B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz
di Majlis Perasmian Seminar Imam Ash-Shafi'e dan Pelancaran Jurnal Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien
pada 13 Oktober 2004
bertempat di Universiti Brunei Darussalam.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Anbiya, Walmursalen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een.

Pertama sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Universiti Brunei Darussalam khususnya Jabatan Syariah Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien kerana berkesudian mengundang saya sebagai tetamu kehormat bagi Majlis Perasmian Seminar Imam Ash-Shafi'e yang diselajurkan dengan pelancaran Jurnal Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien yang akan berlangsung sebentar lagi.

Menyedari hakikat besarnya, pengaruh Imam Ash-Shafi'e dan aliran pemikirannya dalam bidang perundangan dan penghayatan Islam di negara kita ini, sudah sewajarnyalah seminar ini diadakan bagi menghormati jasa beliau kepada kita semua. Oleh itu saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Syariah yang mengambil insiatif sedemikian.

Imam Shafi'e Sarjana Contoh yang menjadi tema seminar ini merupakan tema yang tepat untuk menggambarkan ketokohannya sebagai ilmuan yang patut dijadikan teladan bukan saja oleh pelajar-pelajar tetapi juga oleh para sarjana dan ulama masa kini.

Bagi para pelajar, metode belajar Imam Shafi'e dan konsep pembelajaran beliau yang terlihat unggul dalam bait-bait syair berikut patut dijadikan pegangan yang terjemahannya:

Aku mengadu kepada guruku Waki'i tentang buruknya hafalanku
Beliau kemudian menyuruhku meninggalkan kemaksiatan
Dan memberi tahuku bahawa ilmu itu cahaya
Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.

Sudah seharusnyalah syair ini dijadikan panduan penilaian terhadap pencapaian akademik oleh para pelajar lebih-lebih lagi pelajar-pelajar yang mendalami ilmu-ilmu Islam seperti pelajar-pelajar Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien ini. Perlu disedari bahawa jika didapati pelajar-pelajar mendapat keputusan yang tidak memuaskan, apakah kelemehan pelajar berkenaan disebabkan oleh sikap mereka yang tidak memberikan tumpuan kepada pelajaran atau oleh sebab lain seperti yang dinyatakan oleh Imam Shafi'e itu.

Imam Ash-Shafi'e Rahimahullah berjaya menunjukkan contohnya menjadi pelajar cemerlang malah menjadi ikutan sehingga wujudnya sebuah mazhab iaitu Mazhab Ash-Shafi'e. Kejayaan demi kejayaan yang diraih tidak membuat Imam Ash-Syafi'e lupa daratan, Imam Ash-Shafie terus insaf dengan penuh kesedaran bahawa ilmu yang dimiliki hanyalah seperti setitik air di lautan. Apa yang beliau amalkan ini adalah bertepatan dengan peribahasa orang-orang Melayu 'makin berisi semakin tunduk'.

Bagi para sarjana, ketekunan dan kegigihan imam besar ini dalam membuat kajian demi kajian dan penyelidikan demi penyelidikan adalah sesuatu yang patut dijadikan teladan. Imam Ash-Shafi'e adalah contoh sarjana produktif yang berjaya menghasilkan 200 karya dalam bentuk tulisan dan merupakan perintis kepada beberapa bidang ilmu penting dalam pengajian Islam dan salah satunya adalah ilmu Usul Fiqh.

Pengalaman Imam Ash-Shafi'e yang telah merentas sempadan dunia Islam ketika menuntut dan dalam menyebarkan ilmunya menjadikan beliau seorang ulama berkaliber dan disegani oleh semua ulama yang hidup sezaman dengan beliau. Halaqah beliau menawarkan konsep-konsep baru mengenai metodologi ilmu fiqh dan menawarkan pendapat-pendapat baru yang segar pada zamannya.

Setelah mengkaji, mempelajari dan memperbandingkan pelbagai aliran pemikiran, Imam Ash-Shafi'e kemudiannya memilih jalan antara aliran pemikiran Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Pemikiran Imam Ash-Shafi'e merupakan aliran 'moderate' antara pemikiran yang menggunakan pendekatan akal yang praktikal dan pemikiran pendekatan tradisional yang banyak berpandukan kepada rujukan sumber-sumber Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sebagai hasilnya lahirlah Mazhab Ash-Shafi'e yang kemudiannya menjadi pegangan majoriti umat Islam terutama di Asia Tenggara yang tidak kurang 400 juta bilangannya.

Di negara kita sendiri, Mazhab Ash-Shafi'e mempunyai tempat yang khusus di jiwa masyarakat Islam dan mempunyai kedudukan perundangan yang istimewa. Agama rasmi bagi negara ini ialah agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah yang berpandukan Mazhab Ash-Shafi'e seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi dinyatakan pula bahawa setiap fatwa yang dikeluarkan hendaklah mengikut qaul muktamad dari Mazhab Ash-Shafi'e. Ini merupakan pengukuhan terhadap kedudukan Mazhab Ash-Shafi'e di negara ini.

Dalam 'Pemasyhuran Mengangkat Raja dan Melantik Pemangku Raja' diperuntukkan syarat untuk menjadi sultan, iaitu mestilah seorang lelaki yang beragama Islam dan hendaklah menganut Mazhab Ash-Shafi'e. Demikian juga lantikan-lantikan utama seperti Menteri dan Timbalan Menteri dikecualikan ada pengecualian.

Dalam amalan harian, umat Islam negara ini berpandukan kepada Fiqh Syafi'iyyah. Hal ini dilakukan agar tidak terjadi pertikaian pemikiran agama di kalangan masyarakat awam yang boleh membawa kepada kegelisahan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Amalan ini, alhamdulillah telah mewujudkan suasana aman, damai serta makmur, kurun-berkurun di negara ini.

Tujuan Imam Ash-Shafi'e mengambil jalan tengah di antara metodologi atau usul yang boleh mengeluarkan atau istinbat hukum secara 'consistent'.

Jasa dan sumbangan Imam Ash-Shafi'e tidak dinafikan tetapi perkembangan mazhab ini banyak juga kerana hasil usaha ulama-ulama yang telah memperluaskan dan menghalusi lagi usul yang telah diwujudkan oleh pengasasnya.

Ulama-ulama dulu tidak pernah diam yakni menerima sahaja apa yang telah diketengahkan oleh Ash-Shafi'e tanpa menyoal, menyiasat, memperbaiki dan menghalusi lagi fikrah-fikrah tersebut, tanpa mengubah asas biar sedikit pun. Ini adalah kerana dengan pergolakan zaman, masalah baru sentiasa timbul yang menuntut cara penyelesaian atau 'solution' yang baru. Ini berkehendak metodologi yang baru yang boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien sebagai pusat pengajian cemerlang patutlah menghasilkan kajian-kajian yang boleh menyumbang kepada peningkatan metodologi Syafi'iyyah untuk menyambung tradisi intelektual ulama-ulama Ash-Shafi'e seperti Al-Juwayni dan Al-Ghazali yang telah memperkembangkan fikrah-fikrah usul yang telah diasaskan oleh Imam Ash-Shafi'e.

Adakah metologi-metologi yang ada sekarang boleh lagi diperkembangkan dan diperkuatkan melalui kajian metodologi-metodologi akademik moden? Tujuan ini adalah untuk mengeluarkan metodologi fiqh yang lebih dinamik yang boleh menghadapi masalah semasa atau 'contemporary'. Adakah metodologi atau usul fiqh boleh diperkembangkan sebagai alat kajian untuk bidang-bidang yang lain selain daripad fiqh? Usul fiqh yang telah diketengahkan oleh Ash-Syafi'e sebenarnya adalah metodologi untuk mengeluarkan ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran secara tepat dan 'consistent'.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya menyeru seluruh ahli akademik di negara ini terutama sekali yang berada dalam kampus unversiti ini dan menyeru mahasiswa dan mahasiswi agar menjadikan pemikiran Al-Imam Ash-Shafi'e sebagai teladan.

Kreativiti dan produktiviti beliau patut dijadikan contoh kerana sarjana kreatif dan produktif adalah sarjana yang diperlukan negara.

Tidak lupa diucapkan sekali lagi syabas dan tahniah kepada Jabatan Syariah, Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam di atas usaha yang murni ini dan diharapkan agar usaha seperti ini akan terus diungkayah dan dipergiatkan demi mendukung hasrat dalam memperkembangkan ilmu-ilmu Islam di negara ini. Semoga usaha ini akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subhanahu Wataala dan semoga kita semua beroleh manfaat yang tidak terhingga daripada-Nya.

Jika harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, maka Al-Imam Asy-Syafie wafat dengan meninggalkan warisan ilmu yang tidak hilang ditelan zaman.

Akhir sekali sama-samalah kita bertafakur dan membacakan Surah Al-Faatihah untuk Imam Besar kita Al-Imam Asy-Shafie Rahimahullah, Al-Faatihah.

Dengan mengagungkan Allah saya rasmikan Seminar Imam Asy-Syafie ini yang bertemakan 'Imam Syafie Sarjana Contoh' yang diselajurkan dengan pelancaran Jurnal Sultan Omar 'Ali Saifuddien.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education