B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar di Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2004 pada hari Khamis, 25 November 2004 bertempat di The Mall Gadong.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kerabat dan sahabat-sahabat Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya jua maka kita dapat hadir bersama-sama di Majlis Sambutan Hari Diabetis Sedunia 2004 yang bertemakan 'Diabetis dan Obesiti'.

Kita juga bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana negara kita telah dilimpahkan dengan keamanan, ketenteraman serta kemakmuran yang memungkinkan kita sekarang mencapai tahap kemajuan sebagai sebuah negara maju. Kemajuan itu telah dicerminkan dengan meningkatkan taraf hidup rakyat dan penduduk negara ini. Majoriti rakyat dan penduduk negara ini tidak sahaja dapat menikmati keperluan asas seperti perumahan, keselamatan dan sebagainya tetapi dapat pula menikmati sumber pemakanan yang mencukupi malah lebih dari yang diperlukan.

Lebih 40 tahun lalu, beberapa buah negara mengalami kebuluran ataupun tidak cukup makan (under-nourished). Alhamdulillah, keadaan ini tidak berlaku di negara kita. Malah kita sekarang, seperti negara maju mengalami pula masalah dan penyakit akibat dari lebih banyak makan serta juga mengalami penyakit hasil dari perubahan cara hidup iaitu kurang pergerakan fizikal. Kita mengalami penyakit obesiti dan diabetis.

Diabetis atau penyakit kencing manis adalah sejenis penyakit kronik, yang memerlukan rawatan rapi demi untuk mengawal paras gula di dalam darah, bagi mencegah atau memperlambatkan komplikasi penyakit. Komplikasi penyakit kencing manis, meliputi penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang, kerosakan urat saraf dan hilang penglihatan.

Pada masa ini, kejadian penyakit diabetis telah berleluasa di seluruh dunia dan berkemungkinan boleh meningkat ke tahap epidemik. Perangkaan terkini dari International Diabetis Federation menunjukkan terdapat 194 juta orang dewasa menghidap diabetis pada tahun 2003. Menjelang tahun 2025 pula dijangkakan 333 juta orang atau 6.3 peratus penduduk dunia akan menghidap diabetis.

Diabetis merupakan punca utama kematian di kebanyakan negara-negara yang telah membangun. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali. Di Negara Brunei Darussalam ianya merupakan punca ketiga kematian bagi tahun 2003, di mana seramai 82 orang telah meninggal dunia disebabkan oleh penyakit diabetis.

Penyakit Diabetis Jenis 2 (Type 2 Diabetes) berlaku di kalangan mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kegemukan atau lumpuh. Lebih dari 90 peratus kes-kes diabetis di seluruh dunia terdiri dari Diabetis Jenis 2. Obesiti merupakan faktor risiko utama bagi Diabetis Jenis 2.

Satu pertiga (1/3) daripada penduduk dewasa di Negara Brunei Darussalam didapati mempunyai berat badan berlebihan dan 11.2 peratus lelaki dan 12.8 peratus wanita didapati obes. Malahan masalah ini berlaku juga di kalangan kanak-kanak dan remaja yang berumur 5 - 19 tahun, di mana 17.8 peratus lelaki dan 8.7 peratus perempuan didapat obes. Masalah kegemukan dan obesiti ini perlu diambil perhatian yang serius.

Penjagaan berat badan merupakan strategi utama bagi mencegah Diabetis Jenis 2. Perubahan pada cara hidup seharian seperti pemakanan sihat dan kegiatan fizikal yang sebanyak 40 - 60 peratus. Pengurangan berat badan, walaupun sebanyak lima peratus di kalangan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes boleh mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit jantung. Oleh itu, kejayaan pengurangan berat badan bergantung kepada perubahan pemakanan, meningkatkan kegiatan fizikal dan mengubah cara hidup kita kepada cara hidup sihat.

Kementerian Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit diabetis di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan di seluruh negara. Pusat Diabetis di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha memberikan perkhidmatan 'One-Stop' kepada pesakit diabetis, di mana mereka menerima perkhidmatan daripada doktor, jururawat, pegawai pemakanan dan pegawai podiatri dalam satu tempat. Pada masa ini, Pusat Diabetis merekodkan kedatangan pesakit seramai lebih kurang enam ribu setahun. Pusat ini juga merupakan sebuah pusat sumber pendidikan bagi pesakit diabetis dan keluarga mereka.

Selain dari itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa langkah dalam mengawal masalah obesiti di negara ini. Kita telah mengadakan kempen-kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai melalui media masa, akhbar-akhbar tempatan, ceramah kesihatan dan juga program kesihatan sekolah. Selain daripada itu, agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama juga turut bekerjasama untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran orang ramai terhadap isu-isu yang berkaitan dengan obesiti.

Dalam kesempatan ini, saya ingin berseru kepada orang ramai supaya akan mengambil perhatian berat dan bertindak bagi mengawal berat badan, memandangkan risikonya menyebabkan beberapa penyakit/masalah kesihatan, terutama sekali, penyakit diabetis. Ini termasuk mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan kegiatan fizikal secara tetap dan berterusan. Ingin saya tekankan sekali lagi, bahawa amalan cara hidup sihat, terutamanya kegiatan fizikal perlu diserapkan sejak peringkat umur persekolahan lagi dan terus diamalkan sepanjang hayat. Insya-Allah dengan mengubah cara hidup kita kepada cara hidup sihat, kita akan dapat mengatasi masalah obesiti dan seterusnya mencegah penyakit diabetis dari berleluasa di negara ini.

Anugerah Allah Subhanahu Wataala yang paling berharga ialah kesihatan. Apabila seseorang ditimpa penyakit, wang ringgit tidak akan semudahnya dapat menebus kesihatannya. Oleh itu peliharalah kesihatan kita, keluarga dan masyarakat kita.

Untuk mengakhiri ucapan saya ini, saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Diabetis Sedunia pada tahun ini di atas usaha yang gigih pada melaksanakan aktiviti yang berkebajikan ini. Semoga Allah Subhanahu Wataala akan memberikan ganjaran-Nya jua.

Dengan mendahului kalimah 'Bismillahir Rahmanir Rahim' saya sukacita melancarkan Hari Diabetis Sedunia bagi tahun 2004.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Ministry of Health