu mendapatkan perkhidmatan yang sama di Pejabat-pejabat Pos yang jauh untuk berurusan. Adalah menjadi harapan saya agar penduduk-penduduk di mukim ini akan dapat sama-sama memanfaatkan kemudahan yang diberikan di Pelajat Pos ini.

Saya sedar dengan kemunculan syarikat-syarikat swasta yang memberikan perkhidmatan perhubungan yang sama dengan yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos telah memberikan saingan dan cabaran yang hebat kepada Jabatan Perkhidmatan Pos. Dalam keadaan ini, Jabatan Perkhidmatan Pos perlu sentiasa peka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak dan keperluan orang ramai agar ianya tidak tertinggal jauh ke belakang. Oleh itu Jabatan Perkhidmatan Pos hendaklah menyambut baik segala perubahan dan perkembangan semasa dalam perhubungan pos antarabangsa dan seterusnya berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai sesuai dengan budaya setempat.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan yang bertugas di Pejabat Pos Bunut ini agar abiskita semua akan senantiasa dapat memberikan perhatian dan pembaikan terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai. Saya juga ingin menasihatkan agar abiskita akan dapat membuat inovasi dan pembaharuan dengan minda yang terbuka tentang segala urusan yang diberikan supaya dapat mencapai matlamat misi dan visi Jabatan Perkhidmatan Pos. Di samping itu saya juga ingin mengingatkan semua pegawai dan kakitangan di Pejabat Pos ini supaya peka tentang keperluan orang ramai dengan memberikan tahap dan prestasi perkhidmatan yang baik, amanah dalam memberikan perkhidmatan dan pemedulian seperti yang ditekadkan melalui Tekad Pemedulian Orang Ramai.

Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan dengan mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya sukacita merasmikan pembukaan Pejabat Pos Bunut ini.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Communications