B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++



UCAPAN
Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa
di Majlis Penyampaian Sijil-sijil Kerakyatan Ke-16
pada hari Rabu, 10 Safar 1425/31 Mac 2004
di Dewan Serbaguna Jabatan Perkhidmatan Bomba, Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat-Nya juga kita sama-sama dapat berkumpul beramai-ramai di majlis yang penuh berkebajikan ini iaitu Majlis Penyampaian Sijil-sijil Kerakyatan Ke-16 kepada seramai lebih dari 200 orang penerima yang telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi rakyat baginda secara pendaftaran melalui Bab 5 (1), 5 (6) dan 6 (1) dan secara penuangan melalui Bab 8 (1) Akta Taraf Kebangsaan.

Terlebih dahulu saya sukacita mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Penyampaian Sijil-sijil Kerakyatan Ke-16 kerana menjemput saya untuk hadir di majlis ini, yang mana adalah satu penghormatan yang saya hargai.

Saya juga sukacita mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua penerima Sijil Kerakyatan pada petang ini di atas keberuntungan mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadi rakyat baginda.

Saya penuh percaya para penerima sijil sekalian di samping merasa gembira, setentunya juga menyedari bahawa pengurniaan taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam adalah satu kurnia yang tidak ternilai harganya.

Kita sebentar tadi telah menyaksikan para penerima Sijil Kerakyatan melafazkan ikrar sumpah taat setia yang tidak berbelah bahagia ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Janganlah ikrar ini tinggal dilafazkan sahaja. Para penerima perlu mengingati bahawa pengurniaan taraf kerakyatan ini adalah satu kurnia yang boleh ditarik balik di bawah Akta Taraf Kebangsaan, sekiranya didapati bahawa seseorang rakyat berdaftar, telah khianat kepada ikrar sumpah taat setianya itu.

Dalam hubungan ini, saya ingin mengambil kesempatan bagi menasihatkan segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini untuk sentiasa sama-sama menjaga dan memelihara keamanan, ketenteraman dan kestabilan negara kitani dan tidak semata-mata menyerahkan tugas tersebut kepada pihak kerajaan sahaja.

Selaku rakyat yang semestinya cintakan negara, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi segala undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa di negara ini yang digubal hanya atas tujuan untuk menjaga dan memelihara kepentingan negara dalam pelbagai aspek. Bak kata pepatah Melayu 'di mana bumi di pijak di situlah langit dijunjung'.

Setiap rakyat juga mempunyai hak-hak kerakyatan yang membawa jaminan kerajaan untuk menjadi pelindung terhadap kebajikan mereka. Dan sebaliknya, kita sebagai rakyat juga mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk sentiasa peka terhadap keperluan negara serta mengamalkan tingkah laku yang akan mengharumkan nama baik negara kita, di samping menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mencemari imej negara kita.

Sebagai sebuah kerajaan yang dinamik di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memanglah sudah merupakan agenda tetap kerajaan untuk sentiasa meningkatkan tahap keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan dari masa ke semasa sesuai dengan kehendak peredaran zaman demi untuk menyokong segala usaha untuk memajukan negara ini di segenap bidang.

Dalam pada itu, saya juga ingin menyarankan supaya mana-mana rakyat yang berperanan dalam sektor swasta dengan mengusahakan pelbagai usaha yang berkebajikan supaya akan melipatgandakan lagi usaha masing-masing kerana yang demikian adalah merupakan jasa yang besar ertinya kepada negara.

Adalah diharapkan segala usaha yang diungkayahkan itu akan menambahkan lagi kepada usaha-usaha berterusan untuk meningkatkan kemakmuran negara dan mudah-mudahan juga akan membukakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini yang dengan sendirinya akan mengurangkan kadar pengangguran.

Seperti yang kita sama-sama maklum untuk dipertimbangkan menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, para pemohon semestinya telah memenuhi syarat-syarat mengikut bab-bab tertentu yang termaktub di dalam undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan khususnya Akta Taraf Kebangsaan dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan beberapa perubahan dasar yang berkaitan dengan soal kerakyatan para akhir-akhir ini.

Perubahan-perubahan dasar yang dimaksudkan itu ialah yang berkaitan dengan kelayakan ibu-ibu yang terdiri dari rakyat baginda dan bersuamikan warganegara asing untuk memohonkan taraf kerakyatan di bawah Bab 6 (1) untuk anak-anak mereka, yang mana perubahan ini baginda telah perkenankan pada tahun 2002.

Pada tahun 2003, baginda juga telah memperkenankan Ujian Lisan Bahasa Melayu bagi pemohon-pemohon yang kurang upaya untuk menduduki Ujian Bertulis, disebabkan tahap pendidikan yang tidak memungkinkan.

Segala perubahan tersebut setentunya banyak mendatangkan kemanfaatan kepada mereka yang berkenaan dan saya percaya perubahan-perubahan tersebut disambut dengan penuh kesyukuran dan banyak-banyak menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh kesemua yang berkenaan.

Satu perkembangan baru yang ada kaitannya dengan isu kerakyatan ini ialah yang sehubungan dengan kurikulum kertas Ujian Bertulis Bahasa Melayu yang dikehendaki oleh Bab 5 dan Bab 8 dari Akta Taraf Kebangsaan.

Dalam kesempatan ini saya sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan kurikulum kertas Ujian Bertulis Bahasa Melayu yang akan menjadi panduan bagi pemohon-pemohon yang memohon taraf kerakyatan di bawah Bab 5 dan Bab 8 dari Akta Taraf Kebangsaan yang mana kurikulum tersebut akan dilancarkan pada hari ini.

Buat mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi dengan penuh ikhlas mengucapkan tahniah kepada para penerima Sijil-sijil Kerakyatan pada hari ini dan berdoa semoga akan menjadi rakyat yang berguna yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan negara dan yang sentiasa melipatgandakan usaha pada meningkatkan lagi kemakmuran negara ini.

Dalam kesempatan ini juga marilah kita bersama memperbaharui tekad taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga baginda akan kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan aman makmur dan sentosa dan sentiasa dikurniakan petunjuk, taufiq dan hidayah oleh-Nya jua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Home Affairs