B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA AMAR PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ZAKARIA BIN DATU MAHAWANGSA HAJI SULAIMAN, MENTERI PERHUBUNGAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS PERASMIAN SISTEM PERLESENAN PEMERIKSA X-RAY
Hari Sabtu, 25hb Rabiulawal 1425H Bersamaan dengan 15hb Mei 2004M

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat pagi dan salam sejahtera.

Segala pujian bagi Allah seru sekalian alam, selawat serta salam keatas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam dan keluarga serta sahabat-sahabat Baginda yang taat lagi setia hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya sukacita merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada Pengarah Penerbangan Awam diatas kesudian menjemput saya menjadi Tetamu Kehormat untuk merasmikan Sistem Perlesenan Pemeriksa X-ray dan seterusnya menyampaikan sijil dan lesen kepada peserta kursus yang telah berjaya dalam kursus Pemeriksa X-ray dan Pemeriksaan semula kecekapan Pemeriksa X-ray. Saya telah difahamkan bahawa kursus ini telah diadakan pada 04hb hingga 07hb Mei baru-baru ini dimana seramai 32 orang pegawai yang terdiri daripada 27 pegawai Anggota Polis DiRaja Brunei dan 5 pegawai Kastam DiRaja Brunei telah menghadiri kursus Pemeriksa X-ray, manakala seramai 53 pegawai menjalani pemeriksaan semula kecekapan Pemeriksa X-ray ini.

Majlis pada hari ini adalah merupakan mercutanda (milestone) yang sangat mustahak dalam sejarah Jabatan Penerbangan Awam dimana pertama kalinya Sistem Perlesenan Pemeriksa X-ray diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam bagi memenuhi kehendak ‘Amendment 10 Annex 17’ kepada Konvesyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Sebagai sebuah Negara ahli kepada ICAO. kita adalah komited dalam mempastikan setiap petugas pengawal-pengawal keselamatan diberikan latihan yang sempurna dan secukupnya dalam memenuhi keperluan melaksanakan tugas mereka. Kita juga perlu mempastikan setiap Pemeriksa X-ray menjalani peperiksaan dan dilesenkan mengikut kehendak Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Polis DiRaja Brunei, Kastam dan Eksais DiRaja Brunei, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Jabatan Penerbangan Awam diatas kerjasama sepadu (team approach) dalam perlaksanaan Sistem Perlesenan Pemeriksa X-Ray bagi operasi keselamatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara ahli kepada ICAO sentiasa mendokong tindakan dan inisiatif Pertubuhan berkenaan untuk mempastikan pesawat dan Lapangan Terbang Antarabangsa senantiasa selamat daripada ancaman pengganas.

Negara Brunei Darussalam juga akan sentiasa bekerjasama dengan organisasi-organisasi antarabangsa dalam mencapai matlamat ini. Kita juga memahami betapa perlunya kita menguatkan lagi tahap keselamatan ruang udara kita. Dalam pada itu, saya menyarankan supaya pihak-pihak yang berkenaan akan terus bekerjasama untuk menjaga keselamatan tanah air kita yang kita cintai ini.

Bagi pegawai-pegawai yang akan dianugerahkan lesen Pemeriksa X-ray hari ini, saya dengan hati yang tulus ikhlas, mengucapkan tahniah diatas kejayaan abis kita semua dan juga kerja keras yang abis kita sumbangkan semasa menjalankan tugas sebagai Pemeriksa X-ray di Lapangan Terbang Antarabangsa ini.

Dalam arus kemajuan dan teknologi pada masa ini yang membolehkan dan memudahkan kawalan dan perkhidmatan keselamatan dalam mengesan barang-barang yang ditegah termasuklah barang-barang letupan dan yang membahayakan, kita di Negara Brunei Darussalam percaya bahawa keperluan pelaburan sumber tenaga manusia sememangnya diperlukan demi kemajuan, kemahiran dan kecekapan pegawai-pegawai petugas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka seharian. Setakat manapun kecanggihan peralatan yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam, namun faktor kemanusiaan memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah dan mengesan penjenayah. Oleh itu prinsip ini perlulah diamalkan dalam usaha kita mencegah aktibiti-aktibiti pengganasan.

Dengan mengambil kira status profession sebagai pegawai yang berlesen adalah merupakan kemajuan yang perlu dijaga dan dipelihara sebagai pegawai yang berkemahiran. Bagi pegawai yang telah dianugerahkan lesen peringkat Level 3 oleh Jabatan Penrbangan Awam, saya berharap agar abis kita akan dapat menjalankan tugas seharian dengan penuh dedikasi dan berwaspada. Abis kita adalah merupakan pihak yang pertama dalam mengesan, mencegah, dan memerhati apa juga jenis ancaman berhubungkait dengan keselamatan penerbangan. Dengan berbuat demikian, Negara sangat berbangga diatas tugas dan tindakan abis kita semua. Adalah diharapkan juga abis kita akan dapat meneruskan usaha ini supaya nanti akan dapat mencapai tahap Level 2, dengan sendirinya abis kita akan diaturkan sebagai Pelatih Pemeriksa X-ray di masa yang akan datang.

Dalam aspek yang lain, saya dengan sukacita mengambil maklum diatas perkembangan melalui ‘team approach’ keatas plan tindakan strategik Jabatan Penerbangan Awam. Saya berharap semua agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkenaan supaya akan dapat meneruskan usaha-usaha ini demi mencapai dan memenuhi kehendak negara kita dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Mengenai dengan industri kargo udara, adalah perlu kita meneliti dan mengemaskini prosedur keselamatan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam bagi mempastikan keselamatan penerbangan kargo. Untuk mempastikan keselamatan kargo yang tiba dan singgah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam dan mengelakkan daripada pengganas yang tidak bertanggungjawab, maka Jabatan Penerbangan Awam akan menubuhkan ‘Regulated Agent Regime (RAR)’ yang mana akan dilaksanakan pada bulan Januari 2005 bagi mendokong kehendak ICAO untuk 100% Pemeriksaan bagasi. Saya berharap Jabatan Penerbangan Awam akan dapat bekerjasama dengan pihak agensi kerajaan yang terlibat dengan keselamatan termasuklah juga pihak swasta, Syarikat-Syarikat Penerbangan, BIACC dan Brunei Freight Forwarders Association untuk mempastikan proses pemeriksaan dan prosedur yang lengkap dan terperinci dapat dilaksanakan demi keselamatan operasi kargo udara.

Dalam persiapan menghadapi mandatori audit keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam yang akan diadakan pada tahun 2005 atau 2006, kita perlulah mempersiapkan dan melengkapkan sistem ‘quality control’ yang efisyen dan mengadakan latihan keselamatan dari masa kesemasa.

Kita harus memahami bahawa sistem keselamatan pengangkutan udara antarabangsa ini adalah merupakan usaha semua pihak. Kekuatannya adalah bergantung kepada koordinasi yang mantap dan efektif dari semua pihak. Saya berharap kerjasama yang padu akan dapat dihulurkan oleh pihak-pihak yang berkenaan kepada Jabatan Penerbangan Awam supaya keselamatan di Lapangan Terbang akan senantiasa terjamin.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah lulus dan dianugerahkan sijil dan lesen dan saya juga sukacita mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Penerbangan Awam dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab kerana berjaya melaksanakan projek ini.

Dengan mendahulukan kalimah “Bismillahir Rahmanir Rahim dan dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala”, saya dengan ini sukacita merasmikan Sistem Perlesenan Pemeriksa X-ray.

Sekian, Wabillahit Taufik wal-hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh

(c) Ministry of Communications