B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


TITAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
di Majlis Penganugerahan ijazah Doktor Kehormat Dalam Jurusan Kemanusiaan dan Kebudayaan oleh Universiti Gadjah Mada
pada 9 April 2003.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

ALHAMDULILLAHI Rabbil 'Aalameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Saya merasa gembira kerana dapat hadir di majlis seperti ini yang diberikan oleh sebuah universiti terkemuka di Republik Indonesia.

Universiti Gadjah Mada bukan sahaja dikenali dengan pusat ilmu dan ahli cendekiawan yang dilahirkan, malah juga atas sumbangan yang diberikannya kepada hampir semua aspek kehidupan rakyat republik ini.

Usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh universiti ini sejak penubuhannya pada tahun 1949 telah menghasilkan graduan-graduan berwawasan dan mempunyai kemahiran ilmu yang tinggi serta kepimpinan yang dinamik.

Universiti ini juga berjaya dalam usaha bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan pembangunan bangsa republik ini.

Ianya antara lain berasaskan kepada satu pegangan yang kita semua maklum bahawa pembangunan sesebuah negara itu banyak bergantung kepada kemahiran dan taraf pendidikan rakyatnya.

Pendidikan merupakan asas utama kepada pelaburan sumber tenaga manusia yang mana hasilnya dapat dinikmati secara berterusan.

Oleh itu, tanpa ilmu dan kemahiran, sesebuah negara itu tidak mungkin akan mencapai sebarang kemajuan yang bererti.

Ijazah kehormat yang dianugerahkan ini adalah satu penghormatan kepada diri saya dan juga seluruh rakyat Negara Brunei Darussalam.

Ianya merupakan satu lagi ikatan terhadap persahabatan yang sudah sekian lama terjalin di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Selain dari itu, sebagai jiran, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia, sentiasa berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan yang erat di antara kita dan terus melangkah maju dalam menghadapi setiap cabaran.

Saya merasa gembira dengan hubungan yang baik di antara Universiti Gadjah Mada dan Universiti Brunei Darussalam.

Dalam konteks ini saya dengan sukacita mengalu-alukan pelajar-pelajar Republik Indonesia untuk melanjutkan pengajian mereka dalam beberapa bidang di institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

Kedua-dua universiti ini diharap akan dapat meningkatkan lagi kerjasama yang sedia ada di peringkat ijazah dan lepasan ijazah termasuk penyelidikan demi kepentingan bersama.

Saya percaya faedah-faedah dari kerjasama ini akan dapat kita manfaatkan bersama dalam semua bidang.

Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas penganugerahan ini.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Istana Nurul Iman