B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz
di Majlis Konvokesyen Kebangsaan Institusi-institusi Pendidikan Teknik dan Vokasional, Jabatan Pendidikan Teknik
pada hari Khamis, 2 Rabiulawal 1425/22 April 2004
bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat menghadirkan diri berama-sama dalam Majlis Konvokesyen Kebangsaan Institusi-institusi Pendidikan Teknik dan Vokasional, Jabatan Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan di pagi yang mulia ini bagi julung kalinya diadakan anjuran Jabatan Pendidikan Teknik yang menggabungkan graduan-graduan institusi-institusi teknik dan vokasional dalam satu konvokesyen. Ini bukan saja dapat menjimatkan kewangan, masa dan tenaga malah ia boleh menjalin dan mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan kekeluargaan bagi semua anggota institusi teknikal dan vokasional seluruh negeri pada menempatkan pendidikan teknik dan vokasional ke tempat yang tinggi sejajar dengan lain-lain komponen pendidikan keseluruhannya.

Pada kesempatan yang bersejarah dan penuh makna ini saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan graduan yang menerima sijil-sijil dan diploma di majlis ini. Kejayaan ini setentunya adalah hasil daripada daya usaha yang bersungguh-sungguh yang diiringi oleh doa restu ibu bapa dan sanak saudara graduan-graduan serta pimpinan dan bimbingan pengetua dan pensyarah-pensyarah di institusi-institusi teknikal dan vokasional.

Mengimbas sejarah institusi teknikal dan vokasional di negara ini yang hampir menjangkau 30 tahun penubuhannya, bermula dengan pembinaan dua maktab iaitu Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dan Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah pada tahun 1970 sebagai alternatif kepada pelajaran menengah pada masa itu dan diikuti dengan penubuhan beberapa buah lagi sekolah teknikal dan vokasional kemudian pada tahun 1980-an dan 1990-an, bukan saja menunjukkan perkembangan yang begitu pesat bagi institusi teknikal dan vokasional tetapi juga mempamerkan keperluan pendidikan teknikal dan vokasional itu sebagai satu komponen penting dalam dasar pendidikan negara bagi perkembangan sumber manusia yang merupakan faktor utama dalam setiap rancangan kemajuan negara ini.

Menyedari hakikat akan pentingnya sumber tenaga manusia dalam pembangunan negara, kerajaan telah memberikan keutamaan supaya ianya diperkembangkan melalui latihan dan pendidikan terutama dalam bidang sains, teknikal dan vokasional, yang mana institusi pengajian tinggi negara ini mempunyai peranan yang penting sebagai pembekal utama kepada sumber tenaga manusia yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan kerajaan, industri, institusi-institusi kewangan, sektor tertiari dan lain-lain. Menyedari akan keperluan ini matlamat pendidikan akan terus memfokus kepada 'hi tech' yang berterusan mengikut perkembangan teknologi dan ekonomi global, sejajar dengan aspirasi negara.

Memandang kepada perkembangan yang telah dicapai oleh institusi teknikal dan vokasional sejak 30 tahun penubuhannya alhamdulillah dapatlah sama-sama kita banggakan. Dari institusi kecil yang ditubuhkan yang hanya berupaya menawarkan beberapa macam kursus bagi keperluan sebahagian pelajar pada masa itu, kini telah berkembang berpuluh kali ganda menawarkan hampir 100 jenis kursus yang merangkumi pendidikan dan latihan pada peringkat kejuruan, teknisyen dan peringkat pofesional (HND) bukan saja bagi lepasan sekolah-sekolah dari Tingkatan 3 hingga ke Tingkatan 6, malah menyediakan program bagi pekerja-pekerja yang memerlukan latihan lanjutan dalam bidang tertentu.

Penubuhan Majlis Pendidikan Teknik, Vokasional Brunei Darussalam (MPTVBD) pada tahun 1993 yang mengambil alih pengiktirafan dan pensijilan kursus-kursus teknikal dan vokasional daripada agensi luar negeri iaitu City & Guilds, London dan BTEC, United Kingdom berhasil menggubal peraturan dan garis pandunya sendiri mengenai persijilan dan pengeluaran sijil dan diploma dari peringkat Sijil Kejuruan Kebangsaan hinggalah Diploma Tertinggi Kebangsaan. Kejayaan ini bukan saja menunjukkan pengiktirafan yang diberikan oleh 'authority' luar kepada pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini tetapi jua membuktikan kebolehan pegawai-pegawai pendidik tempatan di dalam pengendalikan hampir sepenuhnya pendidikan teknikal dan vokasional tanpa menjejaskan kualiti dan pengiktirafan dari institusi pengajian dari luar negeri.

Dari sudut lain pula, pada masa ini kita sudah nampak perubahan sikap dan pemikiran di kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional. Kalau dulu pelajaran teknikal dianggap hanyalah bagi pelajar-pelajar yang lemah untuk melanjutkan ke bidang akademik dan merupakan 'second choice' dalam pemilihan berkursus, sekarang trend itu sudah lama berubah jika dilihat pelajar-pelajar yang berkelulusan baik semakin ramai antara mereka memohon untuk mengikuti kursus teknikal dan vokasional sehingga mereka terpaksa bersaing bagi mendapatkan tempat yang terhad di institusi dan teknikal. Yang jelas, keramaian pelajar-pelajar telah meningkat tahun demi tahun.

Sejak kursus MPTVBD diperkenalkan sejak 10 tahun lalu seramai 11,631 orang pelajar telah didaftarkan untuk mengikuti pengajian di institusi-institusi teknikal dan vokasional yang mana seramai 8,223 sejauh ini telah memperolehi sijil-sijil dan diploma-diploma yang berkemahiran di pelbagai peringkat di bidang masing-masing, sebagai tukang-tukang yang berkemahiran seperti tulang paip, tukang kayu, tukang kimpal, tukang masak, mekanik kereta, teknisyen elektrik dan elektronik, jurutera-jurutera dan sebagainya menyumbangkan sama-sama secara langsung atau tidak langsung kepada pembangunan sumber tenaga mahir yang diperlukan oleh negara.

Di peringkat antarabangsa, selain dari graduan-graduan institusi-institusi teknikal dan vokasional dapat diterima mengikuti kursus lanjutan di mana-mana institusi pengajian di luar negeri, pelajar dan pegawai dari institusi-institusi ini juga telah menyertai dalam kegiatan Pertandingan Kemahiran ASEAN selaku pakar-pakar, ahli jawatankuasa teknikal dan peserta pertandingan.

Alhamdulillah tiga orang peserta dari Negara Brunei Darussalam telah mengharumkan Negara Brunei Darussalam di luar negeri apabila berjaya mendapat pingat emas, perat dan diploma kecemerlangan dalam bidang masakan dalam pertadingan tersebut yang diadakan pada tahun 2001 dan 2002.

Dari kejayaan ini sudah menampakkan bahawa pelajar-pelajar institusi-institusi teknikal dan vokasional mempunyai potensi dan kemahiran yang tinggi untuk dijulungkan di luar negeri, termasuk dalam aspek mencari pekerjaan di luar negara sebagai satu peluang untuk menimba pengalaman dalam suasana dan kehidupan yang berbeza yang mungkin lebih meluas dan mencabar yang mana pengalaman yang diperolehi itu nanti insya-Allah akan membawa kemanfaatan kepada negara dan pelajar-pelajar itu sendiri.

Menyentuh mengenai dengan Pertandingan Kemahiran ASEAN yang saya dinyatakan tadi, alhamdulillah atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah kepada Pertandingan Kemahiran ASEAN Ke-6 pada tahun 2006.

Saya yakin Negara Brunei Darussalam melalui institusi teknikal dan vokasionalnya mempunyai keupayaan yang tinggi untuk mempamerkan prasarana, fasiliti dan kemahiran yang bermutu tinggi yang boleh menjadi ikutan dan panduan oleh negara-negara lain yang menyertai pertandingan ini nanti.

Perkembangan dan kejayaan yang dikecapi oleh institusi teknikal dan vokasional selama ini tidak akan sampai ke tahap yang diharapkan tanpa adanya penglibatan serta kerjasama yang dihulurkan oleh pihak swasta termasuk pengusaha-pengusaha seperti majikan swasta. Adalah diakui betapa penting pembabitan swasta dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, misalnya dalam membantu terhadap keperluan pendidikan teknikal, membantu bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap institusi teknikal dan vokasional dan membantu menerima masuk graduan di dalam perusahaan dan perniagaan mereka.

Antara usaha ke arah ini ialah penubuhah 21 buah National Programme Advisory Committee oleh Jabatan Pendidikan Teknik, yang dianggotai oleh majikan-majikan, pakar-pakar dan pengajar-pengajar yang bertujuan memberikan maklum balas mengenai perniagaan dan perdagangan di negara ini dan memberikan nasihat kepada Jabatan Pendidikan Teknik mengenai keperluan sumber tenaga manusia tempatan, yang mana maklum balas dan nasihat yang diberikan akan membolehkan kedua belah pihak mengatur dan merancang kursus-kursus yang bersesuaian dengan keperluan pihak swasta terutama dalam bidang perusahaan.

Di samping itu syarikat tempatan yang mengendalikan skim-skim perantisan di dalam beberapa bidang seperti perkhidmatan dan masakan, pembuatan, mekanik kereta, mekanik kapal terbang dan kejuruteraan kapal terbang dan hawa dingin adalah usaha-usaha yang patut dipuji dan dicontohi.

Usaha sama di antara institusi-institusi pendidikan teknik dan vokasional dengan majikan-majikan dalam skim perantisan tersebut adalah kaedah yang efisien di dalam memastikan 'relevancy' latihan terhadap kehendak majikan dan industri serta dapat membentuk satu piawaian yang lebih bersesuaian dan bermakna di dalam usaha kita melahirkan sumber tenaga manusia yang diperlukan, insya-Allah.

Saya berharap 509 orang pelajar yang berjaya menamatkan kursus mereka di institusi-institusi teknikal dan vokasional Jabatan Pendidikan Teknik hendaklah memanfaatkan sebaik-baiknya kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi untuk menyertai aktiviti-aktivit perekonomian dan pembangunan negara ini melalui pekerjaan yang diceburi atau berusaha untuk menjadi usahawan-usahawan muda bagi mengendalikan perniagaan yang menguntungkan atau menjadi tukang-tukang dan pakar-pakar teknologi yang diperlukan oleh masyarakat dan negara.

Dalam perancangan ke arah menghasilkan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan kompetitif yang diperlukan oleh negara, Kementerian Pendidikan, melalui Jabatan Pendidikan Teknik, sedang merancang ke arah penyediaan satu sistem pendidikan teknik yang komprehensif, berkualiti dan relevan, mengandungi tiga peringkat kelulusan dan kemahiran iaitu sijil kemahiran, diploma dan ijazah. Program-program yang ditawarkan insya-Allah meliputi latihan kemahiran, teknologi dan profesional, yang memungkinkan lebih banyak penubuhan institusi teknikal dan vokasional dan dengannya memberikan peluang-peluang yang lebih meluas dan 'flexible' kepada pelajar-pelajarnya untuk mengikuti pengajian teknikal dan vokasional yang relevan dan dapat memenuhi sumber tenaga mahir yang diperlukan oleh negara.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang berkenaan dalam menyelenggarakan majlis ini dan sekali lagi merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada graduan yang berjaya menerima sijil dan diploma pada pagi ini dengan doa semoga awang-awang dan dayang-dayang akan mendapat kejayaan demi kejayaan dalam menjalani kehidupan dan kerjaya awang-awang dan dayang-dayang di masa kini dan akan datang.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education