B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa
semasa perjumpaan bersama Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, timbalan-timbalan ketua jabatan serta pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
di Bilik Mesyuarat Dewan Serbaguna, Jabatan Perkhidmatn Bomba Berakas
pada 29 Januari, 2004.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi

TERLEBIH dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Dato-dato, ketua-ketua jabatan, timbalan-timbalan ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di perjumpaan kita yang pertama bagi tahun 2004 pada pagi ini.

Saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Selamat Tahun Baru Masihi 2004' walaupun ianya telah berlalu beberapa minggu yang lalu.

Yang sebenarnya, perjumpaan seperti ini telah pun dirancangkan lebih awal akan tetapi memandangkan kepada sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, maka alhamdulillah perjumpaan ini hanya dapat diadakan pada petang ini.

Tujuan perjumpaan pagi ini sebagaimana lazimnya adalah untuk kita bermuzakarah sambil berbincang, bertukar-tukar fikiran dan mencurahkan pendapat, ke arah memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan dan perancangan kementerian.

Dalam pada itu, kita juga bersama-sama berusaha untuk mengambil perhatian yang berat dan tindakan yang sewajar, terhadap apa jua permasalahan atau perkara-perkara yang menjadi sungutan dan aduan orang ramai yang mana memang ada yang bersangkut-paut dengan bidang tugas kementerian ini atau jabatan-jabatan di bawah kementerian ini, demi menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Perkara ini telah mendapat perhatian khas di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Tahun Baru Masihi 2004, di mana baginda telah menekankan mengenai kualiti perkhidmatan yang perlu dipertingkatkan dan diutamakan ke arah memenuhi harapan orang ramai selaku pelanggan.

Sehubungan dengan itu, saya menghendaki Setiausaha-setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan dengan kerjasama timbalan-timbalan ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan untuk mengambil perhatian berat dan serius tentang isi kandungan titah baginda tersebut.

Setiap lapisan pengurusan di kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawah kementerian ini haruslah sentiasa bersungguh-sungguh, komited dan meneliti serta menyelidiki tatacara-tatacara pembaikan dan pembaharuan dengan menggunakan kaedah-kaedah pengurusan yang sistematik yang dapat menjurus ke arah meningkatkan perkhidmatan yang lebih efisien, efektif, cemerlang dan memuaskan hati pelanggan atau orang ramai.

Saya ingin menyentuh kepada beberapa perkara yang sepatutnya diambil perhatian berat oleh ketua-ketua jabatan dalam mengesahkan lagi pembaikan dan mutu perkhidmatan di jabatan masing-masing dan usaha untuk memuaskan hati pelanggan.

Pertama sekali, saya menghendaki konsep Tekad Pemedulian Orang Ramai yakni TPOR bukan sahaja dijadikan sebagai pameran dan janji tetapi hendaklah dipraktikkan bagi memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi serta kepuasan kepada pelanggan. Di samping itu ianya perlulah di'review' dan diteliti dari masa ke semasa sesuai dengan kehendak kemajuan dan keadaan semasa dan keperluan pelanggan.

Perkara kedua adalah penilaian dan pengkajian semula ke atas struktur organisasi dan bidang tugas termasuklah bidang tugas pegawai-pegawai dan rancangan pembaharuan di jabatan masing-masing yang boleh membantutkan kemajuan jabatan dan membebankan perbelanjaan kerajaan tahap menghasilkan kesan yang positif.

Mana-mana kerja yang duplikasi yang bertindih-tindih di antara satu pegawai dengan pegawai yang lain dan di antara satu jabatan dengan jabatan yang lain hendaklah diperbaiki dan dikemaskini serta dirundingkan jika perlu dan bersesuaian.

Pegawai-pegawai baru hendaklah tidak segan menyuarakan pendapat mereka terhadap sistem dan suasana kerja kerana kemungkinan mereka inilah yang lebih cepat melihat isu-isu kecekapan dan keberkesanan dengan 'mata baru'. Seterusnya, pegawai-pegawai kanan hendaklah sedia dan peka terhadap cadangan pegawai-pegawai bawahan yang baru dan jangan sahaja tidak mendengarkannya di atas alasan yang mereka adalah 'orang baru' yang kurang tahu akan sistem kerja masing-masing.

Oleh yang demikian, Kumpulan-kumpulan Tindakan (Action Team) yang diketuai oleh ketua jabatan atau timbalan ketua jabatan dan Kumpulan Kerja Cemerlang perlulah digerakkan semula secara serius dan berterusan di peringkat kementerian dan jabatan-jabatan.

Seterusnya, rukun akhlak dan etika kerja yang murni seperti yang termaktub di dalam Rukun Akhlak dan Etika Kerja Perkhidmatan Awam iaitu jujur, amanah, bersopan santun, pemedulian, efisien, berilmu, kreatif, inovatif dan yang lain-lain hendaklah sentiasa diserapkan di kalangan semua peringkat pegawai dan kakitangan.

Adalah diharapkan pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jagaan masing-masing mengikut peraturan-peraturan bekerja dan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai dan kakitangan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan termasuklah penyelewengan kewangan.

Kita sering mendengar mengenai pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang sentiasa tidak berada di kaunter semasa pelanggan-pelanggan menghendaki perkhidmatan. Ini sudah setentunya menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai yang memerlukan perkhidmatan terutama sekali jabatan-jabatan yang berunsurkan 'service oriented'.

Oleh itu bagi jabatan-jabatan yang sentiasa berdampingan dan memberikan perkhidmatan kepada orang ramai ianya adalah penting sekali untuk sentiasa melayani pelanggan-pelanggan dengan bersopan santun, pemedulian dan memberikan penjelasan atau penerangan kepada orang ramai jika mereka bertanyakan sesuatu atau menghendaki penjelasan.

Jabatan-jabatan yang berperanan untuk menguatkuasakan bidang tugas dan tanggungjawab di bawah undang-undang dan peraturan yang ada pada mereka iaitu Jabatan-jabatan Daerah, Jabatan-jabatan Bandaran, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Buruh hendaklah perlu lebih proaktif dan tegas dalam melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan mereka.

Mereka juga hendaklah lebih 'vigilant' terhadap pelanggaran undang-undang dan peraturan dan lebih kerap mengadakan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat di bawah penguasaan dari masa ke semasa.

Begitulah juga soal 'vigilance' terhadap pemantauan dalaman ke atas peraturan, garis pandu dan prosedur kerja yang telah ditetapkan. Ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan hendaklah sentiasa memantau dan memastikan pegawai-pegawai bawahan sama ada memproses permohonan atau membuat kerja-kerja yang ditugaskan, dipastikan melaksanakan kerja mereka mengikut prosedur dan peraturan-peraturan yang telah ditentukan.

Penyelewengan dan ketidakpatuhan mengikuti tatacara yang telah ditentukan bukan sahaja boleh menjejaskan kesempurnaan sesuatu pekerjaan tetapi tentu juga akan menggugat keselamatan, imej dan integriti jabatan yang gagal melaksanakan tugasnya dengan sempurna mengikut tatacara yang ada.

Di dalam memikirkan isu-isu pemantauan dalaman, ini termasuklah juga pegawai-pegawai luar di mana, harus dipastikan sama ada mereka ini benar-benar menjalankan tugas-tugas dan memenuhi keperluan-keperluan orang ramai. Pemantauan ke atas keselamatan dan kesempurnaan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk kegunaan orang ramai seperti jambatan dan jalan raya, harus sentiasa dijalankan dan tindakan pembersihan dan membaiki kerosakan hendaklah disegerakan bagi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.

Akhir sekali, saya ingin melihat kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya akan lebih bergerak aktif dan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan yang lebih berkualiti, efisien, proaktif, akauntable dan mengamalkan sikap bekerjasama dan 'team work' demi untuk mengekalkan keselamatan, keamanan, keharmonian, perpaduan serta meningkatkan kemajuan Negara Brunei Darussalam.

Sekian terima kasih. Saya akan menyerahkan kepada Yang Mulia Dato Paduka Haji Adanan untuk meneruskan permesyuaratan.

Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Home Affairs