B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Md. Zain
di Majlis Perjumpaan Dengan Amil-amil Seluruh Negara Mengenai Projek Mengemaskinikan Senarai Fakir Miskin Majlis Ugama Islam Brunei
pada 1 Safar 1424/ 3 April 2003
di Dewan Persidangan Pusat Da'awah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SEGALA puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wataala, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Kementerian Hal Ehwal Ugama berhasrat akan mengemaskinikan daftar fakir miskin yang dipakai sekarang ini oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) khasnya bagi faedah-faedah pengagihan wang zakat.

Dalam daftar tersebut, terdapat seramai 3,961 orang fakir miskin, iaitu 3,089 ketua keluarga dan 872 tanggungan. Mereka itu semuanya menerima agihan wang zakat yang dibahagikan sebelum Hari Raya dan juga akhir tahun Masihi.

Tujuan pengagihan sebelum Hari Raya itu ialah bagi menepati kehendak syarak supaya fakir miskin tersebut dapat bersama-sama bergembira menyambut kedatangan Hari Raya. Agihan yang kedua iaitu pada akhir tahun Masihi adalah bertujuan untuk membantu fakir miskin itu bagi menyediakan keperluan-keperluan persekolahan anak-anak dan tanggungan mereka yang bersekolah.

Dari jumlah 3,961 fakir miskin itu, terdapat seramai 927 orang iaitu 274 ketua keluarga dan 653 tanggungan yang menerima bantuan bulanan; sama ada berupa bantuan wang tunai, mahupun bantuan keperluan asasi iaitu barang-barang makanan dan minuman sehari-hari.

Keperluan bagi mengemaskinikan daftar fakir miskin tersebut antaranya disebabkan oleh:

Akhir-akhir ini terdapat dalam surat-surat khabar tempatan mengenai dengan berita orang-orang yang hidup dalam kesusahan dalam berbagai-bagai aspek, sama ada kesusahan dari segi perbelanjaan bagi menyara kehidupan keluarga, persekolahan anak-anak mahupun tempat tinggal, yang mana mereka itu memerlukan bantuan.

Di samping itu terdapat juga orang-orang yang menulis surat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama dan MUIB. Mereka memohon bantuan kewangan dan sebagainya kerana desakan kehidupan dan kesusahan yang mereka hadapi.

Perjumpaan kita hari ini, dihadiri oleh amil-amil kerana Kementerian Hal Ehwal Ugama berhasrat akan menerangkan rancangan bagi mengemaskinikan daftar fakir miskin tersebut dan menerangkan cara-cara perlaksanaannya.

Sebagai langkah awal Kementerian Hal Ehwal Ugama telah meminta nasihat daripada pihak Universiti Brunei Darussalam dari segi kepakaran mereka, terutama dalam menyediakan borang-borang yang bersesuaian bagi kegunaan tersebut.

Alhamdulillah pihak Universiti Brunei Darussalam telah bekerjasama dan bermurah hati memberikan nasihatnya sehingga borang-borang yang dikehendaki itu dapat disediakan dengan baiknya. Borang-borang tersebut mengandungi perkara-perkara yang perlu diisi oleh ketua-ketua keluarga fakir miskin yang berkenaan. Borang-borang itu dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut warna seperti berikut, walaupun isi dan kandungannya adalah sama.

Warna putih - bagi orang-orang yang namanya belum termasuk dalam daftar fakir miskin di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Warna kalas - bagi fakir miskin yang namanya termasuk dalam daftar berkenaan, sama ada mereka itu menerima bantuan bulanan seperti kewangan, keperluan makanan asasi, bayaran sewa rumah dan lain-lain. Mereka ini perlu biskita berikan borang yang berwarna kalas ini, bagi tujuan untuk memastikan adakah mereka itu masih lagi dalam keadaan susah yang perlu diberi bantuan bulanan secara berterusan atapun sebaliknya.

Warna kuning - bagi penerima-penerima bantuan menjelang Hari Raya dan akhir tahun sahaja, mereka itu bukan penerima bantuan bulanan. Mereka ini perlu diberi borang yang berwarna kuning bagi mengenal pasti adakah mereka ini benar-benar tergolong dalam kategori fakir miskin atau sebaliknya.

Dalam melaksanakan usaha bagi mengemaskinikan daftar fakir miskin yang sedia ada melalui pembahagian borang-borang kepada mereka yang dinyatakan tadi, biskita perlu mendapatkan kerjasama daripada pihak-pihak yang difikirkan boleh memberikan kerjasama kepada biskita. Pihak-pihak itu umpamanya:

Jawatankuasa Takmir Masjid, Jawatankuasa Perundingan Kampung dan Belia-belia Masjid.

Tenaga-tenaga mereka itu dapat membantu tugas-tugas biskita seperti menyiasat, meneliti dan mengenal pasti orang-orang yang susah yang termasuk dalam kategori fakir miskin di kampung atau mukim biskita, dan saya percaya mereka itu juga boleh menyampaikan borang-borang tersebut kepada fakir miskin yang mereka kenal pasti, bahkan mungkin mereka sudi bagi membantu mengisikan borang-borang tersebut.

Borang-borang yang telah diisi sesudah biskita periksa dengan sempurnanya biskita serahkan kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab mengenai zakat di daerah masing-masing dan satu salinan biskita simpan. Pegawai tersebut akan meneliti semula borang-borang itu dan akan mengadakan penyiasatan lanjut dan membuat sokongan-sokongan untuk dihadapkan kepada Jawatankuasa Meneliti di daerah-daerah dan hasilnya akan diedarkan kepada Unit Kutipan dan Agihan Zakat MUIB untuk dihadapkan kepada Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat MUIB.

Dalam kesempatan ini, saya ingin menyentuh mengenai dengan pengagihan kumpulan wang zakat. Zakat itu diagihkan kepada asnaf-asnaf yang ditentukan, di antaranya kepada fakir miskin berdasarkan hajat dan keperluan mereka. Sebenarnya manusia berhajat dan memerlukan enam perkara yang asasi iaitu:

Perlindungan atau tempat tinggal (rumah):
Perkara ini merangkumi perbelanjaan bagi menyediakan tempat tinggal untuk seisi keluarga termasuk bayaran sewa rumah, bil elektrik, bil air dan yang bersangkutan dengan keperluan asas sesebuah keluarga bagi sebuah rumah atau tempat tinggal.

Makanan dan minuman:
Iaitu bahan makanan dan minuman asasi yang dimakan dan diminum oleh ahli rumah iaitu keperluan asasi mereka mengikut pemakanan yang sihat lagi seimbang.

Pakaian:
Pakaian biasa yang lazim digunakan seperti pakaian harian, pakaian sekolah dan pakaian-pakaian lain mengikut keperluan dan kesesuaian.

Perubatan dan kesihatan:
Termasuk bayaran pemeriksaan, rawatan kesihatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Pendidikan dan pelajaran:
Keperluan pendidikan dan pelajaran asasi termasuklah perbelanjaan buku-buku, alat tulis, yuran, bayaran peperiksaan dan sebagainya.

Pengangkutan atau perhubungan:
Perbelanjaan yang berkaitan dengan keperluan pengangkutan atau perhubungan seperti sewa kereta, tambang atau sewa seperti teksi, bas, perahu dan sebagainya.

Keenam-enam hajat dan keperluan yang dinyatakan tadi menjadi bahan perbincangan dan penilaian Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat untuk menimbangkan dan memutuskan sesuatu permohonan bantuan.

Atas asas-asas tersebut, Kumpulan Wang Zakat antaranya telah diagihkan kepada fakir miskin seperti berikut:

Mengenai perlindungan dan tempat tinggal, pada tahun 2002 yang lalu wang zakat telah dikeluarkan kepada:

a. Seramai 69 keluarga telah diberi bantuan bayaran sewa rumah, yang kesemuanya berjumlah $270,490.00.

b. Satu keluarga diberi bantuan membina rumah iaitu berjumlah $20,000.00.

c. Satu keluarga diberi bantuan membeli rumah iaitu sejumlah $11,000.00.

d. Satu keluarga diberi bantuan menyiapkan rumah iaitu berjumlah $12,000.00.

e. Satu keluarga diberi bantuan membaiki rumah termasuk pendawaian elektrik berjumlah $17,535.00.

f. Enam keluarga diberi bantuan bayaran bil air yang tertunggak berjumlah $7,993.82.

g. Tujuh keluarga diberi bantuan bayaran bil elektrik yang tertunggak berjumlah $15,140.20.

Kesemua bantuan tersebut adalah berjumlah $354,159.02.

Bantuan makanan dan minuman, pada tahun 2002 seramai 77 keluarga fakir miskin telah diberikan bantuan makanan dan minuman asasi bagi menjamin mereka itu sentiasa mendapat makanan dan minuman bagi kehidupan mereka sehari-hari. Kesemuanya berjumlah sebanyak $57,960.00.

Bantuan-bantuan yang lain termasuklah:

a. Kepada mangsa-mangsa kebakaran dan bencana alam, pada tahun 2002, seramai 1,011 orang yang menerimanya, di mana mereka ini diberikan bantuan kewangan serta-merta dan keperluan persekolahan bagi anak-anak mereka termasuklah pakaian, buku-buku, alat tulis, kasut, beg dan sebagainya. Kesemuanya berjumlah sebanyak $141,702.46 ($105,300.00 berupa bantuan wang tunai dan $36,402.46 bagi bantuan peralatan dan keperluan sekolah).

b. Fakir miskin yang menerima zakat sebelum Hari Raya dan akhir tahun 2002 Masihi berjumlah 3,951 orang dengan jumlah zakat yang diagihkan kepada mereka adalah berjumlah $3,264,850.00 (tiga juta dua ratus enam puluh empat ribu lapan ratus lima puluh ringgit).

Di samping itu dalam tahun 2002, bantuan juga dihulurkan kepada fakir miskin yang ingin berusaha dalam berbagai-bagai bidang untuk meningkatkan tahap kehidupan mereka. Bantuan-bantuan yang antaranya adalah:

a. Bantuan modal perniagaan secara kecil-kecilan berjumlah $2,980.00.

b. Bantuan keperluan menangkap ikan termasuklah perahu, enjin, trailer dan perkakas-perkakas menangkap ikan dan peralatan enjin dan perahu tambang berjumlah $19,439.00.

c. Peralatan pertanian termasuklah mesin membajak tanah, baja dan sebagainya berjumlah $528.00.

d. Peralatan mesin jahit berjumlah $3,603.00.

e. Peralatan pertukangan secara kecil-kecilan berjumlah $2,091.00.

f. Peralatan membuat makanan seperti gas, tambak, kuali, minyak, tepung dan sebagainya berjumlah $1,550.00.

g. Peralatan mesin memotong rumput berjumlah $900.00.

Jumlah bantuan yang dikeluarkan dalam perkara-perkara tersebut sepanjang tahun 2002 berjumlah $31,091.00.

Alhamdulillah, bantuan-bantuan seumpama ini dapat mendorong fakir miskin dan keluarganya untuk berusaha bagi meningkatkan dan memperbaiki tahap kehidupan mereka kepada suatu tahap yang lebih baik dan merupakan usaha bagi melepaskan diri mereka daripada belenggu kesusahan dan kemiskinan. Sehingga ada sebahagian mereka mampu memperolehi pendapatan yang agak lumayan dan mereka itu tidak lagi mengharapkan apa-apa bantuan daripada MUIB. Permohonan bantuan seumpama ini sangatlah dialu-alukan kerana mereka benar-benar mempunyai keinginan dan kemahiran bagi menjalankan usaha yang mendatangkan hasil mengikut bidang masing-masing.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga bantuan yang diberikan tetapi kurang mendatangkan kesan yang baik kepada penerimanya kerana bantuan itu tidak digunakan atau tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Misalnya MUIB pernah memberi bantuan mesin jahit kepada seorang supaya penerima dapat menggunakannya bagi mengambil upah menjahit pakaian dan sebagainya, tetapi penerima tidak menggunakannya dengan sebaik-baiknya, sebaliknya mesin tersebut dijualnya untuk kepentingannya yang lain. Perkara ini sangat-sangat mendukacitakan.

Demikian juga pada suatu ketika dulu, MUIB telah memberikan bantuan perahu tambang kepada seorang pemohon bagi tujuan supaya ia dapat mencari pendapatan dengan menambang di Kampong Ayer. Ia tidak mengusahakan apa yang telah diberikan itu, sebaliknya ia telah menjual enjin dan perahu tambang itu untuk keperluan dan kepentingannya yang lain.

Sebenarnya bantuan yang berupa kemudahan dan peralatan yang menjurus kepada menggalakkan orang-orang yang menerimanya berusaha dengan titik peluh mereka sendiri secara berdikari bagi memperolehi penghasilan dan pendapatan adalah lebih menepati dengan kehendak sebagai usaha bagi melepaskan diri dari kehidupan yang susah dan menderita.

Agihan-agihan yang saya nyatakan tadi adalah Kumpulan Wang Zakat yang dikeluarkan kepada Asnaf Fakir Miskin sahaja dalam tahun 2002 Ma- sihi iaitu sebanyak $4,542,598.55 yakni tidak termasuk agihan-agihan yang diberikan kepada asnaf-asnaf yang lain iaitu muallaf, amil, al-gharimin dan ibnu sabil.

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya mohon kerjasama biskita semua supaya dapat mengungkayahkan dengan sebaik-baiknya projek mengemaskinikan daftar fakir miskin melalui borang-borang yang diedarkan dan borang-borang itu hendaklah dikembalikan kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab mengenai zakat di daerah masing-masing pada penghujung bulan April ini. Mudah-mudahan usaha yang berkebajikan ini akan berjalan dengan lancar dan diredai oleh Allah Subhanahu Wataala dan kita semua sentiasa mendapat taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wataala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.