B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong
di Majlis Konvokesyen Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan Ke-25
pada hari Rabu, 26 Syaaban/22 Oktober 2003.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

KITA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua kita sama-sama dapat hadir di Majlis Konvokesyen Ke-25 Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan bagi tahun 2003 pada pagi yang bersejarah ini. Saya dengan ikhlas sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 49 orang penerima-penerima Sijil Perguruan dan 15 orang lepasan Kursus Lanjutan Seni Membaca Al-Quran yang akan menerima sijil-sijil mereka pada hari ini.

Konvokesyen ini bermakna pengiktirafan kepada graduan-graduan sebagai guru-guru yang berkelayakan untuk mengajar dan menjadi Guru Ugama Terlatih.

Dalam hubungan ini, apakah kelainan di antara guru agama dengan guru mata pelajaran biasa? Apakah pula yang membezakan di antara guru agama pada masa ini dengan orang alim atau mereka yang boleh digelar 'guru' yang mengajar agama di masa lampau?

Mungkin perbezaan yang ketara ialah pakaian mereka atau pembawaan mereka. Tetapi tugas pokoknya adalah sama iaitu mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar mereka.

Apakah yang membezakan mereka pada masa ini?

Apa yang jelas disaksikan ialah bahawa masyarakat di mana guru-guru atau yang bernama 'guru' mengajar telah berubah dan akan terus berubah. Kita telah mengalami proses perubahan ekonomi dan sosial, kemajuan sains dan ilmu pengetahuan, perubahan kebudayaan dan lain-lain yang membawa kesan kepada perubahan sikap, pandangan, cara berfikir, cara bertindak, cara bekerja, perilaku, pertimbangan dan sebagainya.

Dari segi pembelajaran, corak pembelajaran berubah dari tidak formal kepada formal, daripada kurang tersusun kepada lebih teratur baik dari segi kurikulum, sukatan pelajaran, kitab atau buku yang digunakan, kaedah atau teknik mengajar juga berubah dari berpusat kepada guru kepada berpusat kepada pelajar. Dari segi logistik tempat belajar berpindah daripada balai kepada bilik darjah dan sekolah yang lebih kemas dan lengkap.

Persoalan yang sering ditimbulkan ialah kenapa pengajaran mereka yang bergelar 'guru' di masa lampau yang tidak mendapat pendidikan perguruan formal itu lebih berkesan? Kenapa tidak timbul banyak masalah sosial dibanding dengan sekarang?

Apa yang dapat kita perhatikan di sini bahawa perubahan itu adalah suatu yang sentiasa berlaku. Manusia akan terus mengalami perubahan sepanjang hidupnya dan manusia wajar untuk menyesuaikan dirinya dengan arus perubahan itu.

Kepada guru-guru, tugas mereka bertambah berat lagi kerana bukan sahaja mereka menghadapi cabaran-cabaran perubahan dan perlu berubah, tetapi mereka pada masa yang sama juga bertanggungjawab untuk mengurus perubahan tersebut. Mereka berhadapan pada setiap hari dengan pelajar-pelajar dan anggota masyarakat yang juga mengalami perubahan-perubahan ini.

Guru-guru pada masa ini menghadapi cabaran yang lebih besar dari masa lalu. Kalau pada zaman dahulu guru-guru hanya menghadapi kesulitan komunikasi kerana tidak ada jalan raya dan kurangnya prasarana, menghadapi masalah kekurangan buku dan bahan mengajar. Tetapi sekarang prasarana sudah bertambah baik dengan buku-buku dan rujukan yang mencukupi serta peralatan mengajar yang moden, malah ada yang sudah canggih.

Walau bagaimanapun, masyarakat sering membuat perbandingan akan keberkesanan pendidikan di masa lampau dengan pendidikan pada masa ini khusus dalam melahirkan anggota masyarakat yang diimpikan.

Sebagai orang yang berada di barisan hadapan dalam pendidikan, inilah cabaran kepada guru-guru pada masa ini.

Bagi tujuan ini, kita renungkan dan kita fikirkan bersama petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Guru pada 23 September 2003 yang lalu. Baginda bertitah:

"Di dalam zaman apa pun, pendidikan menjadi wadah terpenting membentuk manusia. Jika ia baik maka baiklah manusia dan jika ia pincang, maka pincang pulalah manusia.

Kepincangan di dalam pendidikan amatlah perlu dielak dan dijauhi. Kerana pendidikan yang pincang itu tidak mampu untuk melahirkan masyarakat yang sempurna.

Bagi umat yang beragama, pendidikan bukanlah semata-mata 'knowledge' tetapi juga 'akhlak'. Ia mesti seimbang antara rohani, jasmani dan intelek yang diurus oleh sistem pendidikan negara. Jika ini belum tercapai, bererti belum lagi berwajah pendidikan kita itu."

Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua guru dan bakal guru untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini setinggi-tingginya bagi merealisasikan aspirasi untuk melahirkan anggota masyarakat yang berilmu dan berakhlak. Cabaran ini adalah lebih besar lagi kepada graduan-graduan yang akan menjadi guru-guru agama. Jangkaan masyarakat kepada guru-guru agama adalah besar sebagai orang yang diharapkan bagi mengasuh dan mendidik anak-anak mereka menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia.

Tugas ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya guru-guru sendiri tidak komited kepada tugas dan tanggungjawab mereka untuk membentuk akhlak pelajar-pelajar mereka. Tugas ini bukan semata-mata dipikulkan kepada Guru Besar atau Guru Disiplin tetapi merupakan tanggungjawab semua guru-guru.

Guru-guru yang akan mengajar di abad ke-21 ini menghadapi cabaran yang besar dari guru-guru sebelumnya.

Saya ingin menyarankan peranan yang dimainkan dan ciri-ciri yang wajar dimiliki oleh guru pada masa ini.

  1. Guru mesti mempunyai sikap keguruan yang sebenarnya, iaitu bertanggungjawab, dedikasi dan komited kepada kerjanya, prihatin kepada pelajarnya, berdisiplin dan tegas dalam tindakannya, menjadi contoh dan ikutan kepada pelajar dan rakannya. Menjadi guru di sekolah dan di luar sekolah. Ia menjadi calak kepada kemuliaan akhlak pelajar-pelajarnya.

  2. Abad ke-21 akan terus membawa perubahan akibat globalisasi, kemajuan ilmu sains, teknologi dan pengetahuan. Kita akan berhadapan dengan perubahan paradigma masyarakat serta perubahan persepsi terhadap Islam. Semua ini akan terus mewarnai dunia dengan pelbagai warna mengakibatkan berlakunya perubahan yang tidak dapat dijangkakan. Semua ini akan memberi kesan kepada penduduk dunia. Dalam konteks ini, guru mesti dapat memahami perubahan-perubahan ini. Paling mustahak guru mesti dapat mengurus dan menjadi pengurus kepada perubahan-perubahan ini dan bukan menjadi penonton kepada perubahan ini.

  3. Guru mesti memainkan peranan sebagai pemimpin dan paling kurang sebagai pemimpin dalam bilik darjahnya. Guru mesti berusaha untuk memperkembangkan setiap potensi pelajarnya dari semua segi termasuk intelek dan rohaninya. Pelajar perlu dididik menjadi kreatif dan inovatif. Ini tidak dapat dicapai kalau gurunya sendiri tidak bersedia untuk menjadi seorang guru yang inovatif dan kreatif.

  4. Sebagai seorang profesional, guru mesti memahami akan keperluan pelajar-pelajarnya dalam pembelajaran dan pengajaran. Guru mesti melengkapkan dirinya selaku penyelidik di bilik darjahnya untuk dapat mengenal pasti pencapaian pelajar-pelajarnya, menilai keberkesanan pengajarannya, mengukur keberkesanan pembelajaran pelajarnya. Mengkaji dan berusaha membaiki pengajaran dan pembelajaran pelajarnya. Guru mesti menjadi seorang penyelidik pendidikan.

  5. Seorang pendidik mesti mengamalkan sikap sebagai seorang pelajar. Guru mesti terus berulit dengan ilmu dan berusaha setiap masa menerusi apa jua salurannya untuk menambah dan memperbaharui ilmunya. Ilmu pengetahuan berkembang dengan cepat selaras dengan perkembangan masa. Guru hendaklah mengejar kemajuan ilmu jika ia akan terus menjadi guru hari ini untuk melahirkan masyarakat hari esok. Secara ringkasnya guru mesti menjadikan pembelajaran seumur hidup sebagai budaya hidupnya selaras dengan anjuran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang menganjurkan kita menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Akhirnya saya mengucapkan kepada semua graduan selamat bertugas.

Sekian Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(c) Ministry of Education