B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Santap Malam Negara yang disembahkan pleh Presiden Republik Indonesia, Puan Yang Terutama Megawati Soekarnoputri
pada 8 April 2003 di Istana Negara, Jakarta.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan rasa terima kasih di atas undangan Ibu Presiden bagi saya membuat lawatan negara ini.

Undang ini merupakan satu penghormatan kepada saya, kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada Ibu Presiden dan rakyat Republik Indonesia atas sambutan dan layanan mesra yang diberikan kepada saya dan rombongan.

Lawatan kali ini sangat bererti kerana ianya memberikan peluang untuk mengukuhkan lagi persahabatan erat dan mesra yang sekian lama terjalin para pemimpin dan di kalangan rakyat kedua buah negara.

Lawatan ini pada hemat saya dapat membuka jalan bagi kita untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang baru di samping meningkatkan kerjasama yang sedia ada di pelbagai bidang. Ini termasuk pendidikan, pertahanan, kebudayaan dan kerjasama tenaga manusia.

Dalam bidang pertahanan, kedua negara kita mempunyai kerjasama yang erat.

Di bidang ekonomi pula, banyak peluang dan kerjasama yang dapat diterokai dan dimanfaatkan oleh kedua belah pihak. Dalam hal ini, saya berpendapat, pihak swasta kita boleh memainkan peranan penting dalam mengkaji peluang-peluang yang sedia ada.

Dalam konteks ini, saya ingin menyatakan bahawa sumbangan pekerja-pekerja Republik Indonesia kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam sungguh besar dan dihargai.

Kedua-dua buah negara kita juga bekerja erat dalam arena serantau dan antarabangsa. Ini termasuk ASEAN, APEC, OIC, NAM dan PBB.

Saya masih ingat peranan penting yang dimainkan oleh Republik Indonesia bagi kemasukan Negara Brunei Darussalam ke ASEAN pada tahun 1984 dan NAM pada tahun 1992.

Negara Brunei Darussalam amat menghargai sokongan dan penghormatan yang telah Republik Indonesia berikan.

ASEAN sekarang menghadapi era yang berlainan daripada zaman penubuhannya. Kerjasama dan persefahaman di kalangan negara-negara ASEAN perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan lagi untuk menjadikan ASEAN sebagai badan serantau yang relevan dan dihormati.

Ini penting bagi memastikan kestabilan, keamanan dan kemajuan rantau ini dapat terus dinikmati bersama.

Sejak penubuhan ASEAN, komitmen dan sokongan padu Republik Indonesia telah membawa kepada keutuhan dan perpaduan pertubuhan tersebut.

Saya yakin Republik Indonesia selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang pada bulan Oktober ini akan dapat mengetengahkan ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang dapat dicontohi.

Negara Brunei Darussalam akan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan Sidang Kemuncak ASEAN itu nanti berjalan dengan jayanya.

Mengimbas kembali dua tahun yang lalu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan penglibatan Ibu Presiden semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Negara Brunei Darussalam.

Keadaan hari ini membawa banyak makna untuk hubungan kita semestinya lebih dipererat. Cabaran-cabaran alaf baru adalah menjadi 'titik ukur' agar kewaspadaan itu seharusnya dipertingkatkan selalu.

Kita perlu kekal dalam hubungan silaturahim yang mesra dan telus, untuk kecemerlangan dan keselamatan bersama.

Dunia kita kini, sudah tidak mudah lagi untuk dimengerti. Disebabkan oleh nafsu yang besar, menjadikan kebenaran dan undang-undang tidak lagi berdaulat, maka melalui apakah lagi manusia ini dapat diselamatkan?

Kita selaku bangsa yang beragama dan berbudaya luhur, tetap konsisten dengan kebenaran dan keadilan. Di sinilah kita tegak serta berjuang untuk kemakmuran bangsa dan kemanusiaan sejagat.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Ibu Presiden di atas undangan ini.

Saya berharap, hubungan baik di antara negara dan bangsa kita akan terus diperluas demi kesejahteraan besama.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman