B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
sempena awal tahun Hijrah 1425
pada hari Sabtu malam Ahad, 1 Muharam 1425/21 Februari 2004.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kita ingati lagi. Ia telah berlalu sejak 1424 tahun yang lampau. Namun semangatnya tetap saja baru, tidak pernah dikaburi oleh zaman.

Mengapakah semangat hijrah itu tetap baru? Kerana ianya ada kaitan dengan aqidah, dengan usaha menegakkan aqidah.

Dalam aqidah, tidak ada yang boleh dipanggil lama atau baru. Semuanya adalah sama saja, menggunakan nama yang satu: Aqidah Islamiah. Bagaimana dahulu, itulah juga sekarang.

Orang-orang yang mencintai Islam memang memiliki semangat yang tidak pernah malap. Mereka seolah-olah masih bersama dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Lagipun Islam itu sendiri memang tidak akan kunjung padam, sekalipun terdapat usaha-usaha untuk memadamkannya.

Namun begitu, adalah lebih bermakna jika semangat itu disulam lagi dengan kesedaran, bahawa kita selaku bangsa tidaklah menolak sebarang perkembangan. Malah kita juga memahami apa ertinya perubahan yang membawa bersamanya pelbagai perkembangan dan budaya.

Perubahan amatlah cepat berlaku. Ia tidak menunggu siapa-siapa. Kadang-kadang daripadanya, orang boleh mendapat manfaat dan tidak kurang pula yang sebaliknya.

Jika tidak ada pedoman atau pemandu, orang boleh saja binasa dihanyutkan oleh perubahan itu. Kerana ramai yang menyangka bahawa perubahan adalah satu kuasa atau kekuatan yang tidak boleh ditolak-tolak. Kerana itu, orang yang tidak ada pegangan akan mudah saja menyerah membiarkan hidupnya diumbang-ambingkan oleh perubahan.

Padahal perubahan hanyalah merupakan hukum alam, ia berlaku dan akan berlaku, namun di tangan kita masih ada budi bicara untuk mengurus dan mengendalikannya.

Di sinilah ujian kebijaksanaan umat dalam menangani perubahan. Kita boleh saja berubah, tetapi perubahan itu biar membina, bukan perubahan yang meruntuh.

Perubahan yang membina ialah perubahan yang diredai oleh Allah, sementara perubahan yang meruntuh adalah perubahan yang dilaknat-Nya.

Kita yang sedia aman ini akan bertambah lagi aman, dan yang sedia makmur akan bertambah lagi makmur, jika sekiranya perubahan yang kita capai itu bersumber dari amal taqwa dan keimanan kepada Allah, selaras dengan janji-Nya di dalam Surah Al-A'raaf ayat 96 yang tafsirnya:

"Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya (yang turun dan muncul) daripada langit dan bumi ..."

Janji Allah ini sesungguhnya tidak berselisih. Pada lazimnya, keamanan hanya akan bergolak jadi huru-hara, dan kemakmuran hanya akan bertukar jadi kesempitan apabila berlakunya pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah di kalangan manusia.

Inilah sebenarnya cabaran untuk kita memasuki tahun baru ini, cabaran menghadapi perubahan-perubahan. Kita seharusnya tidak hanya pandai menerima dan menonton perubahan, tetapi juga mesti membawa dan menghasilkan perubahan, di mana bawaan dan ciptaan kita itu bertepatan dengan 'Calak Brunei Darussalam' yang merdeka, lagi adil serta taat berugama.

Insya-Allah, keselamatan dan kesejahteraan akan tetap berpihak kepada kita bagi jangka masa yang tidak terhad, sekiranya kita pandai membentuk dan menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan. Hendaknya kitalah yang menguasai perubahan, bukan perubahan yang menguasai kita.

Dunia dan budaya manusia tidak akan berhenti dari berubah, tetapi bukanlah semua perubahan itu bernama 'tamadun'. Ada perubahan yang membawa kepada keburukan. Dan perubahan seperti ini dapat disifatkan sebagai 'virus jahiliah'yang sangat membahayakan.

Oleh itu, beta berharap, tahun baru ini akan menguji kebijaksanaan serta kewibawaan kita untuk terus berwaspada terhadap perkembangan-perkembangan semasa, sehingga dengan itu dapatlah kita menapis serta mengenali mana-mana yang baik atau sesuai untuk kita dan mana pula yang tidak.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1425 dengan iringan doa, semoga rakyat beta, khasnya yang berugama Islam, mendapat taufik dan hidayat dari Allah dalam mengendalikan semua urusan kehidupan.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman