B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar
di Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam
pada 12 Zulkaedah 1424/5 Januari 2004.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada Fakulti Pengajian Perdagangan, Ekonomi dan Dasar Universiti Brunei Darussalam dan Institut Penyelidikan dan Latihan Islam, Bank Pembangunan Islam Jeddah kerana sama-sama menganjurkan Persidangan Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam. Sudah tiba masanya bagi institusi pendidikan tinggi menghalakan sumbernya serta memberikan tumpuan yang khusus terhadap perkara ini. Saya percaya bahawa hasil dari kerja keras serta dedikasi awda, persidangan ini akan membawa kepada kesedaran dan penghargaan yang lebih besar kepada orang awam, dalam negeri, di rantau ini dan pada peringkat antarabangsa, mengenai asas teori serta implikasi praktikal subjek yang menjadi perbincangan.

Kami mendapat penghormatan atas kehadiran sejumlah cendekiawan serta para pengamal yang akan menyampaikan kertas kerja mereka sepanjang tiga hari ini. Para penceramah dan peserta akan berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan serta pengalaman di samping menjalinkan satu rangkaian dan kerjasama di antara satu sama lain.

Sejak tahun 1930-an, bilamana asas teori pertama bagi sistem ekonomi dan kewangan Islam moden mula dikonsepsikan di India, yang diikuti dengan kemunculan bank-bank Islam pertama di Mesir kira-kira 30 tahun kemudian, alhamdulillah langkah-langkah yang besar diambil ke arah merealisasikan matlamat penting bagi mewujudkan sistem kewangan dan ekonomi yang saksama yang dapat memenuhi keperluan semua - orang-orang Islam juga yang bukan Islam. Atas segala usaha sedemikian, terdapat pengiktirafan antarabangsa yang meningkat bagi prinsip-prinsip ekonomi dan kewangan Islam, bukan hanya sebagai pengaruh teori yang berkembang, bahkan juga kemungkinan rangka kerja berdaya maju bagi infrastruktur ekonomi antarabangsa pada masa hadapan.

Kemajuan besar yang telah dicapai setakat ini adalah hasil dari usahasama erat di antara para cendekiawan Islam, institusi kewangan serta kerajaan; yang merupakan testimoni bahawa orang-orang Islam boleh berjaya bila kami bersatu padu, insya-Allah. Tetapi mungkin pengajaran yang lebih penting dari kesemua ini adalah keupayaan orang-orang Islam menghalakan perubahan yang berlaku dalam persekitaran mereka. Kemajuan pesat yang dibuat oleh orang Barat dalam membina infrastruktur ekonomi dan kewangan di seluruh dunia membawa orang-orang Islam ke dalam situasi yang pada mulanya mereka terpaksa selaraskan dengan sistem yang sememangnya tidak konsisten dengan syariah. Namun, alhamdulillah, dalam menghadapi tentangan sedemikian, banyak orang Islam kini dipengaruhi oleh institusi-institusi kewangan yang dianggap 'mematuhi syariah'. Orang-orang Islam pada hari ini kini berupaya untuk menyertai dalam rangka kerja kewangan semasa hasil dari usahasama kami.

Segala kejayaan yang telah kami capai setakat ini menjadi bukti bukan hanya atas kemampuan kami mengamalkan konsep-konsep ekonomi dan kewangan yang baru dalam menghadapi realiti perubahan bahkan juga keupayaan kami untuk menghalakan segala perubahan tersebut dengan cara memesrakan konsepsi yang baru. Penggunaan prinsip-prinsip mudharabah dan musharakah, misalnya memberikan rangka kerja konsepsi bagi institusi perbankan dan kewangan untuk berfungsi bersama-sama dengan bank-bank konvensional. Simpanan semasa, simpanan pelaburan dan simpanan biasa dan banyak lagi yang lain biasanya lebih dikaitkan dengan bank-bank konvensional kini merupakan kemudahan biasa yang diberikan oleh bank-bank Islam. Dinamik intelek ini merupakan komponen penting dalam proses menyelaraskan perubahan sosioekonomi dan cara bagaimana perubahan dibentuk; sebagaimana orang-orang Islam tidak semata-mata bertindak terhadap proses perubahan ini, malahan mereka menghalakannya dengan cara penyatuan konsepsi yang inovatif.

Pencapaian ini tidak dapat disangkal lagi merupakan mercu tanda penting dalam pembangunan ummah Islam pada keseluruhannya, mereka masih merupakan orientasi reaktif yang positif untuk berubah bagi pihak kita. Prinsip-prinsip Islam terus digali untuk menumpukan perhatian kepada landskap sosioekonomi yang kerap berubah di mana kita diami. Apa yang kita temui, adalah persekitaran di mana kita diami yang sentiasa menentukan cara kita mengambil tindakan, yang memaksa kita mencari cara dan jalan untuk mengamalkan segala perubahan tersebut agar ianya 'mematuhi syariah'. Daripada menentukan penghidupan harian kita kerana mengikut kebiasaan yang diperlukan oleh syariah, orang-orang Islam masih menghadapi kesulitan mengikut kebiasaan yang ditentukan oleh orang lain, terutama sekali dalam bidang-bidang kewangan dan ekonomi.

Bagi agama Islam dan orang Islam untuk mendapatkan kedudukan yang membolehkan kita menentukan keadaan sosioekonomi dunia, dalam suasana pada masa ini, mungkin agak mustahil. Namun kita sekurang-kurangnya dapat melihat cara-cara mewujudkan rangka kerja ekonomi dan kewangan yang dapat memenuhi segala keperluan kita atau meninjau dimensi kewangan syariah yang lain yang dapat menyumbang ke arah pembinaan rangka kerja ekonomi Islam yang lebih komprehensif.

Adalah penting untuk tidak melupakan hakikat bahawa pembinaan sistem perbankan dan kewangan Islam - meskipun sememangnya penting - ianya hanyalah satu aspek pelbagai dimensi sistem ekonomi yang 'mematuhi syariah' pada keseluruhannya. Satu lagi aspek penting sistem ekonomi Islam dan satu-satunya yang mungkin kurang diberi perhatian adalah peranan zakah. Kemungkinan kita terlupa, di mana riba ditegah, kewajipan zakah sememangnya diwajibkan ke atas kita. Demikianlah beratnya kewajipan memberi zakah di mana tiada ayat dalam Al-Quran yang menyentuh tentang kewajipan salah yang tidak menyebut tentang pemberian zakah. Justeru itu, jika kebimbangan melanggar larangan Allah mendorong kita untuk mencapai kecanggihan kewangan yang kita miliki, sewajarnyakah usaha yang sama tidak boleh dipenuhi seperti yang telah diperintahkan?

Berdasarkan peranan penting yang dimainkan oleh bank-bank untuk mengawal segala kegiatan kewangan harian kita, sudah tiba waktunya untuk meninjau kemungkinan mewujudkan sistem institusi pengutipan dan pembahagian zakah. Dengan cara apakah zakah, jika dikutip dengan teratur dan dibahagikan dengan efisien, melibatkan kestabilan ekonomi? Bolehkah penanaman 2.5 peratus aset cecair oleh segmen masyarakat yang berkemampuan kepada strata ekonomi golongan rendah dapat memainkan peranan yang stabil dalam perlaksanaan ekonomi pada keseluruhannya?

Akibat yang lebih ketara dalam sistem zakah yang diinstitusikan adalah menyempitkan sumber yang berlebihan, yang demikian mengurangkan keupayaan mereka yang kaya bagi penggunaan yang boros serta pelaburan spekulatif. Disebabkan oleh peratus yang agak kecil dituntut oleh syariah untuk diagihkan kepada yang miskin dan yang memerlukan, pengurangan penggunaan yang boros dan pelaburan spekulatif tidak semestinya sama dengan ketiadaannya. Ianya akan menyebabkan mereka yang kaya lebih menitikberatkan pelaburan produktif. Di sebalik itu, bagi strata ekonomi yang lebih rendah, jika berpeluang menerima 2.5 peratus dari keseluruhan aset cecair Islam - yang miskin dan yang memerlukan lebih cenderung menghabiskan wang semata-mata kerana diperlukan bukan untuk menabung. Secara teori, ianya bererti perbelanjaan minima secara tetap ke atas keperluan sekurang-kurangnya 2.5 peratus dari jumlah pelaburan dan penabungan orang Islam.

Penyiasatan selanjutnya jelas perlu dijalankan, dan bukan tujuan saya untuk memulakan penjelasan secara teori faedah ekonomi dari zakah. Tetapi apa yang dimaksudkan di sini hanyalah untuk menyarankan kepada kumpulan cendikiawan yang terbilang ini, bahawa pemetakan yang meningkat di antara objektif ekonomi dan kewangan kita tidak seharusnya dibahagikan lagi sepanjang garisan semata-mata kerana 'motivasi keuntungan' tetapi hendaklah digabungkan di atas pangsi 'orientasi keuntungan'. Dengan cara ini, institusi kewangan Islam seharusnya tidak dipandu semata-mata oleh kuasa keuntungan tetapi tertumpu ke arah tanggungjawab sosioekonomi yang lebih besar; sesuatu yang dikukuhkan oleh keuntungan yang diperolehi daripada ekuiti ekonomi dan kewangan.

Sebagai penutup, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua penceramah dan peserta ke negara kami yang aman damai. Harapan saya agar persidangan ini mendatangkan manfaat kepada rakyat Negara Brunei Darussalam terutama sekali dan semua ummah pada umumnya lebih-lebih lagi dalam era di mana nilai-nilai keislaman sentiasa menghadapi cabaran.

Dengan tawakal kepada Allah Subhanahu Wataala, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada hari ini, 12 Zulkaedah 1424 bersamaan 5 Januari 2004 dalam suasana yang penuh berkat ini, dengan ini saya merasmikan Pembukaan Persidangan Perbankan dan Kewangan Islam Antarabangsa.

Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education