B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2005.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya membolehkan kita memasuki Tahun Baru Masihi 2005 dengan aman dan sejahtera.

Bagaimanapun kita amatlah bersimpati terhadap beberapa negara jiran dan negara sahabat yang telah mengalami malapetaka 'Tsunami' yang telah mengorbankan ramai jiwa serta memusnahkan sekian banyak harta benda yang berlaku hanya dengan sekelip mata sahaja. Beta, bagi pihak kerajaan, rakyat dan penduduk negara ini dengan perasaan tulus ikhlas mengucapkan takziah serta perasaan simpati yang amat mendalam, khasnya kepada negara-negara jiran: Malaysia, Republik Indonesia dan Thailand serta juga tidak lupa negara sahabat lain yang turut ditimpa malapetaka tersebut.

Nikmat keamanan yang kita kecapi adalah berpunca daripada usaha-usaha kerajaan menangani keselamatan negara.

Namun keamanan saja belumlah memadai tanpa pembangunan yang dapat dinikmati oleh rakyat. Oleh kerana itu, kita perlulah menjana kedua-duanya sekali; keamanan dan pembangunan itu.

Menyebut tentang pembangunan, beta inginlah menekankan di sini betapa mustahaknya proses pengembangan sektor swasta negara.

Negara tidaklah akan dapat maju dengan cepat dan sempurna tanpa sektor swasta yang teguh dan dinamik.

Oleh kerana itu, beta sangatlah berharap supaya setiap agensi kerajaan akan dapat menyokong sektor swasta serta memberinya prioriti besar, khususnya bagi penubuhan dan pengendalian perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki oleh rakyat jelata.

Perkara ini mestilah diungkayahkan dengan semangat kenegaraan yang tinggi, sebagai satu proses ke arah layanan kerajaan yang transparent lagi munasabah.

Sebarang tindakan yang boleh membantutkan perkembangan peniaga-peniaga serta yang menyalahi undang-undang seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah dan seumpamanya, mestilah dihindari.

Semua lapisan pada umumnya perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan penyakit ini tidak wujud dan jika ia wujud, hendaklah cepat-cepat diatasi.

Di bidang perhubungan antarabangsa pula, pada tahun lalu, beta telah mengadakan lawatan rasmi ke beberapa buah negara, di dalam dan juga luar rantau kita ini.

Tujuan lawatan-lawatan tersebut selain untuk mengeratkan hubungan dua hala, juga ialah untuk membolehkan kita meningkatkan lagi usaha-usaha sama dengan negara-negara sahabat yang berkenaan - sehingga dengannya - memungkinkan kita untuk memperolehi banyak manfaat.

Demikian pula dialog dan perundingan pelbagai hala dapat kita teruskan melalui keahlian negara di dalam ASEAN, APEC, ASEM dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang lain.

Penglibatan kita di dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan itu adalah perlu, sebagai kayu ukur, bahawa negara kita juga tidaklah tercicir atau ketinggalan dari mengikuti perkembangan-perkembangan semasa dunia, baik di segi politik, ekonomi dan keselamatan.

Beta berharap, dengan menjelangnya Tahun Baru Masihi 2005, kita akan semakin perkasa dan matang. Slogan patriotisme janganlah ia tinggal slogan semata-mata, tetapi hendaklah dijelmakan ke dalam sikap dan perbuatan kita.

Tuntutan-tuntuan keadaan sangat jelas, bahawa kita ini memang wajar memiliki sifat-sifat perkasa dan matang.

Orang yang perkasa sering dilihat sebagai orang yang matang juga. Oleh itu, untuk menjadi bangsa yang berjaya, kita mestilah memiliki kedua-dua sifat ini. Ia akan mendorong kita untuk bangun dan membina diri.

Akhirnya, beta ingin mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang telah memberikan sokongan dan kerjasama mereka kepada kerajaan beta.

Kepada semua peringkat di dalam perkhidmatan awam kerajaan, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, beta tidak lupa merakamkan penghargaan di atas usaha-usaha ikhlas mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Dengan hati yang ikhlas, beta dan keluarga beta juga sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2005 kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.

Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga kita dan negara kita Brunei Darussalam akan sentiasa dipelihara dan dikurniakan kesejahteraan oleh-Nya. Amin.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman