B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
Sempena Tahun Baru Hijrah 1426
9 Februari 2005


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Kita bersyukur kerana dapat pula menyambut Tahun Baru Hijrah 1426 dalam keadaan yang penuh sejahtera. Tidak ada nikmat yang lebih bererti dari nikmat sejahtera. Orang sejahtera adalah orang yang berbahagia. Tidak ada bahagia tanpa sejahtera. Sebab itulah, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengajar kita supaya berdoa memohon afiat, afiat di dunia dan afiat di akhirat. Afiat itu ertinya ialah sejahtera.

Lawan kepada sejahtera pula ialah segala macam kesulitan atau segala macam ketidaktenteraman. Peperangan, pergaduhan, jenayah, bala bencana dan pelbagai lagi rupa krisis dalam kehidupan, adalah semua itu penggugat atau pemusnah kepada kesejahteraan.

Oleh itu alhamdulillah, berkat komitmen kita kepada kebajikan dan amal takwa, maka Allah telah mengurniakan kita serta negara kesejahteraan yang sangat diidam-idamkan itu.

Marilah kita pelihara baik-baik kurnia ini dengan memberikan apa sahaja bentuk perhatian atau usaha yang boleh menjamin kelangsungannya.

Jika melihat urutan peristiwa sepanjang tahun 1425 yang baru sahaja kita tinggalkan, adalah dunia ini benar-benar meminta perhatian kita, supaya ianya tidak dibebani dengan 'hutang-hutang kejahatan' yang terjadi di sana sini, berupa peperangan-peperangan, pengganasan dan seumpamanya. Lain lagi yang terjadi bukan disebabkan oleh tangan manusia seperti bencana-bencana alam yang datangnya dengan semena-mena.

Paling mutakhir ialah bencana Tsunami. Ia seperti menutup lembaran tahun 1425 dengan suatu mesej penting, supaya manusia ini sedar bahawa kuasa Allah itu adalah melebihi daripada segala kuasa.

Inilah iktibar sepanjang zaman, kita janganlah mengabaikannya begitu sahaja.

Kita menolak sebarang 'pendapat celupar' yang tidak mengakui perkara ini datangnya daripada Allah. Kita umat yang beriman, jangan sekali-kali terpedaya dengan tanggapan yang sedemikian itu. Sepatutnya kejadian yang seperti ini akan lebih-lebih lagi menghampirkan kita kepada Allah dan mengakui serta menggeruni kuasa-Nya, bukan menolaknya.

Oleh itu, marilah kita menjadikan tahun 1426 ini sebagai tahun menerima kenyataan dan bahkan tahun keinsafan serta juga tahun untuk kita memutik segala iktibar daripada Allah sehingga janganlah ada lagi yang tercicir walaupun sedikit.

Kita tidak boleh memperkecilkan iktibar, kerana asasnya adalah luhur iaitu petunjuk. Dan petunjuk pula bukanlah datang dari siapa-siapa, melainkan ianya langsung dari Yang Maha Bijaksana jua.

Inilah caranya kita berfikir untuk memperolehi hikmah yang sangat berharga. Cara ini perlu ada jika benar kita ingin menjadi bangsa yang selamat dan bahagia.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan tulus ikhlas mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1426. Semoga kita semua beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dalamnya. Amin.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman