B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena Perasmian Pameran Kepimpinan Raja
pada hari Rabu, 27 Zulhijah 1424/18 Februari 2004,
di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta sangatlah menghargai usaha mengadakan Pameran Kepimpinan Raja yang bermula hari ini. 20 tahun negara kita telah mencapai semula kedaulatannya, membawa kita lebih matang serta lebih bertamadun lagi. Beta percaya, usaha seumpama ini boleh merujuk kepada perkembangan dan peningkatan yang sihat.

Ianya juga menandakan kita telah melangkah dan berfikir jauh. Kita merancang bukan hanya setakat untuk hari ini, atau hanya hanyut dengan rutin sahaja. Kita telah pun berubah dan mula membuang perasaan inferioriti diri untuk lebih berani dan bangga dengan kewujudan kita selaku bangsa.

Dalam pada itu, beta ingin mengingatkan bahawa apa jua perkara yang hendak kita buat, sama ada ia di peringkat memikir, merancang atau melaksana, kita hendaklah ingatkan Allah. Kita perlu tagih berkat dan petunjuk daripada-Nya.

Dalam semua urusan kehidupan jangan ada yang ketinggalan (missing) daripada mengingati Allah. Jadikanlah ia unsur asasi di dalam semua urusan kita : Urusan keluarga, urusan kampung dan mukim, urusan daerah dan malah urusan negara.

Dengan cara ini, kita akan diingati pula oleh Allah. Dan ingatkan Allah itu buahnya ialah rahmat serta pertolongan-Nya jua.

Kita tahu, banyak lagi langkah dan kerja perlu kita buat. Kita tidak mahu ketinggalan. Kita perlu inovatif kerana jika tidak, kita akan terkeluar dari gelanggang persaingan.

Tetapi kerja-kerja yang sempurna serta berkesan adalah memerlukan kepimpinan. Jika kepimpinan lemah dan tidak berwawasan, maka ia boleh mengurangkan mutu kerja, jika pun tidak menggagalkannya sama sekali.

Oleh itu, di samping memiliki kelayakan biasa, kepimpinan juga perlu bagi memastikan survival bangsa dan negara tetap berlaku. Jika kepimpinan ada, maka kita bukan sahaja wujud, malahan dalam persaingan, kitalah juara.

Kepimpinan bukan mesti merujuk kepada umur tua, tetapi kepada 'minda besar' yang mampu melahirkan idea-idea bernas, serta kemudiannya menjadikan idea-idea itu kenyataan dalam bentuk-bentuk rancangan dan pekerjaan.

Berapa ramai orang lama yang statik dan berapa ramai pula orang baru yang dinamik? Ini semua adalah merujuk kepada ciri-ciri kepimpinan itu.

Namun, keadaan sebaliknya juga boleh berlaku, di mana orang lama amat gigih, sementara orang baru beku dan layu.

Jadi yang berharga itu ialah idea atau pemikiran. Daripada idea-idea besarlah kita menjana kemajuan, mengurus dan membangunkan bangsa.

Inilah yang kita kehendaki dengan kepimpinan itu. Kita jadikan ia tradisi dan budaya kita, barulah kita akan berkualiti menjadi tenaga manusia yang berkualiti bagi menghasilkan apa jua yang berkualiti.

Di sinilah kita akan terus berkembang dan meningkat dari satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi.

Jika ia berlaku, maka insya-Allah bangsa kita akan kukuh dan negara teguh.

Bangsa kita perlu rajin bekerja, mampu bersaing dan bersemangat tinggi.

Namun begitu, di mata Allah kita adalah tetap hamba-Nya yang sentiasa sujud serta terus-menerus mentaati-Nya. Dengan ini, insya-Allah, negara kita Negara Brunei Darussalam akan selamat dan bertambah-tambah maju.

Dengan hati yang khusyuk serta mendahulukannya dengan Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam : Allahumma Salli Wasallim 'Ala Sayyidina Muhammadin, Wa'ala Aalihi Wasahbihi Ajma'een, maka beta dengan sukacita merasmikan Pameran Kepimpinan Raja bertempat di Dewan Jamuan dan Ruang Pra-Mesyuarat dalam bangunan ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman