B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1424 Hijrah
pada 27 Rejab 1424/24 September 2003
bertempat di Pusat Persidangan antarabangsa, Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Segala syukur dan puji hanyalah kepada Allah jua, yang telah mengizinkan kita dapat berkumpul bersama-sama di majlis yang penuh dengan keberkatan ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah bermula dengan suatu pembedahan untuk menyucikan hati Baginda dan setelah itu diisi pula dengan iman dan hikmah.

Ini melambangkan, bahawa kejayaan bagi sesuatu pekerjaan, apatah lagi jika ia 'pekerjaan besar', adalah berpunca dari hati yang bersih, yang sihat, yang tidak dicemari oleh sebarang penyakit.

Janganlah dibayangkan ianya seperti balang atau botol kosong yang apabila diisi dengan air tidak menampakkan geladak, bukan. Ini bukanlah contoh untuk hati yang bersih, tetapi hati yang bersih itu, bukan saja tidak berpenyakit, malahan juga penuh serta padat dengan iman dan hikmah.

Inilah modal atau bekal yang sebaik-baiknya dalam menjalani kehidupan. Barangsiapa yang ingin berjaya bagi dirinya sendiri dan membawa juga kejayaan itu kepada orang lain, maka hendaklah dia memiliki sekeping hati yang bersih. Jika ada hati yang bersih, semua pekerjaan akan jadi bagus dan lurus. Tidaklah akan ada sebagaimana peribahasa 'pepat di luar runcing di dalam'.

Inilah peranan hati. Adapun hati yang kotor, sangat mudah baginya mencetuskan huru-hara.

Huru-hara itu bermula dari diri sendiri dan melarat kepada orang lain.

Sebagai contoh, apa yang sedang dan kerap berlaku akhir-akhir ini, adalah merupakan petanda adanya keadaan yang tidak sihat. Jika dahulu, Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara sejahtera. Semua isi di dalamnya sejahtera. Rumah tidak perlu dikunci, kereta tidak perlu dikunci, semuanya sejahtera.

Tetapi sekarang banyak yang telah berubah. Rumah yang berkunci pun sudah boleh dimasuki dengan pelbagai cara.

Ini tidak syak lagi, menandakan sudah ada hati-hati yang berkarat yang turut menghuni negara ini. Kerana itu beta serukan kepada semua yang berkaitan, supaya meningkatkan usaha mengesan mereka, gunakan semua mekanisme yang patut digunakan, sehingga mereka itu diadili.

Negara kita adalah negara undang-undang dan untuk membuktikan bahawa kita tidak berolok-olok, maka hendaknya pihak-pihak yang berkenaan mestilah lebih berani dan tegas sehingga semua orang tahu bahawa Negara Brunei Darussalam bukanlah laluan yang mudah bagi penjenayah.

Kita mesti tingkatkan kawalan-kawalan di sempadan dan persisiran, bagi memastikan, bahawa negara ini adalah benar-benar bersih daripada sebarang pendatang tanpa izin yang tidak memiliki dokumen-dokumen perjalanan yang sah. Pihak penguat kuasa janganlah melihat perkara ini dengan sebelah mata, kerana padahnya adalah amat buruk kepada keamanan dan kesentosaan negara.

Kita tidak mahu Negara Brunei Darussalam menjadi tempat penghijrahan bagi anasir-anasir yang tidak disenangi di tempat mereka sendiri. Sesungguhnya perkembangan mutakhir yang telah mencatatkan beberapa insiden terbaru setakat ini, adalah menjadi ujian dan cabaran berat kepada pihak-pihak penguasa dan juga masyarakat.

Sehubungan dengannya, juga 'Kejiranan Kampung' eloklah dikemaskinikan atau diluaskan lagi fungsinya, sehingga benar-benar dapat menyumbang untuk sama-sama mengatasi jenayah.

Di samping menumpukan usaha-usaha biasa ke arah keamanan, kita juga janganlah lupa amalan-amalan beragama, kerana dari sinilah kita akan mendapat rahmat serta pertolongan Allah dan sesungguhnya pertolongan seumpama itu tidaklah boleh didapat melainkan hanya semata-mata daripada-Nya jua, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Quraisy ayat 4 yang tafsirnya:

"Tuhan yang memberi mereka penghidupan: Menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan."

Insya-Allah, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan akan tetap berpihak kepada kita selama mana kita terus berpegang kepada ajaran-ajaran agama-Nya yang Maha Suci.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman