B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
YANG BERHORMAT PEHIN ORANG KAYA PEKERMA LAILA DIRAJA DATO PADUKA AWANG HAJI HAZAIR BIN HAJI ABDULLAH, SETIAUSAHA TETAP JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS PELANCARAN EDC PMONET, JABATAN PERDANA MENTERI.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahhirrahman Nirrahim

Segala puji bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Salallahi ‘Alaihi Wassalam, kaum kerabat, para sahabat dan juga pengikut-pengikut Baginda yang jujur lagi setia hingga ke akhir zaman.

Yang Mulia Pengerusi Majlis, Yang Mulia Rakan sejawat Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-Pengarah serta hadirin sekalian.

Alhamdulillah hari ini Jabatan Perdana Menteri melangkah setapak lagi lebih dekat ke arah perlaksanaan sepenuhnya PMONet projek di bawah rancangan e- Kerajaan dengan pelancaran infrastruktur dan kemudahan EDC (Enterprise Data Center) yakni Pusat Data serta PMO online di tiga lokasi Jabatan Perdana Menteri iaitu di Jalan Tutong, Bangunan Sekretariat serta Unit Pengangkutan di Berakas. Pelancaran pada hari ini juga sebagai tanda simbolik dalam mana kita telah memecahkan tembok kaca perjalanan e-Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri, yakni ”we have broken the glass ceiling”.

PMONet, insyaAllah, akan menjudi tunggak utama dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan dibawahnya. Kesan signifikan dari perkembangan ini ialah, Jabatan Perdana Menteri secara siber (cyber) telah mula merentas ruang jarak dan waktu dalam berinteraksi antara satu sama lain baik secara inter ataupun intra di dalam Jabatan Perdana Menteri dan dengan jabatan-jabatan serta agensi di bawahnya.

Secara menyeluruh dan meluas adalah menjadi matlamat Jabatan Perdana Menteri melalyui PMONet, untuk memberkesankan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan-pelanggannya dalam bentuk rangkaian – Kerajaan dengan Kerajaan; Kerajaan dengan Business; dan Kerajan dengan Orang Ramai atau Citizen.

Sebagai satu migrasi yang mempunyai perjalanan yang jauh, Projek PMONet ini masih berada di hari-hari awal perjalanan yang sudah barang setentunya akan berhadapan dengan rintangan-rintangan dan cabaran disepanjang perjalanan itu nanti.

Rintangan utama yang perlu ditangani secara tegas dan berkesan diperingkat awal ini ialah penghijrahan budaya kerja dari manual kepada menggunakan kemudahan ICT. Mindset kita yang terikat dengan cara bekerja yang lama memerlukan perubahan. Ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi kita tidak mempunyai pilihan yang lain selain daripada komited untuk melakukannya dengan secepat mungkin dalam waktu yang sengkat, serta penuh azam dan tekad daripada semua pihak. Natijah yang akan kita hadapi, ialah jika ia tidak dilakukan dengan azam yang kuat serta secara keseluruhan, perjalanan kita ini pasti akan memakan masa yang lebih lama lagi.

Dalam waktu yang sama, tidak dinafikan ekspektasi orang ramai terhadap perkhidmatan awam semakin meningkat sejak diumumkan program e-Kerajaan. Tidak kurang juga ianya diterima dengan penuh skeptikal. Ekspektasi dan skeptikal inilah yang menjadi cabaran dan pendorong utama kepada kita dengan membuat persiapan dan melengkapkan diri dengan kefahaman dan kemahiran yang diperlukan. Kerana sepertimana yang kita sama-sama maklumi, kejayaan besar pelaksanaan e-Kerajaan bukanlah bergantung kepada hardwares dan softwares tetapi bergantung kepada keberkesanan dan kemahiran tenaga manusia dalam penggunaan, mempraktikkan dan mengembangkan secara berterusan aplikasi-aplikasi yang diperkenalkan didalam rancangan e-Kerajaan berkenaan.

Alhamdulillah, dalam menyediakan dan mengembangkan keupayaan tenaga manusia yang akan menggunakan kemudahan-kemudahan ini, beberapa bengkel penggunaan PMONet On-Line telah pun dijalankan dan InsyaAllah akan dilaratkan ke Jabatan-Jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri sesuai dengan perancangan penggunaan PMONet On-Line di jabatan-jabatan berkenaan menurut Fasa-Fasa yang telah dijadualkan. Dalam menghadapi cabaran-cabaran dan ekspektasi yang dihadapi dan bagi kesempurnaan pelaksanaan PMONet, kita juga belajar dan mengambil contoh daripada pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh orang-orang lain yang sudah maju didalam e-Kerajaan, termasuk juga mengambil best practices yang ada. Hadirin yang dihormati,

Pada kesempatan ini saya ingin mengingatkan bahawa bagi mengembangkan dan mempastikan kesinambungan aplikasi PMONet, kita sebagai warga Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan serta agensi di bawahnya bukanlah semata-mata berperanan sebagai pengguna atau end-user semata-mata. Tetapi, kita juga adalah sebagai input provider kepada PMONet ini.

Dalam erti kata lain kita semua adalah sama-sama bertanggungjawab untuk mempastikan laman PMONet ini mempunyai kandungan yang berfaedah dan relevan, bukan sahaja kepada pegawai dan kakitangan di Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya sahaja tetapi, melalui Laman Awam, juga kepada pelanggan-pelanggan kita dalam kerajaan, business dan orang ramai.

Dalam hubungan ini, setiap Jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri hendaklah sama-sama berperanan secara kolektif memberikan sumbangan kearah mengembangkan PMONet ini. Dengan erti kata lain, sebagai warga Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-janbatan di bawahnya kita semua adalah sama-sama bertanggungjawab diatas kejayaan dan sebarang kepincangan PMONet.

Adalah diharapkan kemudahan PMONet On-Line ini juga akan memberi banyak ruang kepada pegawai dan kakitangan di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan- Jabatan di bawahnya untuk meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Ini akan dapat kita lakukan jika kita menggunakan kemudahan yang ada untuk bercambah fikiran serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Sekaligus PMONet ini akan dapat kita jadikan sebagai platform untuk mendorong Jabatan Perdana ini menjadi sebuah Learning Organisation yang mengamalkan budaya pengetahuan (Knowledege culture) bagi meningkatkan tahap kemampuan sumber manusianya dan perkembangan organisasi.

Pada waktu yang sama, kita semua juga haruslah menggunakan kemudahan ini dengan penuh etika dengan sentiasa memberikan perhatian kepada aspekaspek keselamatan didalam penggunan seharian dan tidak menyalahi dasar dan peraturan yang telah disediakan.

Sebarang kelalaian kita dalam memberikan perhatian keatas aspek keselamatan akan mendatangkan mudarat dan kerugian kepada kerajaan. Manakala penyalahgunaan kemudahan ini, akan menjejaskan kewibawaan Jabatan Perdana Menteri dan kredibilitinya sebagai sebuah Lead Agency dalam e- Kerajaan.

Buat mengakhiri ucapan ini, saya yakin semua yang terlibat dalam melaksanakan projek PMONet ini telah pun memberikan sumbangan tenaga dan masa yang bukan sedikit yang mana komitmen dan kegigihan mereka adalah semata-mata didorong untuk melihat kemajuan dan perubahan yang positif dan dinamik. Kepada mereka saya mengucapkan tahniah dan terima kasih yang setinggi-tingginya. Saya juga yakin, mereka akan terus berusaha keras bagi fasa-fasa selanjutnya sehingga PMONet ini akan menjadi suatu realiti dan berjalan mengikut jadual yang telah pun dirancang. Apa yang jelas daripada komitmen dan usaha gigi tersebut kita telah melangkah maju kehadapan dalam perjalanan jauh kita yang ’beribu batu’ dan telah melalui tandajalan yang menunjukkan kita menuju perjalanan yang tepat yakni ”moving towards the right direction”.

Sekian wabillahit Taufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Prime Minister's Office