B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat
di Majlis Perasmian Pameran Habitex 2003 dan Hari Pelanggan Perumahan di Dewan Serbaguna, Tingkat 2, Bangunan Jabatan Kemajuan Perumahan
pada hari Isnin, 6 Oktober 2003

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pameran Habitex 2003 dan Hari Pelanggan Perumahan kerana sudi menjemput saya sebagai tetamu kehormat dalam majlis pagi ini.

Semua negara, kecil dan besar, bersifat 'developed' atau 'developing nation' mempunyai hasrat dan matlamat negara, antara lain untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat dan penduduknya. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dalam hal ini. Penyediaan perumahan bagi semua rakyat dan penduduk yang berkelayakan adalah penumpuan atau tugas utama Jabatan Kemajuan Perumahan.

Pada masa ini kita tidak boleh menyangkal kenikmatan kehidupan yang baik pada keseluruhan sebagai seorang anak, seorang pegawai dan sebagai seorang rakyat biasa bagi Negara Brunei Darussalam. Negara Brunei Darussalam pada masa ini dari segi sosial, ekonomi, keamanan, politik dan pembangunan adalah di tahap yang baik dan aman jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Jangan sekali-kali kita menyangka bahawa kenikmatan kehidupan rakyat, keluarga, masyarakat dan negara yang ada pada masa ini datang begitu saja tanpa perancangan dalam erti kata yang luas.

Generasi dan 'leadership' yang lepas, dan sekarang telah dapat menentukan keselesaan kehidupan yang ada pada masa ini. Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya juga banyak menyumbang bakti dalam keselesaan kehidupan ini. Jabatan Kemajuan Perumahan khususnya telah banyak menyumbang atas keselesaan dan keadaan pada masa ini.

Generasi dan 'leadership' pada masa ini yang diterajui oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan meneruskan peranan dan menjalankan tanggungjawab tersebut supaya keselesaan dan kemakmuran negara dan rakyat dikekalkan di tahap yang ada pada masa ini atau lebih baik di masa akan datang.

Walaupun demikian, kita juga perlu menerima hakikat dan kenyataan bahawa kita sekarang berada di dalam era yang penuh cabaran, pelbagai masalah dan persaingan yang perlu dan wajib kita takluki, tangani dan hadapi dalam arus dan perjalanan kehidupan kita sebagai rakyat, kakitangan kerajaan, orang biasa dan sebagai negara di masa akan datang. Keadaan di masa akan datang adalah susah untuk ditentukan. Apa yang nyata dan tentu adalah perubahan. Kita hidup dalam sebuah dunia yang senantiasa berubah. Peristiwa yang berlaku di luar negara boleh menggugat kita sebagaimana ia telah menggugat kita masa lalu. Tidak ada sesuatu yang pasti. Bangsa Brunei seharusnya dan sewajibnya tidak takut atau bersedia terhadap perubahan yang datang. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain menyara hidup kita, kita terpaksa berusaha menyara kehidupan kita sendiri, bangsa Melayu dan bangsa Brunei. Saya berpendapat kita tidak perlu bimbang dan khuatir, asalkan negara mempunyai 'quality' leadership dan disambut oleh 'quality' masyarakat Brunei.

Alhamdulillah, saya rasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia juga Jabatan Kemajuan Perumahan sekali lagi dapat mengungkayahkan program Pameran Habitex 2003 yang disempurnakan dengan Hari Habitat Sedunia yang mana jatuh pada setiap hari Isnin pertama di bulan Oktober setiap tahun dan saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Perumahan.

Dalam Pameran Habitex 2003 kali ini, saya telah difahamkan bahawa beberapa syarikat akan mengambil bahagian dan seterusnya mempamerkan barang-barang dan bahan-bahan binaan termasuk hiasan dalaman bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan bahan-bahan binaan dan hiasan terkini yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Di samping itu juga saya difahamkan pada kali ini Jabatan Kemajuan Perumahan akan mengungkayahkan kempen kebersihan di kawasan Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan yang juga disempenakan dengan Hari Habitat Sedunia pada tahun ini yang akan melibatkan penduduk-penduduk kampung dan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk Jabatan Bandaran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pameran Habitex yang akan kita saksikan sebentar lagi adalah di antara program Jabatan Kemajuan Perumahan untuk memperingati Hari Habitat Sedunia. Saya sangat berbesar hati dan mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada para peserta Pameran Habitex 2003 kerana telah melibatkan diri dalam sama-sama menjayakan program ini.

Dengan melafazkan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Habitex 2003 dan Hari Pelanggan Perumahan bersempena Hari Habitat Sedunia pada hari ini.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Development