B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Menyambut dan Memperingati Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
pada hari Selasa malam Khamis, 12 Rabiulawal 1424 Hijrah/13 Mei 2003 Masihi.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Segala puji bagi Allah yang telah mengutus Nabi dan Rasul-Nya, Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Pada zaman sebelum Baginda itu diputerakan, dunia ini berada dalam keadaan gelap-gelita yang dipenuhi dengan pelbagai kemungkaran. Tidak terdapat undang-undang atau peraturan untuk mengawal dan memandu manusia, melainkan semuanya dilakukan hanya dengan sesuka hati sahaja.

Maka terjadilah apa-apa yang tidak patut terjadi, seperti pencabulan terhadap hak-hak Allah dan hak-hak manusia sendiri.

Hak Allah yang paling besar dicabul ialah menyembah selain daripada-Nya. Mereka telah menyekutukan Allah dengan yang lain-lain, pada hal telah pun menjadi hak Allah supaya manusia itu menyembah hanya kepada-Nya selaku Tuhan Yang Maha Esa.

Setelah hak Allah yang paling asasi ini dicabul, maka hak-hak manusia juga tidak terkecuali diperkosa. Keadilan dan kemanusiaan telah dijadikan musuh ketat, di mana sebaliknya kezaliman menjadi pilihan dan budaya.

Inilah yang menguasai dunia sekian lama, tetapi dengan rahmat Allah, budaya dan amalan yang buruk ini telah berubah dengan lahirnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Baginda telah mengembalikan hak-hak Allah supaya dihormati. Maka berduyun-duyunlah manusia ke pangkuan Rabbul Izzah menjadi manusia-manusia Muslim.

Lalu tersingkaplah tabir jahiliah. Cahaya Islam pun menerpa masuk, menggosok dan menggilap hati-hati nurani yang tadinya berkarat. Maka robohlah kemungkaran digantikan oleh makruf dan kebajikan.

Bermulalah dari sini sejarah manusia baru, di mana pemimpinnya ialah Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kepimpinan Baginda itu, hati-hati yang liar dijinakkan dan nafsu-nafsu yang ganas ditundukkan. Maka dengan itu berubahlah semua situasi : Dunia menjadi aman dan manusia sejahtera.

Kita sekarang, sama ada menyedari ataupun tidak, sedang meratapi tamadun kemanusiaan yang pernah dibina oleh Rasul dan Nabi akhir zaman itu. Tamadun tersebut nampaknya sedang menuju zaman gelapnya semula. Ia seakan-akan sudah dilupakan, sekalipun masih banyak mulut-mulut yang memujanya, namun kenyataan yang berlaku adalah menghampakan.

Di mana-mana sahaja sedang berlangsung bermacam-macam kezaliman. Jika di zaman sebelum Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, terdapat ibu bapa yang menguburkan anak-anak perempuan mereka hidup-hidup, tetapi sekarang kita berhadapan dengan sumbang mahram yang lebih keji dan kejam, di samping juga perbuatan mendera dan membunuh kanak-kanak damit yang tidak berdosa.

Di saat yang baik dan berkat ini, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari fenomena-fenomena yang ada, semoga negara kita akan sentiasa diberkati dan terhindar daripada perkara-perkara yang dibenci oleh Allah seperti kezaliman, jenayah dan kerosakan akhlak.

Kita mesti bersyukur, kerana dapat menjaga hubungan kita dengan Allah dengan cara yang sebaik-baiknya, Kita tidak sekali-kali lupa, manakala wujud saat-saat menakutkan yang di luar dari kawalan manusia, kita akan cepat-cepat bertaqarrub dengan Allah : Kita sembahyang hajat dan membaca doa serta bersedekah.

Inilah cara kita dan alhamdulillah kita jarang-jarang tidak mengecap hasilnya. Salah satu dari sekian banyak contoh ialah wabak SARS yang sangat menakutkan itu, telah menambahkan lagi keinsafan kita, bahawa manusia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa di hadapan Allah, jika dibanding dengan ilmu dan kekuasaan-Nya. Kerana itulah salah satu usaha kita menepis SARS ialah dengan doa dan sembahyang hajat di masjid-masjid.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman