B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman
sempena Majlis Penyampaian Sijil Industri Perintis Perintah Galakan Pelaburan 2001, Persijilan Produk dan Anugerah 'Good Design'
di Hotel Centre Point
pada 16 Jun 2003.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga serta para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya juga kita semua dapat berkumpul beramai-ramai di Majlis Penyampaian Sijil Industri Perintis; Persijilan Piawaian Produk dan Anugerah 'Good Design' pada pagi ini.

Semoga dengan penganugerahan ini akan dapat menjadi pendorong kepada sektor swasta di negara ini untuk terus meningkatkan lagi usaha dengan lebih gigih lagi ke arah meneroka peluang-peluang ekonomi yang lebih mencabar dalam arus perdagangan bebas masa kini.

Iklim persekitaran ekonomi hari ini sentiasa mengalami perubahan yang begitu dinamik dan dalam banyak hal keadaan sedemikian berlaku di luar kawalan domestik. Kesan krisis akibat dari

  • kebimbangan sekuriti pengembaraan,
  • kesan peperangan di Iraq, dan
  • baru-baru ini kesan dari jangkitan Wabak Pernafasan Akut Teruk (SARS) telah tidak dapat disangkalkan secara langsung menghambat kedudukan ekonomi serantau dan tidak terkecuali negara kita sendiri.

Walau bagaimanapun, di sebalik dari pendedahan kepada perubahan dan cabaran, proses globalisasi juga membawa bersamanya peluang-peluang dan kemanfaatan-kemanfaatan yang boleh kita ekploitasikan sepenuhnya. Ini dapat kita lihat dari sudut perkongsian kepakaran, peralihan dan penyerapan teknologi, laluan kepada kapital serta juga pembukaan pasaran yang lebih luas. Maka, jika dibandingkan dengan pasaran domestik kita yang terhad, pengeksploitasian aspek-aspek yang ditrampilkan oleh arus proses globalisasi ini merupakan langkah positif ke arah menjamin perkembangan industri yang berdaya tahan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang.

Selaras dengan kehendak untuk memastikan kesan hambatan dari perdagangan bebas dapat ditangani dengan tangkasnya, maka pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil langkah secara berperingkat-peringkat sesuai dengan tenaga yang ada ke arah menggiatkan dan mengembangluaskan industri-industri di negara ini.

Sehaluan dengan ini, perhatian utama diberikan ke atas keperluan negara ke arah menghasilkan produk-produk yang berdaya saing dan berkeupayaan untuk memenuhi mutu dan piawaian antarabangsa yang sudah menjadi norma dalam dasar perdagangan antarabangsa yang terbuka.

Dalam perspektif perkembangan perindustrian di negara ini, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama memahami akan permasalahan yang dihadapi oleh usahawan di dalam memenuhi tuntutan-tuntutan ke atas pengeluaran produk yang diperlukan. Sebahagian dari permasalahan yang dihadapi usahawan adalah dari ketidakupayaan untuk menyediakan kemudahan kawalan mutu dan penerapan teknologi.

Dalam mempersiapkan kedayaupayaan usahawan ke arah menghasilkan produk yang bermutu dan berdaya saing bukan hanya untuk menguasai ruang pasaran tempatan malahan kepada penerokaan peluang pasaran eksport, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah pun mengambil langkah dengan

  • Memperkenalkan Perintah Galakan Pelaburan 2001, dan
  • Memperuntukkan Skim Kemudahan Kewangan.

Tujuan utama Perintah Galakan Pelaburan 2001 ini diperkenalkan adalah untuk memberikan galakan ke arah penubuhan dan pembangunan industri dan perusahaan-perusahaan ekonomi di Negara Brunei Darussalam, di samping juga meningkatkan daya saing negara ini di dalam menarik pelaburan asing setanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

Galakan berupa insentif pelaburan yang berbentuk pengecualian cukai ini adalah dikhususkan untuk mempelbagai peringkat pertumbuhan dan perkembangan perusahaan, baik bagi sektor industri mahupun sektor perkhidmatan yang telah dikenal pasti. 13 jenis insentif pelaburan telah dibentuk yang antara lainnya mengandungi insentif-insentif seperti

  • Status Industri Perintis (Pioneer Status),
  • Pinjaman Asing,
  • Akaun Pelaburan,
  • Galakan Perdagangan Antarabangsa dan sebagainya.

Selain dari insentif pengecualian cukai ini, kerajaan juga telah memperuntukkan Skim Kemudahan Kewangan berjumlah $107 juta dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 untuk membantu pemodalan perusahaan industri kecil dan sederhana bagi projek-projek yang berdaya maju.

Beberapa tahun kebelakangan ini industri tempatan terutamanya sektor pembuatan bahan-bahan binaan dan sektor pemakanan telah memperlihatkan satu perkembangan yang menggalakkan. Produk keluaran tempatan ini telah dapat bertapak dan sebahagian besarnya berjaya menguasai pasaran domestik. Keadaan ini menunjukkan satu petunjuk yang baik yang mana industri-industri berkenaan mempunyai asas yang kukuh untuk melangkah lebih maju ke hadapan khususnya menerokai peluang-peluang eksport.

Kerajaan yakin bahawa sektor swasta negara ini akan dapat mempertingkatkan daya saing mereka melalui penyelidikan dan perkembangan produk serta ubahsuaian teknologi yang menyumbang kepada peningkatan kualiti keluaran produk mereka. Ini adalah merupakan sebagai asas penting ke arah memajukan kebolehterimaan (acceptability) dan seterusnya menanamkan keyakinan kepada para pengguna.

Kita menyedari bahawa Negara Brunei Darussalam telah memaparkan imej yang baik dalam hal yang berkaitan dengan pemakanan khususnya di kalangan masyarakat Islam. Melihat pekembangan dalam sektor industri pemakanan yang berpotensi dimajukan untuk pasaran eksport, kerajaan telah mengambil langkah yang wajar dalam memudahkan lagi bagi industri tersebut untuk berkembang maju. Dalam hal ini, satu badan institusi akreditasi dan piawaian yang diiktiraf antarabangsa telah pun dilantik untuk menjalankan pengauditan piawaian kepada lima buah syarikat yang terbabit dalam industri pemakanan.

Alhamdulillah, kesemua syarikat yang ikut serta dalam program ini telah berjaya mencapai pengiktirafan piawaian antarabangsa. Saya melihat pencapaian ini sebagai langkah awal yang memerlukan komitmen berterusan oleh pihak syarikat dalam memastikan penghasilan produk mereka akan terus konsisten dan dapat dipercayai (reliable) untuk memenuhi kehendak piawaian berkenaan.

Sebagai langah ke hadapan jangka panjang. Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah pun melantik pakar perunding untuk melaksanakan kajian kedayaupayaan dari segi dasar, rangka perundangan, kemudahan dan infrastruktur bagi penubuhan satu Institusi Akreditasi dan Piawaian Kebangsaan.

Di masa yang sama, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama juga sedang dalam peringkat perundingan untuk melaksanakan program Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) yang mana merupakan aspek yang juga penting di dalam memastikan industri pemakanan negara mempunyai keupayaan dari aspek pengeluaran yang selamat dari segi kesihatan.

Saya telah difahamkan bahawa sebuah syarikat tempatan telah berjaya diberi pengiktirafan ke atas rekaan produk yang telah dihasilkan di bawah program Japan Industrial Design Promotion Organisation iaitu salah satu daripada aktiviti yang diungkayahkan di bawah Pusat ASEAN - Jepun.

Pencapaian ini saya percaya merupakan sebagai pembuka jalan bagi syarikat berkenaan mengetengahkan hasil produk yang mempunyai nilai dan kualiti tinggi, di samping juga ke arah mewujudkan pasarannya yang tersendiri. Saya penuh yakin bahawa keupayaan untuk mencipta ruang pasaran bagi barangan yang dihasilkan secara individualistik ini dan juga kemampuan ke arah mentransformasikan perusahaan dari bentuk tradisi kepada jenis penghasilan produk-produk yang kreatif akan dapat membuahkan kejayaan dalam kita menghadapi persaingan perdagangan yang serba kompetitif.

Sungguhpun pihak kerajaan akan terus memberikan galakan dan dorongan serta memberikan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan yang sewajarnya, ternyata dalam matlamat menjadikan sektor swasta sebagai teras penggerak perkembangan ekonomi, pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang mantap dan berterusan akan lebih bergantung kepada peningkatan peranan sektor swasta sendiri.

Saya percaya dengan kerjasama yang rapat di antara pihak kerajaan dan pihak swasta, kita akan dapat sama-sama menanai dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi untuk kesejahteraan dan kemantapan ekonomi negara yang sama-sama kita cintai dengan lebih cemerlang, insya-Allah.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya sukacita ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua syarikat yang dianugerahkan Sijil Perintis, Sijil Pengiktirafan Piawaian dan Rekabentuk yang akan menerima sijil masing-masing pada pagi ini.

Mudah-mudahan anugerah ini akan menjadi satu inspirasi untuk meningkatkan lagi komitmen ke arah menuju kecemerlangan syarikat dan juga menyumbang kepada kejayaan kepelbagaian ekonomi negara yang lebih bermakna.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Industry and Primary Resources