B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


SABDA
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah
di Majlis Konvokesyen Ke-12 Institut Teknologi Brunei
bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Alhamdulillah, segala puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah wahmat-Nya jua, dapatlah kita beramai-ramai hadir di Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Brunei bagi kali ke-12, pagi ini.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya dengan tulus ikhlas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Pengurusan Institut Teknologi Brunei, kerana menjemput saya hadir bagi menyempurnakan Majlis Konvokesyen pada hari ini.

Setiap kali menjelangnya Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Brunei ini, kita setentunya berasa bangga dan bersyukur kerana ini bermakna bertambah lagi bilangan bakal tenaga manusia berkelulusan dan berkemahiran dari kalangan anak-anak tempatan untuk mengisi keperluan tenaga kerja negara.

Apatah lagi bidang-bidang yang mereka ceburi adalah bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengurusan perdagangan yang memang benar-benar masih diperlukan.

Ini jelas dilihat daripada rancangan kemajuan negara yang menjurus kepada mempelbagaikan industri dan mempertingkatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat dan teknologi siber sebagai langkah ke arah pengurusan yang lebih cekap dan berkesan di sektor-sektor kerajaan dan swasta.

Susulan dari rancangan-rancangan tersebut, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengorak langkah melalui beberapa inisiatif pembangunan, termasuk usaha-usaha mewujudkan e-kerajaan, menubuhkan pusat kewangan antarabangsa dan mengenal pasti industri yang boleh diterokai seperti industri hiliran minyak dan gas dan penghasilan aluminium.

Sehubungan dengan itu, institusi pengajian tinggi negara ini seperti Institut Teknologi Brunei dan Universiti Brunei Darussalam bukanlah semata-mata dilihat sebagai agensi pengeluar tenaga manusia berkelulusan tinggi.

Malah kedua-dua institusi ini, pada hemat saya hendaklah dilihat sebagai sumber input kepakaran kepada inisiatif-inisiatif sedemikian di mana bersesuaian.

Penglibatan kepakaran tempatan, saya rasa, harus dialu-alukan kerana ianya akan lebih memberi manfaat dalam konteks Negara Brunei Darussalam di mana kepakaran setempat jika digandingkan dengan kepakaran konsultan luar, setentunya akan membawa dimensi dari segi 'relevence' kepada projek-projek pembangunan tersebut.

Tahap potensi kepakaran tempatan yang sedemikian, adalah tertakluk kepada kemampuan institusi-institusi negara ini dalam menyediakan bidang-bidang yang sesuai yang mereka yakin boleh melahirkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Dengan kemudahan-kemudahan prasarana dan peralatan yang ada sekarang ini, Institut Teknologi Brunei perlu meneroka lebih jauh lagi dalam mengembangkan kursus-kursus yang ada dengan bekerjasama erat dengan pelbagai agensi swasta tanpa bergantung kepada kerajaan.

Oleh itu perancangan kursus-kursus dan program-program akademik, perlu dibuat dengan berpandukan rancangan perkembangan tenaga manusia, rancangan perkembangan ekonomi dan keperluan sektor-sektor swasta pada masa kini dan juga masa depan.

Saya difahamkan bahawa Institut Teknologi Brunei telah merancang untuk menjanakan program kembar dengan beberapa buah universiti di luar negeri dan juga bersedia membuka pintunya untuk membuat usaha sama dalam penyelidikan dengan agensi pengajian tinggi di seberang laut dan industri luar dan dalam negara.

Usaha-usaha sedemikian adalah wajar untuk menjadikan Institut Teknologi Brunei sebagai satu pusat perkembangan tenaga manusia dan penyelidikan teknologi.

Saya berharap, institut ini akan menjadi salah sebuah agensi penggerak kemajuan sains dan teknologi di negara ini dan seterusnya menjadi 'role model' di rantau ini, insya-Allah.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan yang akan menerima Diploma Tinggi Kebangsaan dalam jurusan mereka masing-masing pada hari ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman