B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena tahun baru Masihi 2004.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk menempuh tahun baru Masihi 2004 dalam suasana aman dan sejahtera.

Keamanan dan kesejahteraan adalah dua perkara yang paling mustahak dalam memastikan agenda pembangunan negara berjalan dengan sempurna.

Dalam tempoh dua belas bulan yang baru kita lalui, beta telah meninjau dengan lebih dekat akan keadaan di beberapa agensi kerajaan beta di semua daerah di negara ini.

Dari pengamatan beta, tahap kualiti perkhidmatan di beberapa agensi kerajaan yang berkaitan adalah masih perlu ditingkatkan. Malah ianya mestilah dijadikan perkara utama.

Mengapakah beta katakan demikian? Kerana perkhidmatan yang berkualiti tinggi itulah saja yang boleh memuaskan hati orang ramai selaku pelanggan. Ia juga merupakan antara kriteria utama bagi menentukan kejayaan serta kecemerlangan sesebuah agensi atau organisasi itu.

Ke arah peningkatan ini, tentu sajalah memerlukan dedikasi, disiplin dan komitmen tinggi semua anggota Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Beta berharap, apa yang beta sebutkan ini akan mendapat perhatian daripada semua pihak.

Sambil kita menikmati perkhidmatan yang baik di dalam suasana aman dan sejahtera ini, maka kita juga mustahak meningkatkan kewaspadaan terhadap apa saja unsur yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan itu.

Di antara yang patut membuka mata kita ialah kejadian-kejadian jenayah berat yang juga sudah berlaku di negara ini. Ia tidak syak lagi turut membawa mesej buruk untuk keamanan. Betapa tidak, bukankah dengan kehadirannya itu, menjadikan orang ramai merasa cemas dan takut atau tidak aman?

Di tambah lagi, bila menyingkap jendela dunia, kita akan dpat menonton kejadian-kejadian kemusnahan yang telah diciptakan oleh tangan-tangan kejam yang tidak berperikemanusiaan. Ini semua, menjadi peringatan dan amaran kepada kita supaya tidak memandang ringan keamanan dan keselamatan dalam negara.

Beta percaya, orang ramai akan turut komited dengan kerajaan pada menjaga keamanan dan keselamatan, terutama dalam menangani ancaman-ancaman sosial yang beraneka ragam.

Di antara ancaman-ancaman sosial itu ialah menyangkut perkara-perkara jenayah, penyalahgunaan dadah serta pelanggaran terhadap undang-undang dan ugama. Semunya ini menjadi punca penyakit di dalam masyarakat, di mana pada akhirnya, ia boleh menyebabkan keamanan dan ketenteraman binasa.

Dalam hubungan serantau dan antarabangsa pula, tahun 2003 telah menyaksikan banyak kejadian yang bersifat mewarnai landskap sosiopolitik dan ekonomi global, tidak terkecuali juga perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Peranan pertubuhan-pertubuhan ini, ada ketikanya dipersoalkan dengan pelbagai pendekatan. Namun Negara Brunei Darussalam tetap menaruh harapan dan keyakinan kepada PBB sebagai forum antarabangsa yang kewujudannya sangat-sangat diperlukan untuk melindungi hak dan kepentingan negara-negara anggota, terutama negara-negara sedang membangun.

Usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan dan mencegah keganasan hendaklah diteruskan, sama ada ia di peringkat antarabangsa mahupun serantau.

Di sesi ekonomi dunia pula, kerjasama melalui pertubuhan serantau seperti ASEAN, APEC dan ASEM akan diteruskan, demi ke arah mengukuhkan lagi Sistem Perdagangan Berbagai Hala dunia.

Di dalam peranannya sebagai ahli Pertubuhan Perdagangan Sedunia, negara kita juga sedang meneruskan usaha untuk menjayakan pusingan perundingan perdagangan yang baru.

Apa pun jua halnya penglibatan kita dengan isu-isu serantau dan antarabangsa, namun usaha-usaha dalaman tetaplah lebih digiatkan lagi bagi memenuhi keperluan dan kepentingan negara.

Sehubungan itu, semua pihak, dari sektor awam sampai kepada sektor swasta, bahkan juga orang ramai, hendaklah sama-sama berganding bahu menjana kemajuan dan pembangunan negara.

Sumbangan rakyat dan penduduk ke arah ini, boleh mendatangkan nilai-tambah kepada perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Buat mengakhirinya, beta ingin merakamkan penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, termasuk pasukan-pasukan keselamatan, dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha mereka yang ikhlas di dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing.

Beta serta keluarga beta, dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2004 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan terus melimpahkan rahmat, taufik dan hidayah-Nya serta mengurniakan perlindungan-Nya kepada kita sekalian, dengan negara kita pula berada dalam selamat, tenteram dan bahagia.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman