B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++ Home | Brunei | His Majesty The Sultan | HRH The Crown Prince | Legislative Council | Government ++
++ Papers | Policy Speeches | Web Links | Financial Planning | Special EDP Program ++

UCAPAN
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Paduka (Dr.) Haji Awang Hussain bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Mohd Yusof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,
di Majlis Pelancaran Pesta Hari PESAKA Ke-4 2004
di Dewan Wawasan Bangunan PESAKA, Kampong Keriam, Tutong
pada 3 Disember 2004.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua kita dapat berkumpul bagi sama-sama memeriahkan Pesta Hari PESAKA Ke-4 Tahun 2004.

Saya sukacita mengucapkan tahniah kepada Yang Dipertua Persatuan PESAKA dan seluruh ahli persatuan ini kerana berjaya mengungkayahkan Pesta Hari PESAKA selama empat hari berturut-turut. Tidak syak lagi, kejayaan seumpama ini menampakkan kekuatan semangat perpaduan di pihak kepimpinan dengan ahli-ahli, di samping kerjasama yang padu daripada penduduk-penduduk Kampong Keriam di mana persatuan ini ditubuhkan kira-kira 45 tahun yang lalu. Sebagai sebuah persatuan sukarela yang diasaskan untuk mewujudkan semangat perpaduan di kalangan ahli-ahli dengan masyarakat kampung melalui kegiatan-kegiatan berkebajikan, adalah penting supaya hubungan berbaik-baik dan semangat toleransi dengan masyarakat kampung sentiasa dipupuk dan disemai sehingga ke suatu tahap di mana masyarakat kampung memandang persatuan sebagai 'role model' yang layak diteladani.

Pada pandangan saya, Persatuan PESAKA sudah sampai ke tahap sebuah persatuan sukarela yang layak diteladani. Lumih-lumih kegiatan yang diungkayahkannya sejak ditubuhkan pada tahun 1960 sudah dapat dijadikan bukti yang moto persatuan ini 'Bersatu Untuk Perpaduan' telah dapat dihayati oleh ahli-ahlinya. Perkara ini tercapai, walaupun tidak seratus peratus, adalah berkat kepimpinan yang mantap, semangat muafakat yang padu dan di atas segala-galanya penerimaan masyarakat kampung terhadap Persatuan PESAKA sebagai suatu wasilah untuk melahirkan suasana harmoni, semangat berbaik-baik, tolong-menolong dan berbaik sangka di kalangan masyarakat kampung.

Sebagai sebuah persatuan belia yang dapat diteladani, Kampong Keriam patut berbangga dengan wujudnya persatuan ini sebagai satu aset yang dinamik yang dapat dikembangkan dengan jaringan program-program sosial dan ekonomi untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat kampung. Malah persatuan ini, dalam apa jua kegiatan sosial dan ekonominya, secara de facto dapat supplement dan complement kepada institusi Penghulu dan Ketua Kampung yang diamanahkan berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu. Saya percaya Persatuan PESAKA dengan kepimpinan yang dinamik dan berwibawa dapat membantu memperkukuhkan lagi institusi Penghulu dan Ketua Kampung dalam upayanya memberi khidmat yang terbaik lagi berkesan kepada mukim dan kampung.

Di negara kitani, budaya atau amalan berkampung sudah lama wujud iaitu satu cara kehidupan yang telah membawa kesejahteraan, kemakmuran dan keberkatan dalam kehidupan kita semua. Sebab itulah institusi Penghulu dan Ketua Kampung dikekalkan hingga sekarang di mana kita menikmati kemewahan, kesenangan dan terhindar daripada kebimbangan dan ketatan.

Tetapi kebimbangan kita dewasa ini adalah terdapat kesan-kesan sampingan yang negatif hasil daripada kemewahan dan kesenangan yang kita nikmati itu, seperti semakin longgar pegangan terhadap sistem berkeluarga dan berkampung dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya. Sudah nampak bibit-bibit kurangnya rasa kekitaan sesama sendiri, kurangnya sifat pemedulian kepada golongan tua yang memerlukan bantuan dan gejala-gejala yang menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Saya berharap, di peringkat mukim dan kampung, usaha pemantauan gejala-gejala negatif dalam masyarakat akan dapat ditingkatkan dan juga golongan belia akan lebih peka dan responsif terhadap kesusahan hidup penduduk-penduduk mukim dan kampung, terutamanya golongan warga tua. Jika terdapat kes-kes yang sedemikian, sekurang-kurangnya hendaklah dimaklumkan segera kepada pihak-pihak yang berwajib untuk tindakan siasatan. Saya percaya bagi Persatuan PESAKA yang sudah berpengalaman dalam mengendalikan pelbagai program kemasyarakatan, perkara seperti memeduli golongan yang memerlukan bantuan bukanlah suatu yang di luar kemampuan persatuan ini.

Potensi sumbangan serta khidmat bakti persatuan-persatuan belia, termasuk Persatuan PESAKA, dalam pembangunan negara adalah tidak diragukan lagi dan kita amat menghargai sikap positif golongan belia yang tahu menghargai nilai masa, menggunakan masa pada kegiatan-kegiatan yang berfaedah, di samping proaktif terhadap tugasan kemasyarakatan yang diamanahkan kepada mereka. Ke arah itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam rancangan strateginya, antara lain, akan melibatkan persatuan-persatuan belia di peringkat daerah untuk sama-sama menangani pembangunan belia di daerah masing-masing. Upaya empowerment kepada belia adalah bertujuan supaya persatuan-persatuan belia lebih proaktif dalam mengungkayahkan program-program ke arah mewujudkan belia yang cemerlang dan menjadi 'role model' untuk ikutan di daerah masing-masing.

Akhirnya, marilah ktia sama-sama berdoa, mudah-mudahan matlamat Persatuan PESAKA untuk menyatupadukan serta meningkatkan taraf kehidupan penduduk-penduduk kampung akan terlaksana dengan jayanya. Saya juga berharap persatuan ini tidak kendur-kendur melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sukarela yang bertaraf nasional.

Dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala dan dengan kalimah 'Bismillahir Rahmanir Rahim', saya sukacita merasmikan Pesta Hari PESAKA Ke-4 2004.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Culture, Youth and Sports

(c) BRUNEIresources.com, 2005. All Rights Reserved.
Best viewed on Mozilla Firefox.
Website designed by Qasrun Nafis (Raw HTML & NotePad).
Background graphic 'jongsarat' designed by the late Musdi Gapar.