B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Paduka Haji Awang Adanan di Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Di Kalangan Pegawai-pegawai Kanan Division II Ke Atas Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari Sabtu, 27 Zulkaedah 1425/8 Januari 2005 bertempat di Jerudong Park Polo Club.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Anbiyahiwal Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een.

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang baru sahaja menjadi warga keluarga kita dalam KHEDN. Saya percaya dan penuh berkeyakinan Dato akan bersama kita semua dalam membimbing dan sama-sama menerajui kementerian ini ke arah yang lebih cemerlang dan akan menjadi satu 'team' yang akan lebih mantap, progresif, produktif dan dinamik.

Tujuan utama Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Di Kalangan Pegawai-pegawai Kanan Division II Ke Atas yang julung-julung kalinya diadakan ini adalah dihasratkan untuk bercambah fikiran dan mengalu-alukan sebarang pendapat, pandangan dan cadangan sama ada secara khusus dengan jabatan masing-masing mahupun yang melibatkan KHEDN secara keseluruhannya dan apa jua perkara, isu atau masalah yang berkaitan. Di samping itu juga kita bersama-sama berkongsi maklumat, pengetahuan dan pengalaman di antara kita semua. Pegawai-pegawai muda yang baru berkhidmat atau yang telah berkhidmat beberapa tahun janganlah berasa 'inferior' atau berasa segan untuk tampil memberikan pandangan malahan biskita, saya persaya mempunyai idea-idea bernas yang berbentuk inovasi, kreativiti dan yang berpandangan jauh ke hadapan apatah lagi akan bakal pewaris pemimpin akan datang. Dengan cara sedemikian ini sudah setentunya kita dapat memperbaiki apa jua kekurangan, kelemahan berkaitan dengan perkhidmatan atau pekerjaan kita, apatah lagi melibatkan jabatan dan kementerian dalam bersama-sama menuju ke arah pembaikan, kemajuan serta kecemerlangan. Di samping itu juga dihasratkan bagi mengeratkukuhkan lagi persefahaman, 'team work' yang lebih padu, perpaduan di kalangan pegawai-pegawai kanan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawah kementerian ini khususnya dan di kalangan semua peringkat warga kementerian ini umumnya.

Walaupun beberapa hari berlalu dan surat perutusan tahun baru 2005 telah pun saya keluarkan, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas apa jua sumbangan, pengorbanan, khidmat bakti, sokongan yang padu dan kerjasama yang erat yang telah biskita hulurkan sepanjang tahun 2004 yang lalu. Semoga sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan akan mendapat keberkatan dan dikurniakan ganjaran pahala yang sebaik-baiknya lagi diredai oleh Allah Subhanahu Wataala, di samping kita berbakti semata-mata demi kepentingan bangsa, agama dan Negara Brunei Darussalam yang dicintai.

Sempena tahun baru 2005 ini marilah kita bersama-sama membaharui tekad dan keazaman untuk sentiasa berusaha meningkatkan mutu prestasi, lebih komited, produktif, inovatif, berdaya saing dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, di samping mengamalkan budaya dan etika kerja yang murni seperti bersisih, jujur, amanah, bersopan santun, bekerjasama lagi pemedulian, bekerja secara berpasukan serta penuh bertanggungjawab.

Saya ingin juga mengingatkan kepada semua pegawai-pegawai kanan betapa pentingnya untuk mengubah sikap dan minda secara positif dan janganlah berasa berpuas hati atau 'complacement' apa yang telah dicapai pada tahun lepas tetapi semestinyalah berusaha untuk memperbaiki malahan meningkatkannya ke tahap yang lebih baik. Kita semua sahajalah yang harus menunjukkan contoh teladan untuk mengubah minda atau sikap ke arah pembaikan dalam membawa pegawai-pegawai di bawah jagaan kita dalam bersama-sama bergerak dan maju ke hadapan demi untuk memajukan jabatan masing-masing.

Dalam melangkah tahun 2005 ini, kita seharusnya juga menoleh ke belakang pada tahun sebelumnya dengan menjayakan diri sendiri adakah objektif, misi dan strategi jabatan? Sebagai sebuah jabatan yang mengamalkan 'team work', adakah sumbangan atau 'contribution' sebagai ahli kepada pasukan mencukupi untuk meningkatkan pencapaian pasukan dan mencapai visi atau matlamat? Dari itu kita haruslah membuat analisis atau muhasabah terhadap diri sendiri, membuat penilaian apakah kekurangan dan apa yang harus diperbaiki. Saya percaya setiap jabatan sudah atau sedang membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku, menyediakan strategi untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tahun yang sebelumnya agar akan lebih cemerlang pada tahun ini dan di masa akan datang. Saya menyarankan supaya setiap jabatan hendaklah menyediakan program bagi tahun 2005 dan rancangan jangka panjang dengan mempunyai strategi-strategi untuk mencapai misi dan objektif jabatan-jabatan. Ini adalah sangat mustahak supaya ianya akan lebih bersistematik, teratur di samping menampakkan kemajuan dan pembaharuan serta betapa dinamiknya sesuatu jabatan. Rancangan atau sesuatu projek hendaklah dipastikan perlaksanaannya dalam waktu yang ditetapkan atau berjalan dengan sempurna, jika kita penuh komited, membuat pemantauan dan memastikan perlaksanaannya hingga menjadi realiti.

Budaya kerja yang cemerlang melalui penggunaan tatacara pengurusan atau 'management tools' yang berkesan hendaklah juga sentiasa diamalkan dan dipertingkatkan seperti penggunaan Jawatankuasa Pengurusan (Management Committee), Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC), Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR), Manual Prosedur Kerja (MMK), Fail Meja (FM), Huraian Tugas (Job Discriptions), Action Team dan lain-lain lagi semata-mata sebagai usaha kita ke arah penambahbaikan dan kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran jabatan. Sebarang tatacara pekerjaan yang berkaitan dengan sistem, proses atau prosedur yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan keadaan semasa dengan hambatan perkembangan teknologi atau ICT hendaklah juga diperbaiki, diubah suai dan dikemaskinikan bagi meningkatkan efisiensi dan produktiviti.

Usaha-usaha ke arah peningkatkan tahap kualiti perkhidmatan, pemedulian dan perhatian yang berterusan terhadap segala keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai hendaklah sentiasa diberikan keutamaan melalui penambahbaikan atau mengemaskini sistem pentadbiran dan pengurusan di jabatan masing-masing. Ini adalah bagi memenuhi ekspektasi pelanggan dan bagi menghadapi cabaran yang sentiasa berubah mengikut perkembangan dan keadaan di masa ini dan akan datang.

Dalam usaha kementerian jabatan-jabatan ke arah perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian bermasyarakat dan bernegara pula, jabatan-jabatan yang terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan hendaklah sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan seterusnya berusaha memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dilaksanakan itu diikuti dan dipatuhi. Pemeriksaan, rondaan dan pemantauan hendaklah sentiasa dilakukan dari masa ke semasa. Tindakan-tindakan yang sewajarnya dengan penuh saksama lagi tegas mestilah diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan yang mana termasuk dalam bidang kuasa jabatan masing-masing.

Saya juga mengalu-alukan pegawai-pegawai kanan selaku 'idea generator' (mengeluarkan idea-idea yang bernas), sentiasa bersikap terbuka dan 'accesible (mudah didekati). Abiskita hendaknyalah jangan menunggu sahaja arahan dari pihak atasan barulah membuat kerja, akan tetapi hendaklah sentiasa bertindak secara proaktif dan mengamalkan sikap 'turun padang'. Dengan mengamalkan sikap akan membolehkan kita mengetahui secara lebih dekat sama ada pegawai-pegawai/kakitangan menjalankan tugas-tugas mereka mengikut tatacara dan prosedur yang ditentukan dan dapat mengenal pasti apa jua kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki atau dikemaskini demi mengelakkan ianya berlarutan sehingga sukar untuk dikawal. Ini juga dapat mengawal dan mengelakkan dari perbuatan-perbuatan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana kakitangan yang tidak bertanggungjawab jika mereka sentiasa dimata-matai dan diawasi dari masa ke semasa.

Kutipan hasil (revenue) terutama sekali kutipan hasil yang tertunggak hendaklah diambil kepada mereka yang gagal membayar kutipan hasil tersebut dan jika perlu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat. Jika nanti hasil yang tertunggak itu terkumpul sehingga mencapai berjuta-juta ringgit yang mana perkara sedemikian akan menyulitkan lagi keadaan dan sudah setentunya akan menjejaskan imej dan kredibiliti kementerian atau jabatan itu sendiri. Disamping itu, usaha-usaha ke arah peningkatan hasil juga hendaklah sentiasa dilakukan secara berterusan dan dibuat dengan lebih teratur dan kemaskini selaras dengan perkembangan dan kemajuan semasa.

Di kesempatan ini juga, saya menyeru agar kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya akan berusaha secepat mungkin untuk membantu meri- ngankan penderitaan mangsa-mangsa Tsunami yang melanda beberapa buah negara termasuk negara jiran Republik Indonesia yang meragut lebih 100,000 nyawa, di samping beratus-ratus ribu orang yang tidak mempunyai tempat tinggal dan memerlukan bantuan segera. Usaha-usaha padu terutama sekali dalam mendapatkan bantuan berupa kewangan hendaklah dilaksanakan dengan segera di kalangan warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Beberapa projek dan aktiviti amal juga hendaklah dibuat seperti menyediakan tabung-tabung mangsa Tsunami di kementerian ini dan jabatan masing-masing, jualan-jualan amal dan lain-lain aktiviti yang difikirkan dapat membantu mangsa-mangsa Tsunami tersebut. Derma tersebut bolehlah diserahkan terus kepada Jawatankuasa Tabung Bantuan Mangsa Bencana Tsunami.

Sekian, Wabillahit Tau-fiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahatullahi Wabarakatuh.


(c) Ministry of Home Affairs