B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena menyambut Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-20
1 Muharam 1425/22 Februari 2004.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dalam suasana aman, tenteram dan sejahtera.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah begitu bermakna kerana ia merupakan genapnya Negara Brunei Darussalam mencapai 20 tahun kemerdekaan.

Dalam masa dua dekad itu, negara kita telah berjaya mencatat pelbagai perkembangan dan kemajuan di pelbagai bidang.

Dalam waktu yang sama kita juga berhadapan dengan cabaran serta turut menyaksikan pelbagai krisis yang berunsur geopolitik, ekonomi dan keselamatan serantau mahupun antarabangsa. Kesemua pengalaman ini menjadikan negara dan rakyat bertambah-tambah matang.

Kita juga berhasil meletakkan negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain, sambil tidak ketinggalan turut memelihara keamanan dan kestabilan serantau mahupun antarabangsa.

Kita adalah negara yang sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa. Kerana itu, untuk selama-lamanya kita tidaklah pernah bersetuju dengan sebarang tindakan yang tidak adil, yang berbau penindasan atau keganasan oleh sesiapa juga.

Sikap dan peranan kita ini amatlah dihormati serta diiktiraf sebagai adil dan bertanggungjawab oleh semua pihak.

Peranan kita terhadap keamanan sejagat, dicerminkan oleh suasana dalam negara sendiri, di mana dengan kurnia Allah, kita sentiasa berada dalam aman dan rakyat pula hidup bahagia serta harmoni, tiada perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri.

Inilah dia Negara Brunei Darussalam.

Jika ada yang melihat Negara Brunei Darussalam itu lain daripada ini, maka kita persilakan mereka supaya melihat lagi. Maklum sajalah negara kita ini kecil dan mungkin saja ia masih tersorok bagi setengah pihak, di mana kerana itu kita tidaklah hairan jika masih ada lagi perkara yang belum sampai ke pengetahuan mereka.

Kepada rakyat beta, apa pun orang lain menganggapnya namun yang penting ialah realiti, bahawa kita ini adalah bangsa yang merdeka, memerlukan agenda-agenda pembangunan bagi kelangsungan yang tidak terbatas.

Kita masih banyak tugas untuk diteruskan. Dua dekad cumalah satu langkah ke hadapan, di mana masa kita terlalu panjang dan ruang pula terlampau luas untuk diteroka.

Marilah kita sama-sama menempuhnya demi anak emas kemerdekaan yang kita tatang ini. Kita isi ia dengan pembangunan sempurna, dengan komitmen dan patriotisme luhur, bukan dengan slogan-slogan kosong yang kurang bermakna.

Biarpun kita ini berada dalam era globalisasi, namun jati diri tidak akan kita abaikan sama sekali. Kita akan tetap tegak dan berdiri di atas kaki sendiri.

Kita akan terus memupuk nilai-nilai warisan yang baik, sambil itu tidak pula keberatan untuk menerima sebarang budaya yang membina, bukan yang merosak.

Jika sesuatu nilai itu bercanggah dengan ugama dan adat resam kita, maka ia sangatlah tidak baik bagi kita, lalu hendaklah ia disekat. Kerana jika tidak, ia akan meracuni kita.

Inilah tugas semua individu yang bernama bangsa Brunei Darussalam. Dan di sinilah nilai patriotisme itu, bukan hanya untuk diungkapkan, malahan lebih penting menterjemahkan ke dalam tindak-tanduk kita yang diredai oleh Allah, demi untuk keamanan, kesejahteraan dan keselamatan semua. Sebarang tindakan atau perbuatan yang menyalahi konsep mentaati Allah, adalah itu tidak patriotik namanya, kerana ia mengundang kepada kecelakaan.

Inilah tanggungjawab besar kita, jika benar kita sayangkan negara dan kemederkaannya. Kita perlu ingat, bahawa negara dengan kemerdekaan itu bukanlah hadiah siapa-siapa, tetapi adalah kurnia daripada Allah.

Oleh itu, dalam usaha kita membangunkan negara dan memelihara kemerdekaan tersebut, maka kita perlulah melihat kedua-duanya itu selaku milik Allah pula.

Dengan ini insya-Allah, kita akan menjadi bangsa yang mulia dengan negara beroleh kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan.

Apakah yang lebih hebat daripada ini?

Semua warga dunia mencari-cari keamanan, di mana kita di sini telah pun memilikinya. Semua warga dunia menginginkan kemakmuran, di mana kita di sini - alhamdulillah - telah pun menikmatinya. Semua warga dunia tidak mahu sengsara disebabkan oleh pergolakan-pergolakan atau keadaan-keadaan yang tidak stabil, di mana kita di sini - alhamdulillah - adalah bebas daripadanya.

Inilah nikmat Tuhan kepada kita, berkat kebolehan kita menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab kita terhadap rakyat dan negara dengan jujur, adil dan saksama.

Di bidang perancangan untuk kemajuan dan kemakmuran negara, kita telah pun melaksanakan rancangan kemajuan jangka panjang yang bermula dengan Rancangan Kemajuan Negara Ke-5 dalam tahun 1986 dan akan berakhir dengan Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 pada tahun hadapan.

Rancangan-rancangan ini tidak syak lagi banyak membawa kepada kemajuan dan perubahan bagi negara. Ia turut menghidangkan cabaran untuk masa depan ke arah kemajuan yang lebih kompetitif, di mana berikutnya, kita perlulah mengekalkan matlamat pembangunan kita yang lebih strategik.

Di samping itu, kita masih berkewajipan untuk mempertingkatkan infrastruktur fizikal, rancangan kemajuan jangka panjang selepas tahun 2005. Ia adalah termasuk sebagai hala tuju bentuk wawasan negara.

Bagi tujuan ini, insya-Allah, beta dalam sedikit masa lagi akan menubuhkan sebuah badan petugas bagi mengemaskinikan lagi wawasan negara. Dan sehubungan ini juga, sebuah badan lagi, badan perencana kemajuan jangka panjang akan ditubuhkan yang diketuai di peringkat menteri dengan peranannya untuk menyediakan rangka kerja dan perancangan kemajuan bagi jangka waktu 30 tahun yang akan bermula pada tahun kewangan 2006 untuk pertimbangan kerajaan beta.

Dalam langkah ini beta percaya, semua lapisan masyarakat di negara ini akan sama-sama komited, di mana sebagai 'stakeholders' mereka juga perlu terlibat.

Bagi mendapatkan kesan yang memuaskan dalam pertumbuhan ekonomi negara, ianya adalah turut bergantung kepada jentera pentadbiran dan pengurusan. Ia perlulah lebih efisien dan proaktif atau mungkin juga memerlukan perubahan-perubahan sistem pengurusan dan pembuatan keputusan dalam kerajaan.

Apa pun jua, secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa negara memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran dan mempunyai nilai tambah. Dan ini, hanya boleh dicapai dengan memiliki sistem pendidikan yang sentiasa menyediakan dasar dan kurikulum pendidikan yang relevan kepada pasaran pekerjaan dan keperluan negara, terutamanya di peringkat pendidikan tinggi dan vokasional.

Inilah dia yang paling atas patut menjadi azam kita dalam menyambut dan merayakan Ulang Tahun Ke-20 Hari Kebangsaan kita. Kita membangun negara, membina diri dan mengisi kemerdekaan dengan ketaatan kepada Allah serta dengan patriotisme dan ilmu.

Untuk akhirnya, beta ingin mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beta kasihi, termasuklah semua peringkat ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta.

Demikian juga ucapan terima kasih yang sama kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-20 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Semoga komitmen kita semua diberkati oleh Allah.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman