B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1424 Hijrah/2003 Masihi.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Hari Raya yang dinanti-nanti datang lagi. Sementara Ramadan pula telah berlepas meninggalkan kita.

Maka berbaurlah perasaan: Di antara gembira dan pilu. Kita bergembira kerana kedatangan Hari Raya, sementara bersedih kerana Ramadan telah meninggalkan kita.

Lambaiannya amatlah memilukan, kerana setahun lagi barulah kita akan dapat bertemu dengannya insya-Allah. Marilah kita sama-sama berdoa:

"Ya Allah, pinjamilah kami umur, untuk bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang, supaya dapatlah kami mengaut pula laba daripadanya, iaitu laba pahala daripada keberkatan dan keutamaannya."

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Di negara kita alhamdulillah, Hari Raya membawa mesej kebahagiaan dan keamanan. Kita mestilah bersyukur di atas situasi ini. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan ramai di antara warga dunia daripada kalangan saudara-saudara kita yang seagama yang tidak mempunyai peluang untuk menikmati keamanan dan kebahagiaan itu.

Bagaimanakah mungkin untuk mengecapi keamanan, sedangkan peperangan dan kekacauan terus melanda, ekonomi runtuh dan struktur masyarakat binasa kerananya?

Inilah hakikat yang sedang dialami oleh umat Islam di beberapa tempat di bahagian dunia ini, yang mahu tidak mahu telah turut mencuit perasaan kita.

Kalau di sini kita cukup segala-galanya, tetapi di sana mungkin saja untuk membeli roti pun mereka susah. Kalau di sini kita tenang, selesa dan aman duduk di masjid, tetapi di sana, di masjid pun perasaan belum tentu aman, kerana kekacauan mungkin saja meletus pada bila-bila masa.

Begitulah gambaran umum sekarang, yang turut mewarnai keadaan dan persekitaran sebahagian umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Pada mereka itu tidak ada 'Assakeenah' atau ketenangan disebabkan oleh pergolakan yang terpaksa dilalui, sama ada ia berpunca daripada diri sendiri mahupun yang datang dari luar, berupa bentuk-bentuk penjajahan yang tidak diundang.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sebenarnya, semua warga dunia, sama ada yang beragama Islam ataupun tidak, patutlah berazam untuk memperbaiki keadaan. Perubahan mesti dibuat ke arah lebih menitikberatkan keamanan sejagat, supaya dapat meneruskan penghidupan dengan lebih bermakna tanpa gangguan.

Demikianlah, kita turut berharap, semoga landskap politik dunia akan segara memaparkan perkembangan dan perubahan yang lebih telus supaya semua pihak dapat bebas untuk menumpukan usaha masing-masing dalam membangun dan memperbaiki diri sendiri.

Bagi Islam telah pun menyediakan landasan, sebagaimana dunia ini mesti dibina berdasarkan perkenalan dan persefahaman. Tidak ada satu pengisytiharan yang lebih lunak daripada pengisytiharan Allah, apabila Dia berfirman, maksudnya:

"... Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain). Namun, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling banyak taqwanya di antara kamu." (Al-Hujuraat ayat 13).

Ini dia ketetapan Allah. Jika seluruh dunia ini memakai dan mengamalkannya, nescaya tidaklah akan ada pergaduhan, tidaklah akan wujud cerita-cerita peperangan, pencerobohan dan penindasan di kalangan negara-negara dan umat Islam.

Pada hari dan bulan yang mubarak ini, kita berdoalah, semoga umat Islam di seluruh dunia akan diberkati serta mendapat perlindungan daripada Allah. Mana-mana yang berada di dalam kemelut, mereka itu hendaknya akan beransur pulih untuk menjalani kehidupan biasa dengan penuh selesa dan sejahtera.

Adapun kita di negara ini, yang sedang menerima kemakmuran dan keamanan, janganlah sekali-kali lupa untuk menggunakannya di jalan kebajikan, kerana kebajikan itulah tanda syukur yang sebenar-benarnya.

Barangsiapa yang bersyukur dengan nikmat Allah, maka akan kekallah nikmat itu dan bahkan akan ditambah lagi. Tetapi bagi siapa yang tidak bersyukur, maka azab Allahlah yang menunggunya. Di antara azab Allah itu ialah kehilangan nikmat itu sendiri.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sebagai mengakhiri, beta dan keluarga beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana juga mereka berada. Semoga Allah Subhanahu Wataala jua yang akan merahmati serta meredai kita semua.

Amin.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(c) Istana Nurul Iman