B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam
di Majlis Pembukaan Rasmi Perkhemahan Damai Antarabangsa 2003 yang dianjurkan oleh Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam
pada 2 September 2003
di Hotel Orchid Garden, Berakas.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BETA ucapkan terima kasih atas undangan awda ke majlis ini pada hari ini.

Beta amat berbesar hati mengalu-alukan awda sekalian ke Negara Brunei Darussalam.

Tahun ini sememangnya merupakan satu penghormatan yang tinggi bagi Persatuan Pandu Puteri selaku tuan rumah Perkhemahan Damai Antarabangsa.

Sejak penubuhan Pandu Puteri hampir seratus tahun lalu di United Kingdom, dunia telah melihat begitu banyak perubahan, kemajuan, pembangunan malahan menyedihkan sekali kacau-bilau.

Pada hari ini, kita dapati diri kita ini mendiami dunia yang jauh dari keamanan, namun ianya juga dunia yang mempunyai begitu banyak potensi untuk membantu begitu ramai orang.

Dalam hubungan ini, misi bagi Pandu Puteri, 'untuk membolehkan para gadis dan wanita muda untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya selaku warga dunia yang bertanggungjawab' jelas membawa pengertian yang signifikan.

Beta percaya bahawa tema semasa 'Hak dan Tanggungjawab' yang telah diamalkan oleh Persatuan Pandu Puteri Dunia dan Pengakap Perempuan, adalah juga amat bererti sekali. Bukan hanya kepada gadis dan wanita muda, bahkan juga kepada kanak-kanak dan orang dewasa pada keseluruhannya.

Hak kanak-kanak dan golongan muda kerap tidak diperhatikan malah tidak dihiraukan, adakalanya dengan senghaja sedangkan di waktu yang lain adalah disebabkan golongan muda ini menyampaikan sesuatu dengan cara yang bersahaja tanpa sebarang niat buruk.

Dengan cara mereka yang begitu bersahaja dan suci murni, yang seharusnya menarik perhatian kita untuk mendengarkan pandangan mereka.

Kerapkali pandangan mereka adalah suara kesedaran sosial, suara yang menggambarkan moral serta kemanusiaan yang terbendung disebabkan oleh cara hidup moden kita yang sibuk.

Justeru itu beta amat gembira mendapat tahu bahawa Pandu Puteri mempunyai suara di peringkat antarabangsa, dalam bentuk wakil W.A.G.G.S Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam tahun 1990, Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak atau CRC dikuatkuasakan. Antara lain konvensyen mengiktiraf bahawa kanak-kanak hendaklah diberikan perlindungan serta bantuan yang perlu agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dalam masyarakat sepenuhnya.

Kovensyen juga mengakui peranan penting keluarga bagi perkembangan kanak-kanak yang sihat dan harmoni.

Negara Brunei Darussalam menyertai CRC pada bulan Januari 1996 di mana sejak itu kami telah menggubalkan undang-undang bagi melindungi nilai-nilai keluarga, kanak-kanak, ibu-ibu, isteri-isteri serta kaum wanita pada umumnya.

Beta yakin sebagaimana yang awda sekalian saksikan dalam beberapa hari perkhemahan di Negara Brunei Darussalam ini, hubungan keluarga dan nilai-nilai keluarga merupakan rukun penting dalam masyarakat kami. Kami menganggap kanak-kanak terutama sekali sebagai hadiah yang amat berharga yang seharusnya dipelihara, dibelai dan dijaga dengan baik.

Ini adalah salah satu sebab utama Pandu Puteri dan nilai-nilai yang hendak ditanamkan di kalangan anggota mudanya, sentiasa mendapat tempat di Negara Brunei Darussalam.

Mengembangkan kerja berpasukan, yakin pada diri sendiri serta menjaga dan bertanggungjawab terhadap kebajikan orang lain, merupakan antara ciri-ciri utama prinsip-prinsip Pandu Puteri, di mana beta menyerahkan kepada awda sekalian bukan hanya mengamalkan segala prinsip ini, bahkan juga mengepalai serta memimpin dengan teladan.

Beta mengucapkan selamat sejahtera dengan harapan agar sepanjang tempoh perkhemahan, awda sekalian berupaya menyumbang, sekalipun dengan cara paling kecil sekali, untuk mengeratkan lagi masyarakat dunia dalam perkongsian yang damai, persahabatan serta saling menghormati.

Sementara awda sekalian berada di sini, beta juga berharap agar awda sekalian berpeluang melawat beberapa tempat menarik serta kenal-mengenali rakyat kami dan cara hidup kami.

Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, beta dengan sukacita mengisytiharkan pembukaan rasmi Perkhemahan Damai Antarabangsa Brunei Darussalam.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman