B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA AMAR PAHLAWAN DATO SERI SETIA AWANG HAJI ZAKARIA BIN DATU MAHAWANGSA HAJI SULAIMAN, MENTERI PERHUBUNGAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS PERASMIAN PERKAMPUNGAN SIVIK MAHASISWA/MAHASISWI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SEBERANG LAUT 2004
ISNIN, 29HB JAMADILAKHIR, 1425/ 16HB OGOS, 2004

Assalamu ’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hirrahman Nirrahim

Segala puji kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah kurnia perkenanNya yang telah mempertemukan kita semua dalam Majlis ilmu dan penuh berkebajikan ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat dan para sahabat Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu Peramba/Kaola/Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Perkampungan Sivik ini kerana mengundang Peramba/Kaola/Saya sebagai Tetamu Kehormat dan seterusnya merasmikan Perkampungan Sivik Mahasiswa/Mahasiswi Brunei Seberang Laut 2004 anjuran bersama Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan. Kita mendoakan agar kegiatan ini akan mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wataala jua dan mencapai matlamatnya sepertimana diharap-harapkan.

Peramba/Kaola/Saya difahamkan bahawa Perkampongan Sivik seperti ini telah dianjurkan sejak tahun-tahun 70an dan masih berjalan dengan maksud dan tujuan untuk memberikan para mahasiswa/mahasiswi kita di seberang laut kefahaman dan maklumat tentang falsafah dan aspirasi negara agar tersemai dalam diri mereka benih-benih semangat untuk sentiasa berbakti kepada Raja, Bangsa, Agama dan Negara. Kita amatlah mengalu-alukan inisiatif seperti ini yang juga Peramba/Kaola/Saya anggap sebagai satu bukti bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa peka akan keperluan-keperluan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan negara dan keharmonian masyarakat dari diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, sama ada di dalam atau luar negara, dengan cuba mempengaruhi para pelajar kita khususnya yang berada di seberang laut.

Disamping itu, kita juga ingin melihat para pelajar kita, disebalik keghairahan menuntut ilmu di negeri orang, cukup bersedia untuk memainkan peranan mereka selaku duta kecil Negara Brunei Darussalam dengan mempamerkan dan mempertahankan nilai-nilai dan tatasusila keBruneian serta memperbetulkan maklumat-maklumat yang salah mengenai negara ini sama ada secara senghaja atau sebaliknya.

Semangat cintakan Raja, Agama, Bangsa dan Negara atau Patriotisme perlulah ditanai sehingga sebati dalam diri setiap individu masyarakat Brunei hingga ke akhir hayat. Patriotisme tidak boleh dijual beli tetapi lahir dari kesedaran dan keinsafan yang mendalam untuk berbakti kepada tanah air. Dalam hal ini, kita berasa gembira melihat perkembangan akhir-akhir ini dalam mana usaha-usaha telah dipergiatkan oleh pelbagai pihak khususnya Jabatan Penerangan dalam memberikan kefahaman kepada semua peringkat masyarakat terutama sekali golongan pelajar tentang pelbagai aspek seperti kehidupan Beraja, Beragama, Berbangsa dan Bernegara. Pihak-pihak lain di negara ini perlulah memberikan sokongan dan dokongan terhadap inisiatif seperti ini kerana Peramba/Kaola/Saya percaya jika ianya dilaksanakan secara bersepadu, misalannya, perkampungan sivik ini yang mengundang penglibatan agensi-agensi lain, hasil yang diperolehi sudah setentunya lebih menggalakkan dan sangat berkesan.

Patriotisme bukanlah satu perkara baru bagi kita malahan sudah wujud mengikut arus perkembangan zaman. Sejarah telah memperlihatkan bagaimana di zaman silam di bumi Brunei Darussalam ini telah muncul anak-anak watan yang berjiwa pendekar dan pahlawan yang sanggup menggadai nyawa demi kesinambungan bangsa dan negara. Kesan dari pengorbanan mereka itu dapat kita rasakan hari ini di mana negara ini terus wujud malahan kekal sebagai sebuah negara yang merdeka. Selaku pewaris bangsa, maka kita semua perlu terus mempertahankan kewujudan dan kesinambungan negara.

Kita tidak menafikan ledakan teknologi maklumat yang mewarnai kehidupan hari ini membawa bersamanya pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang memerlukan kita untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya sebagai benteng. Namun demikian, Peramba/Kaola/Saya berpendapat ilmu pengetahuan saja tidaklah lagi memadai tanpa adanya patriotisme atau semangat cintakan Raja, Bangsa, Agama dan Negara. Sesebuah negara boleh saja memiliki rakyat dan penduduk yang berilmu tetapi jika mereka tidak memiliki semangat patriotisme, pembangunan yang dihasratkan tidak akan mudah dicapai. Oleh itu, Peramba/Kaola/Saya menyifatkan tema perkampungan kita kali ini ‘Mahasiswa/Mahasiswi Patriotik: Menunjangi Keteguhan Negara’ adalah amat bersesuaian lebih-lebih lagi memandangkan negara kita yang majoriti penduduknya terdiri dari golongan muda belia yang bakal mewarisi kepimpinan hari esok.

Pada kesempatan ini juga, ingin Peramba/Kaola/Saya berpesan kepada pelajar-pelajar kita khususnya para peserta perkampungan sivik ini untuk sentiasa menegakkan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja yang merupakan landasan kita bagi pembangunan sosial, politik dan ekonomi negara. Berusahalah memperolehi kejayaan cemerlang kerana kejayaan seumpama itu merupakan salah satu sumbangan awal awang-awang dan dayang-dayang kepada negara.

Cita-cita dan aspirasi negara sebenarnya bukan sahaja untuk menjadikan rakyatnya berpengetahuan, berkemahiran, berhemah tinggi, berbudi luhur dan berakhlak mulia tetapi juga untuk mencapai kemajuan terutama dalam mempelbagaikan ekonomi negara. Para penuntut kita adalah aset atau harta paling berharga yang kita harapkan akan dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi didalam industri selain dari minyak dan gas.

Untuk mencapai hasrat ini, negara memerlukan cerdik dan pandai bukan saja di sektor kerajaan malahan juga di sektor swasta. Ini adalah kerana menyumbang bakti tidak semestinya bekerja di sektor kerajaan sahaja. Di samping itu, kekukuhan sektor swasta merupakan nadi kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat dan sumber pekerjaan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Ekonomi yang kukuh seterusnya akan menjadi landasan kepada kesejahteraan yang berpanjangan. Dengan demikian, Peramba/Kaola/saya menyeru semua penuntut agar tidak terlalu mengharapkan pekerjaan di Jabatan-Jabatan Kerajaan malahan cuba mengadu nasib di sektor-sektor swasta. Jika perlu penuntut-penuntut boleh mendapatkan pengalaman dan kemahiran dengan bekerja diluar negara beberapa tahun sebelum kembali untuk sama-sama membangunkan negara sendiri.

Di samping itu Peramba/Kaola/saya menasihatkan semua penuntut untuk terus belajar selepas tamat pengajian formal. Belajar itu adalah proses perpanjangan. “Education is a life-long process”. Didalam dunia yang sentiasa berubah ini, kita tidak boleh lepas dari terus belajar, kerana dengan ini sajalah kita boleh terus berada dihadapan dalam arena persaingan ekonomi global yang sengit.

Untuk akhirnya , Peramba/Kaola/Saya mengharapkan agar para peserta semua akan bersikap proaktif semasa mengikuti perkampungan sivik ini dan akan mempergunakan ilmu yang diperolehi sebagai pendorong dalam menuju kejayaan. Peramba/Kaola/Saya percaya pihak penganjur telah berusaha sebaiknya dalam memastikan perkampungan sivik ini benar-benar berfaedah dan menepati kehendak atau keperluan semasa peserta dan negara.

Dengan melafazkan kalimah Bismillah Hirrahman NirRahim, Peramba/Kaola/Saya sukacita merasmikan Perkampungan Sivik Mahasiswa/Mahasiswi Negara Brunei Darussalam Seberang Laut Tahun 2004.

Sekian, Wabillahit Taufik Wal Hidayah Wassalammu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

(c) Ministry of Communications