B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman
di Majlis Malam Lembaga Pengarah-Pengarah Minyak dan Gas di Kelab Polo, Jerudong
pada 19 April 2003.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-puji bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga serta para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia sehingga ke akhir zaman.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya jua, kita semua dapat berkumpul sekali lagi bersempena Majlis Malam Lembaga Pengarah-Pengarah Minyak dan Gas pada tahun ini. Seperti mana jua pada tahun-tahun lalu saya berharap majlis ini akan dapat memberikan kesempatan bagi kita semua untuk mengimbas kembali segala kecapaian yang telah diperolehi serta juga pengalaman pahit dan manis sepanjang tahun lalu.

Mudah-mudahan dengan adanya pengalaman kita itu akan memberi manfaat kepada kita semua dan digunakan supaya kita akan lebih berkesan dan produktif dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kita di tahun-tahun yang akan mendatang.

Di samping itu juga, setentunya kesempatan ini harus dapat meningkatkan lagi persahabatan dan kesefahaman yang sedia ada di antara kesemua peringkat dan pihak sama ada dalam syarikat-syarikat mahupun kerajaan.

Iklim ekonomi global yang tidak menentu masa kini akibat peperangan di Iraq telah mengakibatkan ketidakstabilan pertumbuhan ekonomi sejagat.

Keadaan ini bertambah buruk lagi dengan adanya jangkitan Wabak Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) dan kebimbangan sekuriti pengembaraan yang mana memberi kesan negatif kepada perniagaan amnya dan industri pelancongan khususnya.

Ekonomi Negara Brunei Darussalam tidaklah terkecuali daripada kesan global ini, bukan saja dari sudut sektor industri minyak dan gas tetapi juga kepada industri-industri yang bukan berasaskan sumber-sumber tersebut.

Bagi mengatasi kesan hambatan dari kelembapan ekonomi global ini dan seterusnya juga untuk melonjakkan pembangunan ekonomi negara ke arah yang lebih berdaya saing dan tahan dalam proses integrasi serantau mahupun proses globalisasi yang sedia berjalan lancar, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil langkah-langkah kukuh bertujuan untuk memberikan suntikan keghairahan baru kepada ekonomi negara terutamanya dengan melaksanakan projek-projek strategik oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Walau bagaimanapun, oleh sebab kita semua adalah dari kumpulan industri minyak dan gas, maka saya sukacita memberi fokus ucapan saya pada malam ini kepada langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam industri berkenaan, terutamanya mengenai dengan tawaran beberapa Kawasan Laut Dalam EEZ untuk dicari gali.

Konsep konsesi yang telah digunakan dari mula bertapaknya secara komersil industri minyak dan gas di negara ini memang telah memberikan sumbangan yang banyak kepada kemakmuran, kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi negara kita.

Kejayaan Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad dalam mengendalikan konsesi selama ini adalah atas hasil kesefahaman dan kerjasama oleh kesemua pihak pemegang saham dalam syarikat tersebut yang terdiri dari pihak kerajaan dan juga Syarikat Shell International.

Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa adanya komitmen padu dalam membuat keputusan yang seimbang yang mengambil kira akan aspirasi kerajaan khususnya dalam memberikan keutamaan kepada perkembangan sosiopolitik mahupun ekonomi negara dan juga matlamat Syarikat Shell International.

Hasil dari pendirian saling hormat-menghormati dan juga mengadakan perundingan secara 'transparent' oleh kedua-dua belah pihak ini telah dengan jayanya menimbulkan suasana kerjasama yang erat dan menjadikan syarikat tersebut sebagai sebuah syarikat 'model corporate citizen' yang bertanggungjawab. Adalah diharapkan kerjasama dan komitmen seperti ini akan diteruskan di masa-masa akan datang.

Walaupun konsep secara konsesi yang digunakan hampir 40 tahun yang lalu memang telah mendatangkan begitu banyak keuntungan kepada negara, namun di atas kepercayaan terhadap kemampuan anak-anak tempatan yang telah menceburi industri ini sekian lama dan keyakinan bahawa tatacara baru cari gali akan membawakan lebih banyak keuntungan dan kemanfaatan yang bermakna kepada rakyat dan penduduk negara ini di masa-masa akan datang serta juga dalam memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk negara mengambil alih tanggungjawab yang lebih ketara terhadap mentadbir aset-aset sumber minyak dan gas, maka Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membuat satu keputusan yang berani untuk menggunakan Konsep Pengeluaran Berkongsi (Production Sharing) bagi Kawasan-Lawasan Laut Dalam EEZ yang ditawarkan.

Ke arah ini, tugas dan tanggungjawab mentadbir aset-aset sumber minyak dan gas di kawasan baru Laut Dalam EEZ Negara Brunei Darussalam telah dipertanggungjawabkan kepada Syarikat Petroleum Kebangsaan Brunei Sendirian Berhad.

Semenjak tertubuhnya syarikat kebangsaan tersebut, PetroleumBRUNEI telah berjaya menumpukan perhatiannya khusus kepada perundingan bagi Blok J dan Blok K Kawasan Laut Dalam EEZ.

Alhamdulillah, seperti mana kita sedia maklum perundingan bagi Blok J telah mencapai penyelesaian dengan penandatanganan satu Perjanjian Pengeluaran Berkongsi (Production Sharing Agreement) pada awal bulan lalu di antara PetroleumBRUNEI dan Konsortium Blok J yang terdiri daripada Syarikat-syarikat TotalFinaElf, BHP Biliton dan Amerada Hess.

Penandatanganan ini adalah merupakan satu detik yang sangat bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam memandangkan ianya adalah perjanjian terulung yang ditandatangani oleh PetroleumBRUNEI dan juga adalah merupakan satu perjanjian cari gali yang bukan berkonsepkan konsesi.

Saya adalah difahamkan pula bahawa perundingan bagi Blok K Kawasan Laut Dalam adalah di peringkat terakhir dan saya amat berharap agar ianya akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Perjanjian Pengeluaran Blok J mengandungi komitmen-komitmen yang dipersetujui perlaksanaannya oleh pihak konsortium blok tersebut khususnya dalam memulakan dan melaksanakan kerja-kerja mencari gali secepat mungkin.

Di antaranya, pihak konsortium adalah komited kepada membuka peluang bagi pengambilan dan melatih anak-anak tempatan di dalam setiap fasa dan peringkat operasi.

Menerusi komitmen ini sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pekerja operasi itu nanti akan terdiri daripada rakyat dan penduduk negara ini dan jumlah ini akan terus dipertingkatkan lagi menurut kemampuan kita.

Di samping itu, pihak konsortium juga komited untuk memaksimakan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan dalam operasi-operasi mereka. Oleh yang demikian, adalah dijangkakan industri lain seperti industri layanan ataupun 'hospitality', pengangkutan dan perbankan juga akan turut memperolehi kemanfaatan dari peningkatan operasi-operasi petroleum itu nanti. Secara menyeluruh, apa yang nyata ialah kesan dari aktiviti-aktiviti di bawah Perjanjian Pengeluaran Berkongsi boleh mencetuskan peluang-peluang kerjaya mahupun perniagaan di negara kita ini.

Ekonomi global masa kini adalah ternyata saling bergantung di antara satu sama lain. Kesan dari fenomena 'global interdependency' ini telah mempengaruhi ekonomi negara-negara di dunia baik yang besar mahupun yang kecil. Oleh yang demikian adalah tidak dihairankan pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam turut terjejas akibat dari kelembapan ekonomi global.

Walaupun keadaan ini masih belum lagi dapat diduga pemulihannya yang ketara dalam jangka masa pendek dan sederhana, namun saya sukacita menegaskan bahawa pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah serius untuk menangani kesan berkenaan.

Saya percaya bahawa dengan adanya peningkatan aktiviti-aktiviti cari gali dan seterusnya insya-Allah pengeluaran dari blok-blok di Kawasan Laut Dalam EEZ ini nanti akan mempercepatkan lagi pertumbuhan di kesemua sektor ekonomi negara secara langsung atapun di sebaliknya.

Apa yang penting sekarang ini ialah perlunya kesemua pihak terus tabah mempertingkatkan keupayaan dan kebolehan masing-masing untuk siap sedia meraih peluang-peluang yang akan datang itu nanti.

Saya juga sukacita menyatakan di sini bahawa kesemua agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama serta juga syarikat-syarikat minyak dan gas di negara ini senantiasa bekerjasama dan bersedia menawarkan bantuan-bantuan dukungan yang diperlukan dalam meningkatkan keupayaan sektor swasta ke arah mempermudahkan lagi penyertaan mereka.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa majlis malam ini atas undangan dan penghormatan yang diberikan kepada saya dan isteri saya.

Marilah kita sama-sama bersepadu mengambil peluang di dalam pertemuan pada malam ini untuk memperbaharui semangat dan azam demi memajukan negara yang kita cintai dan membawa industri minyak dan gas negara ke tahap berdaya tahan, kompetitif dan berterusan, insya-Allah.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Industry and Primary Resources