B R U N E I   r e s o u r c e sTM


++   Home   |   Brunei Intoduction   |   Brunei Government and Civil Service   |   Brunei Web Links   |   Brunei Policy Papers   ++


UCAPAN
Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Adanan di Sesi Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Kampung dan Ketua-ketua Rumah Panjang, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Penduduk Mukim Labi, Daerah Belait
pada 7 Rabiulakhir 1424/7 Jun 2003
bertempat di Balai Raya Mukim Labu.

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALHAMDULILLAH, syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana atas limpah rahmat-Nya jua mengizinkan kita semua dapat hadir di perjumpaan pada pagi ini. Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang setia hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pegawia Daerah Belait kerana telah mengaturkan perjumpaan saya dan Ketua-ketua Kampung, Ketua-ketua Rumah Panjang, Ahli-ahli Majlis Perundingan, Jawatankuasa Takmir Masjid dan penduduk-penduduk kampung dan rumah panjang di Mukim Labi pada pagi ini.

Bersama-sama rombongan saya pada pagi ini, yang memang sengaja saya bawa bersama di perjumpaan ini ialah beberapa orang ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pegawai Daerah Belait, Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Pesuruhjaya Buruh, Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pengarah Penjara serta pegawai-pegawai kanan yang lain. Kehadiran mereka saya rasakan amat diperlukan oleh abiskita bagi mendapatkan penerangan dan maklumat-maklumat tertentu yang berhubung kait dengan jabatan-jabatan berkenaan jika ada perkara-perkara nanti yang ingin ditimbulkan oleh abiskita.

Saya jua ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran abiskita semua di perjumpaan ini yang mana merupakan siri lawatan kerja saya menyusur mukim di keempat-empat daerah yang mana antara lain bertujuan:

Untuk meninjau, bersua muka secara lebih dekat lagi bersama abiskita sambil berkenalan, berbincang, bertukar-tukar fikiran serta berinteraksi bersama abiskita mengenai dengan perkara-perkara yang ada hubung kait dengan hal-ehwal kampung dan mukim khususnya kesejahteraan penduduk-penduduk kampung dan mukim.

Memberikan peluang kepada abiskita untuk mengemukakan permasalahan yang dihadapi khususnya yang bersangkut-paut dengan bidang tugas Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri supaya dapat diketahui dan diambil tindakan yang bersesuaian mengenainya. Jika sekiranya persoalan tersebut melibatkan bidang kuasa kementerian lain, insya-Allah kementerian ini akan membawa atau menyampaikan permasalahan tersebut ke perhatian kementerian dan jabatan-jabatan berkenaan supaya ianya dapat diambil tindakan.

Bagi melihat dan memerhati secara lebih dekat lagi akan perkembangan, kemajuan, kesejahteraan dan aktiviti-aktiviti yang diungkayahkan di persekitaran kampung dan mukim khususnya kegiatan-kegiatan yang diusahakan oleh anak-anak kampung di Mukim Labi.

Di samping itu saya juga ingin mengingatkan kepada Ketua-ketua Kampung dan Ketua-ketua Rumah Panjang di Mukim Labi khususnya mengenai dengan peranan, tugas dan tanggungjawab abiskita selaku pemimpin masyarakat. Sepertimana yang sama-sama difahami bahawa perlantikan abiskita sebagai pemimpin adalah atas adanya kepercayaan dan amanah yang telah diberikan oleh anak-anak kampung atau rumah panjang kepada abiskita. Untuk itu, abiskita perlulah lebih prihatin dan tidak camah mata dalam melaksanakan amanah yang dimandatkan itu dengan penuh bertanggungjawab dalam memeduli apa jua permasalahan atau hal-ehwal dan kebajikan anak-anak buah abiskita. Apa pun permasalahan, rintihan dan aduan-aduan yang diterima dari anak-anak buah itu hendaklah dilayani dan ditangani dengan baik, penuh bijaksana, bersopan santun dan penuh berwibawa dengan secara perundingan. Dan adalah tidak wajar, jika permasalahan yang diadukan itu abiskita pandang acuh tak acuh atau remeh dan tidak ada inisiatif atau usaha untuk menangani/ menyelesaikannya. Tabiat atau sikap sedemikian adalah tidak bertepatan dengan peranan abiskita sebagai pemimpin, sepertimana yang digariskan dalam Buku Skim Perkhidmatan Penghulu dan Ketua Kampung 1998 dan Buku Skim Perkhidmatan Ketua-ketua Rumah Panjang 1992. Bagi yang dipimpin pula perlulah sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan yang padu secara berterusan kepada Ketua-ketua Kampung dan Ketua-ketua Rumah Panjang kerana dengan adanya sokongan dan kerjasama yang padu, insya-Allah segala permasalahan yang timbul di dalam kampung atau rumah panjang akan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan dan secara baik.

Kita seringkali mendengar dan melihat laporan di media-media masa tentang berlakunya peperangan, bencana alam, penularan penyakit berjangkit SARS (Wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan bermacam-macam masalah yang melanda negara-negara di dunia ketika ini yang mana telah menyebabkan negara-negara terbabit bukan saja kerugian harta dan wang ringgit yang banyak, malahan juga menyebabkan keadaan ekonominya menjadi tidak stabil, kehilangan nyawa di kalangan penduduk-penduduknya dan sesetengahnya pula berlaku kejadian huru- hara yang berterusan yang mengakibatkan keadaan negara tersebut tidak menentu, keselamatan tidak begitu terjamin dan penduduk-penduduknya hidup dalam serba kekurangan, menderita serta dalam ketakutan sekali gus menjejaskan pendapatan dan perekonomian.

Alhamdulillah, kejadian seumpama ini tidaklah berlaku di negara kita di mana berkat kepimpinan bijaksana dan kewibawaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan dengan sokongan padu dan kerjasama dari segenap lapisan rakyat dan penduduk ke atas apa jua usaha kerajaan baginda ke arah membangunkan negara dan meningkatkan taraf hidup, negara ini kekal dalam keadaan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera serta harmoni. Kita sama-sama berharap dan berdoa agar keadaan ini akan berterusan di sepanjang masa dan negara ini akan terus-menerus membangun dan maju ke hadapan dan berada dalam selamat, aman damai, harmoni dan sejahtera.

Ke arah itu, adalah amat penting bagi abiskita semua untuk mengambil peranan terutama dalam meningkatkan kerjasama yang berterusan bukan saja dalam program-program yang menjurus ke arah membangunkan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat dan penduduk tetapi juga dalam memelihara keselamatan, keamanan dan ketenteraman terutama di persekitaran Mukim Labi ini. Antara kerjasama yang dimaksudkan adalah dalam memantau dan memata-matai:

Kegiatan penyalahgunaan/pengedaran najis dadah atau memakannya yang melibatkan kalangan anak-anak buah kampung dan mukim atau orang-orang asing secara perseorangan atau sebaliknya perlulah dilaporkan kepada pihak berwajib.

Kegiatan-kegiatan penyeludupan barang-barang yang ditegah atau dikawal oleh undang-undang yang berlaku di kawasan kampung dan mukim.

Kegiatan-kegiatan pembalakan haram/mencuri beberapa jenis kayu-kayan yang tinggi nilainya yang kerap berlaku di kawasan-kawasan sempadan yang dilakukan oleh orang asing yang mana perlu dilaporkan dengan segera.

Kemasukan pendatang-pendatang tanpa izin ke negara ini dan menyalahgunakan Pas Imigresen, misalnya bekerja dengan menggunakan pas lawatan dan kegiatan pendakwah-pendakwah tanpa kebenaran yang cuba mengembangkan ajaran-ajaran yang mencurigakan atau boleh menggugat kesejahteraan dan perpaduan masyarakat.

Kewaspadaan, keprihatinan dan kerjasama penduduk-penduduk kampung dan mukim dalam memantau kegiatan-kegiatan yang tidak sihat dan yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara perlulah kita tangani bersama dengan cepat dan berkesan, kerana abiskita lebih mengetahui dan memahami akan keadaan mukim dan kampung abiskita, bukannya tanggungjawab tersebut diserahkan bulat-bulat kepada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan sahaja. Ini adalah demi memastikan keadaan suasana hidup yang aman damai selama ini akan dapat terus kita nikmati.

Di kesempatan ini, sukacita saya ingin mengingatkan tentang peri mustahaknya bagi setiap penduduk-penduduk kampung di mukim ini dalam mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini. Antaranya adalah keperluan untuk membuat pendaftaran bagi setiap anak yang baru dilahirkan, melaporkan setiap anak kampung yang meninggal dunia dan membuat serta memperbaharui Kad Pengenalan apabila usia telah mencapai umur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. Kewujudan peraturan dan undang-undang ini bukanlah bermaksud untuk menyusah-nyusahkan penduduk-penduduk kampung bahkan ianya adalah semata-mata dibuat demi menjamin kesejahteraan, keselamatan, kemudahan dan kepentingan masa hadapan masing-masing jua.

Menyentuh mengenai dengan Majlis Perundingan Kampung dan Mukim di Mukim Labi, saya menyedari bahawa ianya telah dapat bergerak dengan aktif di mana pihak Majlis Perundingan telah berjaya mengungkayahkan beberapa aktiviti seperti kegiatan mengetam/menuai padi sekampung, mengadakan kempen-kempen kebersihan dan sebagainya amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi dan perlu ditingkatkan dan disebarluaskan lagi kepada kegiatan-kegiatan dan program-program yang lebih besar dan mencabar seperti membangun kegiatan ekonomi dan pertanian di Mukim Labi. Ini termasuklah perusahaan bagi meningkatkan pelancongan ke mukim-mukim dan kampung dengan mengetengahkan dan memajukan tarikan-tarikan pelancongan yang terdapat di kampung-kampung dalam Mukim Labi. Kaedah pengendalian yang lebih mantap ini mewujudkan semangat kesepakatan dan bekerjasama, perpaduan dan nilai-nilai luhur dalam berbilang masyarakat yang mana sekali gus akan dapat mempertingkatkan pendapatan anak-anak buah kampung dan mukim secara berkumpulan. Saya memang tidak mengenepikan bahawa penduduk-penduduk di Mukim Labi amat gigih dalam mengusahakan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan termasuklah tanaman ladang seperti limau manis, ubi keladi, padi dan juga ternakan ikan air tawar, ayam dan sapi yang diusahakan secara besar-besaran oleh orang perseorangan. Kegiatan-kegiatan ini menampakkan satu petanda baik yang perlu diteruskan dan dilipatgandakan dari masa ke semasa bagi menyahut hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempelbagaikan perekonomian negara daripada bergantung semata-mata kepada minyak dan gas cecair asli. Menerusi perkembangan ini, akan mengubah sikap anak-anak buah kampung dan mukim supaya lebih berdaya saing dan bersikap berdikari dan yakin diri dalam mengurangkan semata-mata bergantung kepada bantuan kerajaan, serta melahirkan budaya muafakat dan menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Akhirnya, di kesempatan ini saya meletakkan harapan kepada Ketua-ketua Kampung dan Ketua-Ketua Rumah Panjang supaya sentiasa menunjukkan sikap pemedulian dan prihatin terhadap hal-ehwal anak-anak buah masing-masing dan kemajuan mukim atau kampung yang diketuai, manakala kepada anak-anak buah kampung, rumah panjang dan mukim pula akan terus memberikan sokongan dan dukungan yang padu kepada pemimpin iaitu Ketua-ketua Kampung dan ketua-ketua Rumah Panjang.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalam mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

(c) Ministry of Home Affairs