B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz
di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Ke-54 2003-2004
pada 17 Rabiulakhir 1425/6 Jun 2004
bertempat di Dewan Bangunan PGGMB, Jalan Kianggeh Bandar Seri Begawan.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua kita dapat sama-sama hadir ke Majlis Perasmian Agung Perwakilan (MAP) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Ke-54/2003 - 2004.

Saya seterusnya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Dipertua PGGMB atas kesudian menjemput saya hadir ke majlis ini dan diberi penghormatan untuk merasmikannya.

Mengimbas kembali penubuhan persatuan-persatuan di negara ini di zaman keghairahan penubuhan persatuan-persatuan belia dan kampung di sekitar tahun 50-an dan 60-an telah menampakkan kegiatan-kegiatan persatuan di peringkat awalnya seumpama cendawan tumbuh di waktu hujan dalam mana hampir semua daerah dapat dilihat pertumbuhan persatuan-persatuan belia dengan berbagai-bagai tujuan dan objektif masing-masing bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan ahli-ahlinya. Malangnya seperti juga dengan penubuhan awalnya yang begitu banyak, begitu jua dengan kemerosotan dan kemalapannya. Satu demi satu persatuan-persatuan di negara ini terhenti dan hilang begitu saja disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh masing-masing. Akhirnya tinggal hanya beberapa buah persatuan saja yang berupaya meneruskan kegiatan termasuk PGGMB yang sudah tertubuh selama lebih 60 tahun tetapi masih bertapak dengan kukuh dan bergiat aktif sehingga ke hari ini dan dianggap sebagai salah satu persatuan orang Melayu yang berjaya dan boleh menjadi 'role model' kepada persatuan-persatuan lain di negara ini.

Kejayaan PGGMB selama ini, saya yakin adalah berpunca antara lain dari pucuk pimpinan yang mantap, kebolehan dan komitmen jemaah tadbir dan ahli-ahlinya serta sumber kewangan yang kukuh dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti sosioekonominya yang sedikit sebanyak menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara dalam mana hasil kejayaan itu, alhamdulillah, bukan saja telah dapat dinikmati oleh ahli-ahlinya, malah masyarakat sekelilingnya yang berkenaan.

Kejayaan PGGMB dalam usaha-usaha di bidang pendidikan dan perniagaan termasuklah usaha niaga di rantau ini adalah satu perkara yang telah menjadi kenyataan. Seperti juga mana-mana usaha barang setentunya akan menimbulkan beberapa masalah yang merupakan keperluan

untuk mengadakan perubahan-perubahan secocok dengan keadaan baru di sekeliling kita. Dalam konteks ini, saya tidak berhajat untuk menyentuh keperluan bagi 'restructuring' PGGMB serta menggunakan lebih banyak profesional-profesional dalam bidang yang tertentu kerana perkara seperti ini telah banyak disentuh di masa-masa yang sudah. Apa saya rasa yang memerlukan keberanian ialah untuk melangkah terus ke luar rantau dalam usaha perniagaan dan membawa masuk usaha-usaha niaga luar negeri ke Negara Brunei Darussalam untuk berkongsi sama dengan PGGMB.

Selain dari itu, PGGMB tentu menyedari bahawa keadaan masa dan sistem ekonomi dan sosial sudah jauh berubah dan berbeza dari masa-masa yang sudah terutama sekali dengan adanya pengaruh-pengaruh hasil perkembangan globalisasi dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tidak dapat kita harus sentiasa peka dan 'adaptable' kepada perubahan-perubahan ini yang seharusnya dipantuni dengan penuh kebijaksanaan untuk mendapat kemanfaatan maksima dari segala-galanya.

Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan telah menjalankan usaha untuk melengkapkan, antara lain, sekolah-sekolah rendah dan menengah serta pusat-pusat pengajian tinggi dengan kemudahan-kemudahan ICT yang pada asasnya untuk digunakan sebagai bantuan kepada proses pembelajaran demi untuk meningkatkan taraf pengajian dalam semua bidang. Hampir 80 ke 90 peratus di kalangan sekolah-sekolah rendah dan menengah sedang menikmati kelengkapan ini termasuklah latihan-latihan dan 'orientation' bagi guru-guru yang akan mengendalikannya. Saya penuh berharap PGGMB melalui sekolahnya akan mengalu-alukan kalangan sekolah swasta dalam bidang yang berkenaan.

Sebagaimana yang cikgu-cikgu sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan perlaksanaan Perintah Pendidikan 2003 yakni Education Order 2003 yang menggariskan secara am dan khusus sistem dan dasar pendidikan di negara ini. Saya penuh berharap PGGMB sebagaimana juga sekolah-sekolah swasta yang lain akan dapat sepenuhnya memahami kehendak Perintah Pendidikan 2003 ini dan sama-sama menanainya demi untuk kepentingan seluruh masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini.

Seperkara lagi, PGGMB yang saya anggap benar-benar mewakili kaum guru pada zamannya perlu membanyakkan lagi jumlah ahli-ahlinya yang ada pada masa ini; terutama di kalangan graduan-graduan yang mempunyai kelulusan dan kemahiran dalam pelbagai peringkat dan bidang. Dalam hal ini, bagi usaha menarik semua guru yang berkelayakan dan bersesuaian untuk memasuki persatuan ini, PGGMB perlu mengubah dan mencari pendekatan yang lebih efektif melalui cara-cara seakan-akan 'recruitment drive' bagi menarik lebih ramai ahlinya. Dan tidak dapat tiada PGGMB perlu membuat perancangan bagi mengenal pasti para pelapis atau pengganti di kalangan ahli-ahlinya untuk meneruskan tanggungjawab dan peranan yang dipikul oleh pemimpinnya pada masa lalu dan masa kini. Dalam pada itu, ahli-ahli muda PGGMB yang ada hendaklah juga bersedia dan mempunyai keterampilan untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut yang selama ini membawa PGGMB ke mercu kejayaan.

Akhirnya pada kesempatan yang baik ini saya dengan ikhlas mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei kerana dapat mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB Ke-54 di pagi ini dan seterusnya mengucapkan selamat bersidang dan semoga segala isu-isu yang dibincangkan akan menghasilkan kemanfaatan yang diharapkan.

Dengan mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya sukacita membuka rami Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB Ke-54 2003/2004 pada pagi ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education