B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagida Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Perasmian Dar Takaful IBB Utama dan Dar Takaful IBB 2
pada hari Isnin, 3 Rabiulawal 1424/5 Mei 2003.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Dunia hari ini tidak putus-putus menghadapi pelbagai cabaran. Ia datang silih berganti dengan menimbulkan banyak kebimbangan. Terutama sekali yang lebih membimbangkan ialah kejadian-kejadian yang tidak diduga yang tiba-tiba boleh menimpa dunia seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang telah lebih sebulan melanda beberapa negara di rantau Asia dan Pasifik.

Sehingga kini, jangkitan wabak ini belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Ia bukan saja meragut jiwa, bahkan juga memberi kesan yang teruk kepada kehidupan harian biasa di mana-mana saja. Dan yang jelas, wabak ini juga telah menjejaskan sektor-sektor perniagaan, perhotelan, pengangkutan udara, pelancongan dan sebagainya dalam makna lain ia telah mengancam pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Di akhir-akhir ini pula, kesan wabak SARS telah mula dirasakan di sektor-sektor kewangan serantau dan antarabangsa. Para pelabur juga mula mengambil langkah berjaga-jaga, kerana ada tanda kemerosotan dari sentimen-sentimen pada bursar-bursar saham di rantau Asia. Namun alhamdulillah di negara kita kesan-kesan tersebut dapat dikawal, dan rakyat serta penduduk masih dapat meneruskan kehidupan harian mereka seperti biasa.

Bagaimanapun juga, kita tidaklah boleh leka atau lalai. Beta perlu merangka strategi dan perancangan untuk menghadapi apa saja cabaran, di samping jangan lupa memupuk ketakwaan kepada Allah dengan keyakinan, bahawa ikhtiar itu di tangan kita, sementara Allah pula penentu yang mutlak.

Sepuluh tahun yang lalu semasa kerajaan beta memperkenalkan perbankan dan kewangan Islam di negara ini, ramai orang menyoal kemampuan dan peranan sistem tersebut dalam mengembangkan ekonomi negara. Golongan ini telah tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sudah meragui satu sistem yang terbaik, yang disuruh oleh agama memakainya.

Sekarang, satu dekad telah berlalu, ternyata perbankan dan kewangan Islam telah menjadi penggerak yang sangat bertenaga kepada pertumbuhan ekonomi. Perbankan dan kewangan Islam telah berkembang dengan kadar yang cepat serta mampu meningkatkan jumlah pasaran yang sihat. Ianya bukan saja dapat dilihat berkembang di negara-negara Islam, malahan juga di merata dunia.

Ia turut diterima sebagai satu sistem dan bahkan sistem yang adil lagi saksama yang mengutamakan situasi menang sama menang atau 'win-win situation' bagi kedua-dua belah pihak, pihak institusi kewangan dan juga pihak pengusaha dan pelanggan. Di sinilah keindahan muamalah Islam itu. Sebab itu beta penuh yakin, lebih ramai lagi orang dan organisasi yang akan terpikat dengan sistem perbankan dan kewangan Islam ini.

Satu komponen kewangan Islam yang semakin popular ialah Perkhidmatan Perlindungan Takaful. Walaupun ia masih di usia yang sangat muda, namun beta dengan sukacita mengambil maklum bahawa ketiga-tiga buah Syarikat Takaful yang ada di negara ini telah menunjukkan kemampuan masing-masing untuk berdaya saing dengan syarikat-syarikat insurans biasa.

Beta juga difahamkan, bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, organisasi-organisasi besar di negara ini telah memberikan kepercayaan kepada Syarikat Takaful untuk mengurus dan mengaturkan perlindungan-perlindungan bagi aset dan risiko yang tinggi nilainya sehingga beratus-ratus juta ringgit.

Kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan kita dalam perbankan dan kewangan Islam juga telah dirasakan di peringkat antarabangsa. Baru-baru ini kerajaan beta, melalui Suruhanjaya Bersama Brunei Darussalam dan Thailand telah bersetuju supaya institusi-institusi kewangan Islam negara ini dapat bekerjasama sambil membantu pihak-pihak tertentu di negara Thailand untuk menubuhkan sebuah Bank Islam yang pertama di sana. Insya-Allah beberapa orang anak tempatan kita yang berpengalaman akan mengambil tugas yang mulia ini.

Beta juga lebih berbangga, kerana kerjasama antarabangsa seperti ini bukanlah pertama kali pernah diungkayahkan oleh institusi kewangan Islam Brunei Darussalam. Pada tahun 1996, dua buah Syarikat Takaful negara ini bersama dan tiga buah Syarikat Takaful di rantau ini telah menubuhkan sebuah Syarikat Takaful Semula yang dikenal sebagai ASEAN Retakaful International.

Syarikat ini telah beroperasi dengan baiknya memberikan perkhidmatan takaful semula kepada syarikat-syarikat takaful di rantau ini dan antarabangsa. Ia adalah satu projek besar yang telah dipersetujui, semasa salah satu mesyuarat tahunan Kumpulan Takaful ASEAN.

Pada hari ini, kita dapat meraikan satu lagi mercu tanda kejayaan institusi kewangan Islam kita dengan terbinanya dua buah bangunan baru iaitu Dar Takaful IBB Utama dan Dar Takaful IBB 2. Beta berharap institusi-institusi kewangan Islam akan terus mencapai kejayaan dalam dalam mewarnai corak industri kewangan negara dan antarabangsa.

Dengan mendahulukan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim dan dengan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, maka beta dengan sukacitanya merasmikan Dar Takaful IBB Utama dan Dar Takaful IBB 2.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman