B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain
di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Jurunikah Bagi Pegawai-pegawai Masjid Seluruh Negara
pada 9 Muharam 1425/1 Mac 2004
bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

SAYA mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Mulia Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid dan Jawatankuasa Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Kursus Jurunikah Bagi Pegawai-pegawai Masjid Seluruh Negara yang telah sudi menjemput saya hadir ke majlis ini.

Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid dan juga Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara kerana bekerjasama bagi mengendalikan Kursus Jurunikah yang sangat berfaedah dan bermanfaat ini khususnya kepada Pegawai-pegawai Masjid yang mengikuti kursus ini.

Adalah diharapkan supaya Pegawai-pegawai Masjid yang menjadi juru-jurunikah akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan akad nikah dan supaya Majlis Akad Nikah akan berjalan lebih baik dan lancar berdasarkan Hukum Syarak, Peraturan-peraturan dan Undang-undang Keluarga Islam Tahun 1999 dengan penuh amanah dan tanggungjawab sebagai jurunikah.

Lantikan sebagai jurunikah merupakan suatu amanah dan ia adalah suatu tanggungjawab yang berat, amanah dan tanggungjawab itu hendaklah ditunaikan dengan sempurna. Pastikan bahawa setiap akad nikah dilaksanakan oleh jurunikah menurut Hukum Syarak, peraturan dan undang-undang. Jika sekiranya berlaku sebarang keraguan, janganlah terburu-buru membuat keputusan sendiri, bahkan hendaklah dirujukkan kepada pihak yang berkenaan.

Peraturan, Undang-Undang dan Hukum Syarak jangan dilanggar, perlanggaran yang dilakukan oleh jurunikah boleh menyusahkan diri jurunikah itu sendiri dan boleh mendatangkan mudarat kepada pasangan yang berkahwin itu.

Sebelum sesuatu akad nikah dijalankan, jurunikah hendaklah menjalankan penyiasatan dengan rapi, termasuklah memastikan siapakah wali yang sah bagi pengantin perempuan. Dan borang-borang yang berkenaan hendaklah diisikan dengan sempurna terlebih dahulu, umpamanya jika Majlis Akad Nikah dijadualkan akan berlangsung jam 2.30 petang, maka pastikan bahawa borang-borang itu sudah diisikan dengan sempurnanya sebelum jam 2.30 petang itu. Maka Majlis Akad Nikah akan berjalan dengan lancar menurut yang dijadualkan.

Saya ulangi bahawa persediaan-persediaan sebelum akad nikah seperti mengisi borang, mengambil wakalah dan izin mauliah perlu disiapkan dan diselesaikan lebih awal. Kerja-kerja mengisi borang, mengambil wakalah dan izin mauliah itu hendaklah diselesaikan lebih awal, bukan semasa hendak menjalankan Majlis Akad Nikah barulah bergagas-gagas hendak mengisi borang dan mendapatkan izin mauliah dan sebagainya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk bercakap mengenai dengan penggunaan tenaga elektrik di masjid-masjid. Saya berharap Pegawai-pegawai Masjid kesemuanya akan mengambil perhatian yang berat terhadap penggunaan tenaga elektrik di masjid-masjid, kita hendaklah bijak menggunakan, kita hendaklah berjimat menggunakan tenaga elektrik itu.

Penggunaan lampu sebagai misal eloklah diikuti garis pandu yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, bila masanya lampu patut dimarakkan, bila masanya lampu patut dipadamkan. Begitu juga penggunaan alat penghawa dingin, bisaitah ditentukan, ikutlah garis pandu, bila masanya alat penghawa dingin itu dihidupkan 'switch on', dan bila masanya ia dimatikan 'switch off', janganlah sampai ada orang berkata bahawa masjid itu menggunakan alat penghawa dingin 24 jam terus-menerus.

Sebagai misal waktu sembahyang Subuh, biasanya udara waktu Subuh itu sejuk mungkin tidak mustahak aircondition dihidupkan 'switch on', kalau udara sejuk, aircon diswitch on juga, maka jemaah akan terpaksa memakai baju luar 'baju coat' ini adalah menyusahkan akan membazir.

Begitu juga masalah lampu cucul, bercucullah pada waktu-waktu dan ketika-ketika yang bersesuaian, umpamanya sempena menyambut Hari Keputeraan, menyambut Hari Kebangsaan, menyambut hari-hari kebesaran Islam. Janganlah dibiarkan lampu cucul itu marak sehingga Subuh, eloklah dipadamkan pada jam-jam yang tertentu. Ini adalah menjadi tanggungjawab Pegawai-pegawai Masjid, pastikan bahawa lampu cucul itu dipadamkan pada waktu yang sesuai, memang ia menjadi 'kerja' kepada pegawai-pegawai dan kakitangan masjid berulang-alik ke masjid, kita terpaksa 'ngalih' sedikit supaya jangan berlaku pembaziran.

Kita mempunyai 103 buah masjid, kita menggunakan tenaga elektrik, kita banyak menggunakan tenaga elektrik itu dan tenaga elektrik yang dipakai berkehendakkan bayaran. Bangunan masjid dibina oleh kerajaan, maka masjid adalah bangunan kerajaan, bangunan-bangunan kerajaan dikenakan bayaran penggunaan tenaga elektrik, maka masjid tidaklah terkecuali. Maka kita mesti berjimat dalam menggunakan tenaga elektrik dan kita hendaklah bijaksana, kita mestilah mengelakkan pembaziaran.

Akhirnya dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya mengikuti kursus ini dan tahniah sekali lagi kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid kerana sentiasa mengambil berat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai-pegawai serta terima kasih kepada mereka yang membimbing dan memberikan ceramah dalam kursus tersebut. Semoga Allah sentiasa memberi hidayah dan taufiq kepada kita dan kita mendapat keredaan Allah. Amin.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Religious Affairs