B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Para Profesional anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Buat julung-julung kalinya, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah mencetuskan satu idea untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan golongan profesional muda dari sektor kerajaan dan swasta. Idea ini beta sifatkan sebagai bagus yang patut diberikan pujian.

Perjumpaan di antara para profesional mempunyai erti yang tersendiri untuk memupuk persefahaman dan mencari kesamaan semangat. Mereka adalah golongan yang sentiasa diharap untuk membantu perlaksanaan rancangan-rancangan pembangunan negara. Malah mereka jugalah merupakan penerus kepada kepimpinan untuk masa depan.

Mengimbas keadaan negara kita di zaman awal era kemerdekaan 20 tahun yang lalu, kita adalah masih kekurangan di bidang tenaga manusia yang berkelayakan, maksud beta tenaga profesional. Namun ini tidaklah melemahkan kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama-sama dengan orang lain di arena serantau mahupun antarabangsa. Dengan tenaga yang kecil lagi kurang berpengalaman ini, alhamdulillah kita juga turut mampu untuk meneroka jalan-jalan kemajuan sepertimana juga orang lain melakukannya.

Kini, setelah 20 tahun merdeka, bilangan tenaga profesional telah pun bertambah dengan begitu membanggakan. Dengan ini, sudah barang tentulah, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang ini, mereka akan dapat membawa Negara Brunei Darussalam menikmati pertumbuhan-pertumbuhan yang lebih komprehensif di pelbagai bidang. Ini, bukanlah andaian kosong tetapi berdasarkan fakta di mana-mana juga tempat di dunia.

Bagi para profesional muda khasnya perlulah memahami bahawa keadaan tidaklah selamanya mantap, tidak pernah berubah. Perubahan biasanya datang tanpa mempedulikan sesiapa, sama ada ia baik untuk kita ataupun sebaliknya. Misalnya dalam dua dekad yang lalu, kita di negara ini juga telah tidak dapat lari dari turut merasakan bahang perubahan sosiopolitik dan ekonomi serantau mahupun antarabangsa. Kita juga ikut mengalami kebimbangan apabila meletusnya krisis ekonomi dan kewangan di rantau ini beberapa tahun sebelum berakhirnya abad yang lalu.

Dari krisis tersebut, kita dapat menyaksikan keadaan sosiopolitik yang tidak stabil di beberapa buah negara yang telah membangkitkan suasana tidak selamat atau tidak aman di kalangan mereka.

Semua ini, menjadi peringatan dan pelajaran yang berguna kepada kita, khasnya kepada para profesional muda, agar melihat semua permasalahan itu dengan mata dan fikiran celik serta kewaspadaan yang tinggi.

Kita juga tidak boleh leka dari mengikuti perkembangan dunia yang begitu cepat, dengan kemajuan sains, teknologi dan komunikasi. Kemajuan ini secara drastik telah merubah sebahagian cara hidup dan juga beberapa tatacara, termasuk tatacara bekerja dan bertindak. Segala-galanya ini memberi kesan kepada kehidupan kita dalam keluarga dan juga kehidupan bernegara secara keseluruhan.

Oleh kerana kita tidak dapat menghindarkan diri daripadanya, maka mahu tidak mahu memerlukan kita mesti mempunyai persediaan, agar kita tidaklah hanyut begitu saja dibawa oleh arus perubahan globalisasi itu. Kita mesti punya pegangan untuk dipegang serta acara dasar untuk memandu kita mengikut hala tuju.

Hala tuju itu mungkin saja tidak sama dengan hala tuju orang lain, kerana perbezaan-perbezaan environment sosiopolitik. Ini juga sangat mustahak diambil kira, bukan atas asas 'cita rasa', tetapi prinsip yang sesuai yang selama ini menolong kita untuk mencapai kemakmuran dan keselamatan.

Dalam hubungan ini, ajaran agama Islam telah dikenal pasti menjadi 'suluh keramat' yang menyampaikan kita kepada cita-cita besar: kehidupan sejahtera, adil lagi makmur serta aman damai.

Agama Islam telah menanam kepada bangsa kita segala nilai-nilai murni yang kita gunakan untuk mewujudkan masyarakat bersatu padu, yang taat kepada ketua, pemedulian, hormat-menghormati serta pengasihan terhadap sesiapa yang patut dikasihani.

Ia telah menjadi ciri masyarakat kita, yang menjadikannya masyarakat tidak camah mata terhadap nasib orang lain yang memerlukan bantuan. Insya-Allah, kita akan pertahankan ciri yang diredai oleh Allah ini, dengan menghulurkan apa-apa yang patut kepada mereka yang layak dibantu, seperti mangsa-mangsa kejadian alam, anak-anak yatim dan lain-lain.

Selain untuk di dalam, maka keprihatinan kita juga turut mengimbau ke luar terhadap nasib malang orang-orang Islam di luar negara, seperti di Kampuchea, Iraq dan Palestin. Kita yakin dengan derma-derma ikhlas ini, Allah Taala akan menggantikannya dengan kemakmuran yang berpanjangan lagi berlipat ganda bagi negara kita, insya-Allah.

Beta berharap, para profesional muda akan dapat menyeluk hasrat ini, untuk bagaimana sama-sama dapat memberikan perkhidmatan sukarela dalam bentuk-bentuk yang sesuai dengan kepakaran masing-masing, tidak mestilah dalam bentuk mata benda, tetapi mungkin nasihat atau tunjuk ajar bagi meningkatkan kemahiran atau menambahkan pendapatan masyarakat yang berhajat.

Dalam hal ini, beta gembira, bahawa salah satu dari pendekatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk, maka YSHHB telah mengambil langkah menerusi perlaksanaan rancangan-rancangan dan projek-projeknya dengan membentuk perkongsian yang berkesan (effective partnership) dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Maka ke arah ini, pada hemat beta, para profesional muda jika mereka mahu, boleh saja tampil menjadi 'strategic partner' kepada yayasan beta itu.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman