B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Mudaa Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah
di Majlis Pertandingan Membaca al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1424 Hijrah/ 2003 Masihi
di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas
pada hari Isnin 6 Jamadilakhir 1424H/4 Ogos, 2003M.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya kita berkesempatan untuk berkumpul beramai-ramai pada malam yang mulia ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, serta kepada para sahabat, kaum keluarga dan pengikut-pengikut Baginda hingga ke akhir zaman.

Membaca Al-Quran adalah suatu perbuatan yang baik, orang yang membaca Al-Quran bererti ia berusaha untuk tidak membiarkan hatinya kosong daripada Al-Quran.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah mengingatkan di dalam hadis Baginda yang bermaksud: "Bahawa barangsiapa yang tidak ada sebahagian pun Al-Quran di dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggalkan kosong."

Rumah yang kosong, terbiar dan tidak dipelihara akan mudah menjadi lapuk, dimakan anai-anai dan akhirnya akan roboh tidak dapat digunakan lagi.

Begitulah keadaan hati, jika dibiarkan kosong, ia akan menerima nasib yang sama, kerana hati itu akan selalu cenderung kepada kelalaian dan akhirnya membawa ke jalan yang sesat dan kerosakan.

Kita berkewajipan memelihara hati, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memberitahu kepada kita melalui sebuah hadis Baginda yang bermaksud:

"Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada sekerat daging, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya."

Di antara cara memelihara hati itu ialah dengan cara membaca Al-Quran dan mengamalkan perkara-perkara yang difardukan kepada kita.

Di samping itu, kita digalakkan supaya membanyakkan amalan-amalan yang sunat, ini dapat menjauhkan hati itu dari berkarat, bertagar dan rosak. Dan kita hendaklah menjauhkan diri daripada larangan Allah.

Kita perlu mempunyai hati yang baik supaya kita sentiasa membuat kebaikan dan dapat menyumbang kepada tamadun, keamanan dan kemakmuran. Janganlah turut merosakkan bumi Allah dan janganlah kita turut merosakkan ketenteraman hidup di dunia ini.

Islam melarang kita berbuat kerosakan, Al-Quran mengajar manusia supaya hidup berbaik-baik, menyuruh tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menyebarkan pengajaran supaya kita menghormati jiran, tanpa memilih kepercayaan jiran itu. Yang penting setiap jiran dihormati, baik jiran sekampung, jiran semukim, jiran senegeri, jiran serantau dan jiran sejagat.

Inilah ajaran Islam, hidup berbaik-baik dengan jiran, apa lagi pada zaman yang sudah terlalu dekat antara satu dengan yang lain, zaman dunia tanpa sempadan, maka marilah kita menyucikan hati kita, banyak membaca Al-Quran, supaya kita dapat sama-sama memanfaatkan era globalisasi, era IT sekarang ini, untuk kebaikan manusia seluruhnya, sama-sama menikmati hidup dalam suasana aman tenteram dan makmur secara harmoni.

Akhirnya dengan mendahulukan lafaz 'Bismillahir Rahmanir Rahim' dan selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan amat sukacitanya merasmikan Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1424 Hijrah/2003 Masihi.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman