B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz
di Majlis Perasmian Program Induksi Guru-guru Baru Tahun 2004
pada hari Selasa, 11 Jamadilawal 1425/29 Jun 2004
di Dewan Persidangan II, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah izin-Nya jua kita dapat hadir di Majlis Perasmian Program Induksi Guru-guru Baru Tahun 2004 pada pagi ini dan saya amat bersyukur dan gembira kerana dapat bersemuka dengan kumpulan besar dari kalangan guru-guru muda yang akan berkhidmat di Kementerian Pendidikan, insya-Allah.

Saya seterusnya dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelenggara Program Induksi Guru-guru Baru kerana berkesudian menjemput saya untuk hadir pada pagi ini selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis ini. Saya dengan ikhlas merekodkan penghargaan kepada mereka.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada abis cikgu kerana telah berjaya setelah melalui pemilihan mengisi beberapa jawatan sebagai pendidik di Kementerian Pendidikan untuk negara kita yang tercinta ini.

Dengan lantikan ini, bermulalah secara rasminya abis cikgu sebagai tenaga pengajar yang berijazah bagi mengajar pelbagai mata pelajaran yang diaturkan. Kalau dilihat secara menyeluruh, peranan guru bukan saja setakat mengajar mata pelajaran sahaja, peranannya lebih berat dan lebih penting jika dibandingkan dengan profesional lain kerana peranan guru melibatkan pertumbuhan dan perkembangan serta pencorak kehidupan manusia sejagat dalam pelbagai bidang dari zaman ke zaman, dari buta huruf kepada cerdik pandai, dari kurang mahir kepada yang lebih mahir, dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa dan begitulah seterusnya. Benarlah kata pepatah 'khidmat guru hingga ke akhir zaman' yang membayangkan perkhidmatan guru akan berterusan dan berkekalan diperlukan seiiring dengan perkembangan ilmu yang tidak akan pupus hingga ke liang lahad. Jelas di sini dari mula wujudnya manusia, guru adalah pelaksana tugas yang amat besar dan mencabar dan merupakan satu pekerjaan yang dipandang sangat mulia. Seorang guru atau lebih tepat lagi disebut sebagai pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga mendidik dan mengasuh serta mengembangkan bakat-bakat yang ada kepada kebaikan, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang setinggi-tingginya, di samping membentuk akhlak yang mulia. Guru adalah ejen atau pencalak perubahan perkembangan ummah, menunaikan kewajipannya sebagai hamba Allah dan berperanan sebagai di antara khalifah-khalifah di bumi Allah ini. Begitu tingginya peranan guru di sisi Allah dan manusia, begitu jua beratnya amanah yang diserahkan kepada guru, yang tak dapat tiada wajib ditunaikan dengan penuh kebijaksanaan atau dengan hikmahnya sekali. Dalam konteks pendidikan ini pada hemat saya bermakna kesediaan atau kesanggupan mencari, memilih dan menggunakan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang paling baik bagi mencapai matlamat pendidikan yang ditentukan. Dalam masa yang sama guru perlu memperkayakan diri dengan kemahiran dan keperibadian yang tinggi, mengambil sikap terbuka, mengikuti perkembangan ilmu dan bersedia menerima perubahan yang dibawa oleh arus sains dan teknologi yang selari dengan prinsip Islam. Pendek kata guru adalah pemimpin dengan 'role model'nya yang terpuji.

Para guru yang saya hormati sekalian, kita umumnya mengetahui bahawa alam pendidikan telah cepat berubah. Perubahan yang begitu pesat memerlukan pendekatan dan paradigma yang baru. Maklumat yang dahulunya dicatatkan dengan menggunakan pensil atau pen telah disaingi dengan pesatnya oleh alat cetak komputer. Guru yang tidak peka dan tidak mengikuti perkembangan pendidikan secara global terutamanya dalam bidang infoteknologi komunikasi akan ketinggalan dan hanya akan menghasilkan pelajar-pelajar yang tidak berdaya maju, tidak mempunyai daya saing serta mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang terhad. Jika ini terjadi, produk yakni pelajar-pelajar yang bakal dilahirkan oleh guru-guru tidak akan dapat menyaingi masyarakat dunia baik dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dalam mempertingkatkan bangsa kita dalam bidang ekonomi, politik, teknologi dan yang seumpamanya. Di samping itu usaha-usaha pada memartabatkan pendidikan memerlukan peningkatan kemampuan intelektual, ketahanan diri, sahsiah, spiritual, estetika, jasmani, rohani dan seumpamanya. Guru perlu melihat realiti dan mempunyai wawasan. Fokus kitani bukan hanya kepada masa sekarang, akan tetapi keperluan negara dan bangsa di masa akan datang untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berilmu, berteknologi tinggi, berakhlak dan bertakwa.

Dalam hubungan ini juga kita ingin melihat produk kita yakni pelajar-pelajar mempunyai keperibadian yang bersih dan luhur. Tugas guru adalah umpama 'bertanam di tanah yang subur, membuang duri dan mencabut rumput-rumput yang tumbuh di celah-celah tanaman agar tanaman yang ditanam itu tumbuh dan berkembang dengan baik'. Dalam konteks manusia, mendidik itu ialah memperkembangkan bakat dengan jalan menghindarkan segala penghalang atau rintangan. Pelajar-pelajar adalah merupakan saham pelaburan negara yang amat berharga bagi kemajuan negara dan survival bangsa. Mereka harus dipupuk dan diperkuatkan kerana sekiranya mereka terjebak dalam keruntuhan moral dan cabaran-cabaran negatif semasa sedangkan mereka tidak mempunyai daya ketahanan diri, berdisiplin, tidak dapat menghormati potensinya sebagai makhluk yang sempurna diciptakan Allah, nescaya mereka akan mudah dipengaruhi dan diperalatkan oleh gejala-gejala negatif. Maka sewajarnya kita patut berwaspada dan bersiap siaga mengenai isu-isu sosial dan permasalahan anak-anak remaja kita.

Pendidikan akhlak umpamanya hendaklah bermula dari rumah sebagai asas, manakala dalam peringkat keduanya sekolah pula sebagai pembinaannya.

Kalau asas itu kukuh, tentulah teguh dan kuat pembinaannya dan perlaksanaannya pula akan menjadi baik dan teratur dan demikianlah sebaliknya. Untuk mencapai kejayaan yang diidamkan, diharapkan ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil berat terhadap kemajuan anak-anak mereka termasuk pendidikan rohani, sentiasa memata-matai akan keolahan anak-anak muda mereka di luar rumah terutama pada hari cuti sekolah seperti hujung minggu dan lepas waktu sekolah pada setiap hari. Pemedulian dan pengawasan seperti ini insya-Allah akan dapat mewujudkan suasana harmoni, keselesaan dan budaya belajar yang positif di kalangan pelajar semasa di rumah dan di sekolah dan dengan demikian dapat menghindarkan mereka dari terjebak kepada gejala-gejala yang tidak diingini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu pemberian yang diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada budi pekerti yang baik."

Tema program induksi tahun ini ialah 'Pendidikan Asas Kesempurnaan Insan' mencerminkan betapa perlunya pendidikan untuk menjadikan manusia yang sempurna yang bermakna sempurna dalam semua bidang. Sesungguhnya tugas membina insan sempurna adalah tugas yang sungguh mulia, walaupun begitu berat untuk dipikul. Namun demikian kesukaran itu bukanlah menjadi halangan yang boleh melemahkan semangat guru dalam melaksanakan amanah sebagai pendidik dan tidak mustahil para guru akan mampu mencapai matlamat pembinaan insan sempurna itu melalui pendidikan kerana insan yang bergelar guru seperti cikgu-cikgu mempunyai kelebihan-kelebihan yang boleh mengatasi para pelajar-pelajar iaitu dari segi pengetahuan, pengalaman, kematangannya, daya usaha di samping mempunyai peribadi dan akhlak abis cikgu yang terpuji. Semua ini merupakan perkara-perkara dan sifat-sifat yang sepatutnya disemai dan diturunkan kepada pelajar-pelajar di bawah bimbingan dan asuhan cikgu-cikgu yang mana abis cikgu berperanan sebagai 'role model' untuk menjadi ikutan dan teladan pelajar abis cikgu bagi mencapai kualiti pendidikan yang terbaik secara menyeluruh.

Bercakap mengenai kualiti pendidikan, sememangnya hasrat Kementerian Pendidikan yang berterusan yakni 'on going' untuk sentiasa meningkatkan kualiti pendidikan di semua bidang melalui pengurusan pengajaran pembelajaran, kemudahan-kemudahan, infrastruktur, institusi pengajian tinggi sehingga kepada kelulusan yang diperolehi dari institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri selaras dengan peraturan dan keperluan Perkhidmatan Awam dan negara. Pemedulian dan perhatian berat kebanyakan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka di negara ini adalah cukup menggalakkan dan membanggakan. Sekarang ibu bapa sanggup mengeluarkan dan membelanjakan wang mereka sendiri bagi kepentingan pendidikan anak-anak mereka. Ini termasuklah menghantar anak-anak mereka ke luar negeri bagi mengikuti berbagai-bagai kursus dan pengajian di luar negeri atas perbelanjaan sendiri dengan harapan bagi mendapatkan kelulusan yang membolehkan anak-anak mereka meneruskan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi di universiti dan institusi pengajian tinggi tertentu di luar negeri atau untuk mendapatkan pekerjaan di sektor kerajaan. Dalam keghairahan ibu bapa membiayai dan pelajar-pelajar untuk mengikuti kursus di luar negeri, mereka perlu berhati-hati dengan kualiti kursus dan pengajian tinggi yang mereka ikuti dan masuki. Terdapat beberapa kursus yang tidak diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Negara Brunei Darussalam yang boleh menjejaskan peluang-peluang pelajar-pelajar itu atau masa depan mereka. Di sini saya ingin menyentuh sebagaimana saya pernah sentuh di waktu-waktu yang lalu mengenai Kursus Foundation Studies yang diikuti di luar negeri. Kursus Foundation Studies adalah kursus alternatif bagi memudahkan seorang penuntut melanjutkan pengajian di peringkat tinggi sebagai ganti kelulusan GCE 'A' Level dan sebagainya yang mana kursus ini dikelolakan oleh institusi swasta dengan kerjasama universiti-universiti induk sama ada di dalam negeri itu sendiri atau melalui 'twinning programme'. Perlu diingat bahawa kelulusan

GCE 'A' Level adalah tidak semestinya sebanding dengan kelulusan 'foundations' kerana tempoh pengajian GCE 'A' Level mengambil masa dua tahun sedangkan Kursus Foundation Studies kebanyakannya hanyalah setahun dan ada pula menawarkan tiga ke enam bulan sahaja. Syarat kemasukan bagi kursus ini biasanya adalah lebih 'flexible', di mana ia hanya mensyaratkan beberapa kelulusan GCE 'O' Level atau sebanding sahaja dan pada dasarnya hanya ditawarkan kepada penuntut dari luar negeri dan tidak kepada penuntut-penuntut tempatan di negara itu sendiri. Oleh sebab kursus-kursus seperti ini tidak di'regulate' dan ia juga bukan kelayakan nasional, maka standard di kalangan 'foundation course' itu sendiri adalah tidak sama yang mana perbezaan ini bukan saja dari satu kursus kepada kursus yang lain, dari satu institusi ke institusi dan dari satu negara kepada negara yang lain. Dalam hubungan ini, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Negara Brunei Darussalam telah membuat perhitungan yang panjang lebar dan insya-Allah akan membuat penelitian yang terperinci terhadap perkembangan-perkembangan selanjutnya.

Dalam hubungan ini, bagi mengelakkan pelbagai masalah yang berkaitan dengan pengiktirafan Kursus Kelulusan Foundation Studies ini, sebagaimana pernah saya nasihatkan di masa-masa dulu adalah sekali lagi dinasihatkan supaya para ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak-anak ke luar negara akan dapat menghubungi pihak Urusetia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan bagi mendapatkan khidmat nasihat percuma berhubung dengan perkara ini, dan mana-mana jua perkara yang berkaitan dengan pengiktirafan kelulusan.

Saya penuh berharap melalui program induksi yang diadakan setiap tahun ini akan sedikit sebanyak dapat membantu Kementerian Pendidikan untuk memberikan penerangan dan kefahaman yang sejelas-jelasnya berhubung dengan peranan jabatan-jabatan di Kementerian Pendidikan, fungsi dan tugas seorang guru.

Guru-guru yang telah melalui proses induksi ini serba sedikit akan memasuki alam perguruan dengan lebih cukup bersedia serta mampu bersiap siaga menghadapi cabaran dan akan dapat, insya-Allah menangani pelbagai isu pendidikan dengan lebih bijaksana. Awang-awang dan dayang-dayang masih lagi muda dan tempoh masa awang-awang dan dayang-dayang untuk berkhidmat masih jauh di hadapan untuk memberikan perkhidmatan yang sebaik-baiknya kerana Allah dengan menekadkan tugas-tugas itu sebagai ibadat.

Awang-awang dan dayang-dayang tidak perlu khuatir dan waham, kerana selagi awang-awang dan dayang-dayang melaksanakan tugas dengan ikhlas kerana Allah, setiap pekerjaan akan sentiasa mendapat berkat rahmat dan keredaan Allah Subhanahu Wataala. Islam menyuruh umatnya bekerja keras, gigih, berkarih dalam segala pekerjaan. Setiap tugas yang diniatkan kerana Allah adalah ibadat sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud bahawa "Ilmu yang bemanfaat yang kita ajarkan itu akan menjadi bekal dan perhitungan di akhirat nanti." Tidak ada yang lebih bertepatan dengan sabda tersebut dari tugas sebagai guru yang awang-awang dan dayang-dayang, alhamdulillah ceburi sebagai pilihan yang terbaik, insya-Allah.

Akhir sekali dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala dan dengan mendahulukan kalimah agung 'Bismillahir Rahmanir Rahim', saya dengan sukacitanya merasmikan Program Induksi Guru-guru Baru Bagi Tahun 2004 ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education