B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong
di Majlis Penghargaan Sempena Sempurnanya Kongres ORL ASEAN Ke-10
di Hotel Orchid Garden pada 3 Mac 2003.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat, sahabat-sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir di majlis penghargaan sempena kejayaan kementerian ini menjadi tuan rumah bagi menganjurkan Kongres ORL ASEAN Kali Ke-10 baru-baru ini.

Saya sangat kagum setelah melihat secara terperinci akan mekanisme perancangan dan perjalanan kongres serta bengkel-bengkel ORL yang telah dapat disusun dengan baik dan diadakan melalui beberapa sesi taklimat daripada Pengerusi Bersama dan perjalanan semasa kongres serta bengkel berkenaan berlangsung.

Saya juga berpeluang mengikuti satu sesi taklimat berkenaan 'Sleep Medicine' yang amat menarik, yang membuka minda kitani akan perkara-perkara yang rutin yang kita lakukan setiap hari seperti tidur dan jaga kitani yang di sebaliknya mempunyai penjelasan-penjelasan saintifiknya yang tersendiri.

Dalam kesempatan ini, saya ingin pertama-tamanya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai-pegawai dan kakitangan selaku ahli-ahli jawatankuasa kerja yang terlibat dalam menjayakan kongres ini. Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang diraikan pada petang ini tidak dapat disangkalkan lagi adalah teras kepada kejayaan kongres ini.

Saya difahamkan ada di antaranya yang bekerja dari pagi hingga larut malam menunggu delegasi yang datang di lapangan terbang dan di hotel-hotel yang bertugas menyediakan persiapan kelengkapan dewan, menyediakan logistik kongres, misalnya, pemakanan, kenderaan dan sebagainya. Semuanya telah menunjukkan komitmen mereka dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada kedua-dua Pengerusi Bersama Kongres ORL iaitu Awang Haji Md. Mahdi yang mana di atas kepimpinannya, penyusunan logistik dan penyelenggaraan kongres telah berjalan dengan sempurnakan atas berkat sokongan Ketua-ketua Ahli Jawatankuasa Kerja.

Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada Dr. Zulkarnain bersama-sama 'team' nya, siapa yang telah berhasil mengumpulkan lebih daripada 70 orang pakar antarabangsa dan telah dapat membentangkan lebih dari 100 kertas kerja dalam program saintifik kongres, sembilan buah bengkel dan penerbitan 11 Forum ORL bersama pihak Radio Televisyen Brunei.

Kejayaan ini bolehlah dijadikan asas kepada 'confidence building' bagi kementerian ini dalam membuat sebarang kongres atau persidangan besar yang bertaraf antarabangsa pada masa-masa yang akan datang, yang mungkin boleh diadakan setiap dua atau tiga tahun sekali.

Kongres ini menggambarkan dengan jelasnya sikap 'teamwork' seluruh kakitangan dan pegawai di kementerian ini. Ia juga dengan jelas mencerminkan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh seluruh ahli jawatankuasa. 'Teamwork' dan kualiti perkhidmatan inilah yang telah dapat mengangkat nama kongres ini dan Kementerian Kesihatan khususnya di tempat yang kita semua banggakan.

Kita semua berbangga dengan pencapaian cemerlang ini. Kita sekarang sewajarnya bertanggungjawab memupuk dan memelihara sikap dan semangat ini sebagai bekalan untuk memikul tanggungjawab dan tugas yang lebih berat. Saya yakin semua akan dapat melaksanakannya.

Kongres ini saya difahamkan telah banyak menerima sanjungan daripada penceramah undangan dan juga dari delegasi-delegasi luar negara. Apa yang menarik ialah tentang ulasan bagaimana keprihatinan para 'Liaison Officer' (LO) kita yang terlibat - khususnya bagi para penceramah undangan, yang telah benar-benar menambat hati mereka sehingga diberikan cadangan bagi diadakan LO bagi penceramah-penceramah di dalam Kongres-kongres ASEAN ORL yang akan datang.

Ini adalah keprihatinan orang kita Melayu Brunei dan sikap prihatin yang kitani tunjukkan itu telah pun memberikan keyakinan bahawa Negara Brunei Darussalam yang kecil ini juga mampu menjayakan kongres antarabangsa yang besar seperti ini, yang disulami lagi dengan pemberian layanan asli Brunei yang istimewa.

Kita semua yakin bahawa kita semua boleh, dan dari pandangan-pandangan pakar-pakar antarabangsa luar negeri yang bertaraf antarabangsa, Kementerian Kesihatan juga boleh menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang ORL atau ENT.

Alhamdulillah, secara keseluruhannya kejayaan kongres ini adalah atas kerjasama yang erat dari biskita semua dalam kesemua Ahli Jawatankuasa Kerja. Saya ulangi lagi bahawa semangat 'teamwork' dan kekeluargaan ini haruslah dipupuk dan digalakkan di masa-masa yang akan datang.

Semoga usaha-usaha yang berkebajikan, bermanfaat dan pengorbanan dari masa dan tenaga dari setiap ahli-ahli jawatankuasa ini dan dari semua pihak yang terlibat akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah Subhanahu Wataala jua.

Di kesempatan ini, saya sukacita berseru kepada semua supaya komitmen biskita yang cemerlang seperti ini akan dapat kita senantiasa amalkan dalam kerja-kerja harian kitani dan dari masa ke semasa diperbiaki dalam usaha bagi sama-sama menjayakan inspirasi kementerian ini dalam memberikan khidmat yang cemerlang dalam bidang kesihatan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Saya sekali lagi berseru supaya abiskita akan terus meningkatkan komitmen kita dalam mencapai wawasan dan misi kementerian ini dan seterusnya berjaya dalam apa jua hasrat murni kita dalam apa juga program dan perancangan kita.

Akhirnya, saya juga ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Hijrah 1424 yang akan kita layari bermula sedikit masa lagi. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan memanjangkan umur kita semua dengan diberikan kesihatan dan limpah kurnia rezeki dan rahmat-Nya jua serta dijauhi daripada segala bala dan bencana.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Health