B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Awang Abd Rahman
sempena Majlis Malam Lembaga Pengarah-pengarah Minyak dan Gas
pada hari Sabtu, 10 Safar 1425/10 April 2004
bertempat di Jerudong Park dan Country Club.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga serta para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia sehingga ke akhir zaman.

Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya jua, kita semua dapat berkumpul sekali lagi bersempena Majlis Malam Lembaga Pengarah-pengarah Minyak dan Gas tahun ini. Seperti mana jua pada tahun-tahun lalu saya berharap majlis ini akan dapat memberikan kesempatan bagi kita semua untuk mengimbas kembali segala kecapaian yang telah diperolehi serta juga pengalaman pahit dan manis sepanjang tahun lalu.

Mudah-mudahan dengan apa yang telah kita harungi bersama akan membuatkan kita lebih peka dan produktif dalam kita menjalankan tugas dan tanggungjawab di masa-masa yang akan datang.

Barang setentunya, majlis malam ini akan dapat meningkatkan lagi persahabatan dan kesefahaman yang sedia ada di antara semua peringkat dan pihak baik dalam syarikat-syarikat mahupun jua dengan pihak-pihak kerajaan.

Terlebih dahulu, saya sukacita melahirkan rasa kegembiraan di atas pencapaian yang telah dihasilkan oleh syarikat-syarikat BSP, BLNG, BSM dan BST di tahun 2003. Dalam perkara yang amat membanggakan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam mana saya penuh percaya pencapaian ini juga adalah bergantung kepada kerjasama di antara kesemua pihak, baik di kalangan kakitangan syarikat-syaraikat mahupun di antara syarikat-syarikat itu sendiri.

Tidak lupa juga diucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan di atas usaha gigih yang disumbangkan di dalam sama-sama mengukuhkan lagi kedudukan syarikat-syarikat di dalam struktur penjanaan ekonomi negara yang dicintai ini.

Saya penuh berharap dan menaruh setinggi kepercayaan bahawa usaha padu yang sekian lama kita praktikkan ini akan terus hadir di kalangan kita semua, malahan ianya dihasratkan akan dapat dipertingkatkan lagi demi untuk mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi lagi.

Industri minyak dan gas adalah merupakan industri yang sangat sensitif kepada pengaruh-pengaruh luaran dalam mana apa yang kita perhatikan keadaan-keadaan seperti pergolakan politik dan sosial di beberapa negara khususnya di negara-negara pengeluar dan pengguna yang terbesar, terus memainkan pengaruh yang besar kepada komoditi-komoditi minyak dan gas global.

Di dalam mengharungi suasana iklim tersebut, syukur alhamdulillah, kita telah berjaya di dalam mengambil tindakan yang bersesuaian ke arah memastikan kesan hambatan yang dirasai itu dapat ditangani dengan sewajarnya. Kita bukan sahaja telah dapat mengoptimakan serta meraih apa jua peluang-peluang yang terbuka dalam keadaan-keadaan sedemikian, malahan juga telah berhasil di dalam menangani risiko-risiko yang ditampilkan.

Apa yang pasti, kejayaan kita itu telah mempertingkatkan serta mengukuhkan lagi efisien kita melalui perlaksanaan inisiatif-inisiatif yang antara lainnya seperti:-

* Mengurangkan perbelanjaan operasi tanpa menjejaskan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja;

* Memantapkan kedudukan pembekalan melalui tambahan pelaburan yang strategik;

* Mempertingkatkan keselamatan dan 'reliablility' operasi-operasi dan pengeluaran melalui penggunaan teknologi-teknologi yang terbukti;

* Memantapkan pengurusan perjalanan organisasi dan sebagainya.

Dalam hal ini, saya penuh percaya bahawa dengan adanya pengalaman-pengalaman yang kita timba pada tahun-tahun yang lalu telah dapat membentuk kita kepada lebih bersiap sedia, responsif dan seterusnya meletakkan kita kepada kedudukan yang lebih mantap lagi.

Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat untuk memberikan kerjasama yang padu dan menanamkan sifat saling memahami antara satu sama lain demi kita untuk menjayakan usaha-usaha kita yang murni ini.

Pada tahun ini, dengan izin Allah Subhanahu Wataala jua, kita akan meraikan satu lagi mercu tanda yang sangat bersejarah dengan pencapaian ulang tahun ke-75 penghasilan minyak negara ini.

Kita sangat-sangat bersyukur di atas keberuntungan limpah kurnia hasil bumi yang kita nikmati sekian lama hinggalah ke hari ini. Di bawah kepimpinan bijaksana dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, industri minyak dan gas telah banyak memberi sumbangan yang penuh bermakna kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi serta juga ke arah meningkatkan taraf kehidupan seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang bernaung di negara kita yang aman damai ini.

Saya penuh percaya melalui usaha aktiviti-aktiviti cari gali yang kita laksanakan dan juga berkat hidayah-Nya jua, sumber hasil minyak dan gas negara mempunyai masa hadapan yang lebih cerah. Ke arah itu, adalah menjadi harapan bagi industri ini akan terus memainkan peranan pentingnya, malahan ke tahap yang lebih cemerlang lagi. Dalam hubungan ini, penglibatan semua pihak yang berkepentingan termasuk pihak-pihak swasta serta juga pelabur-pelabur asing yang telah sekian lama berkecimpung dalam industri ini, untuk sama-sama mempertingkatkan penglibatan masing-masing dan berusaha gigih ke arah mencapai maksud ini. Saya sukacita menyatakan bahawa kesemua jentera-jentera kerajaan termasuk kementerian-kementerian akan terus memberikan kerjasama di dalam mendukung usaha ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa majlis malam ini atas undangan dan penghormatan yang diberikan kepada saya dan isteri saya.

Marilah kita sama-sama mengambil peluang di majlis kita malam ini untuk meningkatkan iltizam kita di dalam memajukan negara yang dicintai dan menggerakkan industri minyak dan gas negara ke tahap yang lebih cemerlang lagi, insya-Allah.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Industry and Primary Resources